AMSAL 6:1-19
AMSAL 6:1-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Anakku, jika kamu berjanji menjamin hutang orang lain, maka kamu terikat oleh kata-katamu atau terjerat oleh janjimu sendiri. Kalau begitu anakku, kamu sudah dalam kuasa orang itu. Tetapi inilah caranya kamu dapat melepaskan diri: pergilah segera kepadanya dan mohonlah dia membebaskan kamu. Jangan tidur ataupun rehat sebelum kamu berbuat demikian. Selamatkanlah dirimu daripada perangkap itu seperti burung atau kijang melepaskan diri daripada pemburu. Orang yang malas harus belajar daripada cara hidup semut. Semut tidak mempunyai pemimpin, atau ketua, ataupun penguasa, tetapi semut menyimpan makanan pada musim menuai sebagai persediaan semasa tidak ada makanan. Berapa lamakah orang malas hendak berbaring? Bilakah dia akan bangun? Dia berkata, “Aku hendak tidur sekejap saja. Aku hendak berpangku tangan dan berehat sebentar.” Tetapi sementara dia tidur, dia akan ditimpa kemiskinan yang datang seperti perompak yang bersenjata. Orang yang jahat dan tidak berguna membohong di sana sini. Mereka mengenyitkan mata dan memberikan isyarat untuk menipu kamu, sementara merancang kejahatan dalam fikiran mereka yang sesat. Mereka menimbulkan kekacauan di merata tempat. Kerana perbuatan mereka itu, bencana akan menimpa mereka dengan mengejut, dan mereka akan dihancurkan sama sekali. Ada tujuh perkara yang dibenci oleh TUHAN dan tidak dapat dibiarkan-Nya: sikap yang sombong, mulut yang membohong, tangan yang membunuh orang yang tidak bersalah, fikiran yang merancang hal-hal jahat, kaki yang bergegas menuju kejahatan, saksi yang terus-menerus berdusta, dan orang yang menyebabkan perkelahian antara sahabat.
AMSAL 6:1-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Hai anakku, jika engkau menjadi penjamin bagi jiranmu, dan jika engkau membuat perjanjian jaminan dengan orang asing; jika engkau terjerat oleh kata-kata mulutmu, dan terbelenggu oleh pengucapan mulutmu, maka buatlah demikian, hai anakku dan lepaskanlah dirimu, kerana engkau telah jatuh ke dalam genggaman jiranmu. Pergilah, rendahkanlah dirimu, dan rayulah bersungguh-sungguh kepada jiranmu itu. Jangan biarkan matamu tertidur, atau kelopak matamu mengantuk. Lepaskanlah dirimu seperti kijang daripada tangan pemburu, dan seperti burung daripada tangan pemikat. Pergilah kepada semut, hai pemalas, perhatikanlah cara hidupnya dan jadilah arif. Meskipun tidak punya pemimpin, pengawas, ataupun penguasa, ia menyediakan makanannya pada musim panas, dan mengumpulkan perbekalan pada musim menuai. Berapa lama lagi engkau akan berbaring, hai pemalas? Bilakah engkau akan bangun daripada tidurmu? “Tidur sebentar, mengantuk sebentar, lipat tangan sebentar untuk berbaring.” Maka kemiskinan mendatangimu seperti pencuri, dan kesempitan seperti orang bersenjata. Seorang durjana dan seorang manusia yang tidak berguna, berjalan ke mana-mana dengan mulut mungkar. Dia mengenyitkan matanya, memberikan isyarat dengan kakinya dan berisyarat dengan jarinya. Dengan tipu muslihat yang menulari hatinya, dia sentiasa merancang kejahatan, menimbulkan pertengkaran. Kerana itu bencana akan datang menimpanya dengan tiba-tiba, dan sekonyong-konyong sahaja dia akan dihancurkan tanpa dapat dipulihkan lagi. Ada enam hal yang dibenci TUHAN, bahkan tujuh perkara yang menjadi kekejian bagi-Nya: Mata sombong, lidah dusta, tangan yang menumpahkan darah orang tidak bersalah, hati yang merancang hal-hal durjana, kaki yang cepat berlari menuju kejahatan, saksi dusta yang bertutur bohong, dan orang yang menimbulkan perbalahan antara saudara.