AMSAL 15:1-9
AMSAL 15:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Jawapan yang lembut meredakan kemarahan, sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah. Kata-kata orang bijak membuat pengetahuan menarik hati, tetapi kata-kata orang bodoh hanya kebodohan. TUHAN nampak apa yang berlaku di segala tempat; Dia memperhatikan kita, sama ada kita berbuat baik atau jahat. Kata-kata yang baik membangkitkan semangat, tetapi kata-kata yang kesat mematahkan semangat. Orang yang bodoh mengabaikan ajaran bapa; tetapi orang yang bijak menerima tegur ajar. Kekayaan orang baik kekal, tetapi kekayaan orang jahat hilang pada masa kesusahan. Pengetahuan disebarluaskan oleh orang bijak, bukan oleh orang bodoh. TUHAN berkenan apabila orang baik berdoa, tetapi Dia membenci korban yang dipersembahkan oleh orang jahat. TUHAN membenci cara hidup orang derhaka, tetapi Dia mengasihi orang yang berusaha untuk melakukan kehendak-Nya.
AMSAL 15:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jawapan yang lemah lembut meredakan murka, tetapi perkataan yang tajam membangkitkan amarah. Lidah orang arif menjadikan pengetahuan menarik, tetapi mulut orang bodoh meluahkan kebodohan. TUHAN melihat segala-segalanya di mana-mana sahaja, memperhatikan yang jahat dan yang baik. Lidah yang menenangkan ialah pokok hayat, tetapi lidah yang memutarbelitkan mematahkan semangat. Orang bodoh menolak didikan ayahnya, tetapi orang yang mengendahkan teguran memang bijaksana. Ada banyak harta benda di dalam rumah orang benar, tetapi penghasilan orang durjana membawa kesusahan. Bibir orang bijaksana menyebarkan pengetahuan, tetapi hati orang bodoh tidak demikian. Korban sembelihan orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi doa orang yang tulus memang keredaan-Nya. Jalan orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi Dia mengasihi orang yang mengejar perbenaran.