AMSAL 3:1-18

AMSAL 3:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Hai anakku, jangan lupa akan ajaranku. Ingatlah selalu akan perintahku, supaya panjang umurmu dan makmur hidupmu. Hendaklah kamu tetap percaya dan setia kepada Allah dan sesamamu. Ingatlah dan simpanlah hal itu dalam hatimu. Jika kamu berbuat demikian, Allah dan manusia akan berkenan kepadamu. Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan TUHAN dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu. Jangan anggap dirimu lebih bijaksana daripada yang sebenarnya. Taatlah kepada TUHAN dan jauhilah kejahatan. Perbuatanmu itu akan menjadi seperti ubat yang menyembuhkan luka-lukamu dan menyegarkan badanmu. Hormatilah TUHAN dengan memberi Dia persembahan daripada harta benda dan hasil tanamanmu yang terbaik. Jika kamu berbuat demikian, gudang-gudangmu akan penuh dengan gandum, dan wain kamu akan berlimpah-limpah sehingga tidak cukup tempat untuk menyimpannya. Hai anakku, apabila TUHAN menegur ajar kamu, terimalah tegur ajar itu sebagai amaran dan jangan tolak ajaran-Nya. TUHAN menegur ajar orang yang dikasihi-Nya seperti seorang bapa menegur ajar anak yang disayanginya. Berbahagialah orang yang menjadi bijaksana dan mendapat pengertian. Manfaatnya melebihi keuntungan daripada perak, dan nilainya lebih tinggi daripada emas. Hikmat lebih bernilai daripada batu permata. Semua yang kamu idamkan tidak dapat dibandingkan dengan hikmat! Hikmat memberi kamu umur panjang, dan juga kekayaan serta kehormatan. Hikmat memberi kamu kehidupan yang sejahtera dan sentosa. Orang yang menjadi bijaksana berasa bahagia, dan mendapat hidup yang sejati.

AMSAL 3:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Hai anakku, jangan lupakan ajaranku, tetapi hendaklah hatimu memegang perintah-perintahku, kerana segalanya akan memberikan kepadamu umur panjang, usia lanjut, dan kesejahteraan. Jangan biarkan kasih setia dan kebenaran meninggalkan kamu, kalungkannya di lehermu dan pahatkannya di loh hatimu. Dengan demikian engkau akan disukai serta memperoleh nama baik di mata Allah dan manusia. Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah Dia dalam segala jalanmu, maka Dia akan meluruskan jalanmu. Jangan anggap dirimu bijak, takutlah kepada TUHAN dan jauhilah kejahatan. Itulah yang kelak mendatangkan kesihatan bagi tubuhmu dan kekuatan bagi tulang-tulangmu. Muliakanlah TUHAN dengan hartamu dan dengan hasil pertama daripada segala penghasilanmu, maka segala bangsal hasil tuaianmu akan terisi hingga melimpah-ruah dan meluaplah air anggur di dalam segala tempat pemerasan anggurmu. Hai anakku, jangan pandang sepi pengajaran TUHAN, dan janganlah berasa geram terhadap teguran-Nya, kerana TUHAN menegur orang yang dikasihi-Nya, seperti seorang bapa terhadap anak yang dikasihinya. Betapa berbahagianya orang yang mendapat hikmah, dan orang yang memperoleh pengertian, kerana labanya lebih besar daripada keuntungan perak, dan hasilnya lebih berharga daripada emas. Hikmah lebih bernilai daripada batu permata, dan apa-apa pun yang kamu idamkan tidak sebanding dengannya. Di tangan kanannya umur panjang, di tangan kirinya kekayaan dan kehormatan. Jalan-jalannya jalan keselesaan, dan segala lorongnya kesejahteraan. Hikmah pokok hayat bagi yang berpaut padanya, berbahagialah orang yang memeluknya seerat-eratnya.