Amsal 3:1-18

Amsal 3:1-18 AVB

Hai anakku, jangan lupakan ajaranku, tetapi hendaklah hatimu memegang perintah-perintahku, kerana segalanya akan memberikan kepadamu umur panjang, usia lanjut, dan kesejahteraan. Jangan biarkan kasih setia dan kebenaran meninggalkan kamu, kalungkannya di lehermu dan pahatkannya di loh hatimu. Dengan demikian engkau akan disukai serta memperoleh nama baik di mata Allah dan manusia. Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah Dia dalam segala jalanmu, maka Dia akan meluruskan jalanmu. Jangan anggap dirimu bijak, takutlah kepada TUHAN dan jauhilah kejahatan. Itulah yang kelak mendatangkan kesihatan bagi tubuhmu dan kekuatan bagi tulang-tulangmu. Muliakanlah TUHAN dengan hartamu dan dengan hasil pertama daripada segala penghasilanmu, maka segala bangsal hasil tuaianmu akan terisi hingga melimpah-ruah dan meluaplah air anggur di dalam segala tempat pemerasan anggurmu. Hai anakku, jangan pandang sepi pengajaran TUHAN, dan janganlah berasa geram terhadap teguran-Nya, kerana TUHAN menegur orang yang dikasihi-Nya, seperti seorang bapa terhadap anak yang dikasihinya. Betapa berbahagianya orang yang mendapat hikmah, dan orang yang memperoleh pengertian, kerana labanya lebih besar daripada keuntungan perak, dan hasilnya lebih berharga daripada emas. Hikmah lebih bernilai daripada batu permata, dan apa-apa pun yang kamu idamkan tidak sebanding dengannya. Di tangan kanannya umur panjang, di tangan kirinya kekayaan dan kehormatan. Jalan-jalannya jalan keselesaan, dan segala lorongnya kesejahteraan. Hikmah pokok hayat bagi yang berpaut padanya, berbahagialah orang yang memeluknya seerat-eratnya.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Amsal 3:1-18