AMSAL 20:1-15

AMSAL 20:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Air anggur itu pencemuh, minuman keras itu membuat gaduh, sesiapa yang terperdaya olehnya sememangnya tidak bijaksana. Murka raja laksana ngauman sang singa, sesiapa membangkitkan amarahnya, kehilangan nyawanya. Terhormatlah orang yang menjauhi persengketaan, tetapi setiap orang yang bodoh suka berbantah. Pada musim dingin si pemalas enggan membajak kerana kesejukan. Maka dia mencari hasil pada musim menuai dan tidak mendapat apa-apa. Niat yang terkandung dalam hati manusia seumpama air yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menyelaminya. Ramailah orang mencanangkan fasal kesetiaan mereka, tetapi siapakah yang dapat menemui orang yang betul-betul setia? Orang benar yang hidup dalam keikhlasan, begitu berbahagia sekali keturunannya! Raja yang duduk di atas kerusi pengadilan, menyingkirkan segala kejahatan dengan matanya. Siapa dapat berkata, “Aku telah menyucikan hatiku, dan aku tahir daripada dosaku”? Batu timbangan dan sukatan yang berbeza-beza, kedua-duanya kekejian bagi TUHAN. Kanak-kanak pun dapat dikenal melalui perbuatannya, sama ada kelakuannya bersih dan jujur ataupun tidak. Telinga yang mendengar dan mata yang melihat, kedua-duanya dijadikan oleh TUHAN. Janganlah suka tidur, supaya engkau tidak menjadi miskin, bukalah matamu, maka engkau akan berlebihan makanan. Kata si pembeli, “Tidak baik! Tidak baik!” tetapi setelah pergi berbanggalah dia. Ada emas dan banyak batu permata, tetapi bibir yang berpengetahuan ialah permata yang paling bernilai.