AMSAL 6:1-19

AMSAL 6:1-19 BM

Anakku, jika kamu berjanji menjamin hutang orang lain, maka kamu terikat oleh kata-katamu atau terjerat oleh janjimu sendiri. Kalau begitu anakku, kamu sudah dalam kuasa orang itu. Tetapi inilah caranya kamu dapat melepaskan diri: pergilah segera kepadanya dan mohonlah dia membebaskan kamu. Jangan tidur ataupun rehat sebelum kamu berbuat demikian. Selamatkanlah dirimu daripada perangkap itu seperti burung atau kijang melepaskan diri daripada pemburu. Orang yang malas harus belajar daripada cara hidup semut. Semut tidak mempunyai pemimpin, atau ketua, ataupun penguasa, tetapi semut menyimpan makanan pada musim menuai sebagai persediaan semasa tidak ada makanan. Berapa lamakah orang malas hendak berbaring? Bilakah dia akan bangun? Dia berkata, “Aku hendak tidur sekejap saja. Aku hendak berpangku tangan dan berehat sebentar.” Tetapi sementara dia tidur, dia akan ditimpa kemiskinan yang datang seperti perompak yang bersenjata. Orang yang jahat dan tidak berguna membohong di sana sini. Mereka mengenyitkan mata dan memberikan isyarat untuk menipu kamu, sementara merancang kejahatan dalam fikiran mereka yang sesat. Mereka menimbulkan kekacauan di merata tempat. Kerana perbuatan mereka itu, bencana akan menimpa mereka dengan mengejut, dan mereka akan dihancurkan sama sekali. Ada tujuh perkara yang dibenci oleh TUHAN dan tidak dapat dibiarkan-Nya: sikap yang sombong, mulut yang membohong, tangan yang membunuh orang yang tidak bersalah, fikiran yang merancang hal-hal jahat, kaki yang bergegas menuju kejahatan, saksi yang terus-menerus berdusta, dan orang yang menyebabkan perkelahian antara sahabat.