AMSAL 3:27-35
AMSAL 3:27-35 Alkitab Berita Baik (BM)
Seboleh-bolehnya, buatlah kebajikan kepada orang yang memerlukannya. Jangan sekali-kali suruh jiranmu menunggu sehingga esok, jika kamu dapat menolongnya sekarang. Jangan rancang sesuatu yang akan menyusahkan jiranmu; dia tinggal di sebelah rumahmu dan dia mempercayai kamu. Jangan bertengkar tanpa sebab dengan orang yang belum pernah berbuat jahat terhadap kamu. Jangan iri hati terhadap orang ganas dan jangan tiru tingkah laku mereka. TUHAN membenci orang yang berbuat jahat, tetapi Dia akrab dengan orang yang baik. TUHAN mengutuk rumah tangga orang yang jahat, tetapi Dia memberkati rumah tangga orang yang taat kepada-Nya. Dia menghina orang yang tinggi hati, tetapi berkenan kepada orang yang rendah hati. Orang yang bijak akan mendapat kehormatan, tetapi orang yang bodoh akan mendapat malu.
AMSAL 3:27-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Janganlah menahan kebaikan daripada orang yang patut menerimanya, ketika engkau mampu melakukannya. Jangan katakan kepada sesamamu, “Pergilah dan kembalilah lagi, esok akan kuberi,” padahal apa yang diminta itu ada padamu. Janganlah merancang kejahatan terhadap jiranmu, walhal dia tinggal tanpa curiga berdekatan denganmu. Jangan bersengketa tanpa alasan dengan orang yang tidak pernah berbuat jahat kepadamu. Janganlah iri hati terhadap orang yang ganas, dan jangan memilih satu pun daripada jalannya, kerana orang yang mungkar adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi Dia akrab dengan orang yang tulus ikhlas. Kutukan TUHAN adalah terhadap rumah orang durjana, tetapi Dia memberkati kediaman orang benar. Dia mencemuh para pencemuh, tetapi Dia memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati. Orang bijaksana akan mewarisi kehormatan, tetapi orang bodoh akan mendapat aib.