FILIPI 1:21-30

FILIPI 1:21-30 Alkitab Berita Baik (BM)

Bagiku, hidup itu mengabdi kepada Kristus, dan kematian lebih berfaedah. Tetapi jika dengan hidup di dunia ini, aku dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna, aku tidak pasti yang mana akan aku pilih. Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik. Tetapi bagi kepentingan kamu, lebih mustahak aku hidup. Aku yakin akan hal itu. Oleh itu aku tahu bahawa aku akan terus hidup untuk menolong kamu, supaya iman kamu semakin teguh dan kamu semakin bersukacita dalam kepercayaan kepada Kristus. Dengan demikian apabila aku bersama-sama kamu lagi, kamu akan mempunyai lebih banyak alasan untuk berbangga dengan aku, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus. Oleh itu penting bagi kamu untuk hidup sesuai dengan apa yang dituntut oleh Berita Baik tentang Kristus. Dengan demikian sama ada aku dapat berjumpa dengan kamu atau tidak, aku akan mendapat berita bahawa kamu berdiri teguh dan berjuang dengan satu tujuan dan satu keinginan, untuk iman yang berdasarkan Berita Baik itu. Janganlah takut akan orang yang menganiaya kamu; tabahkanlah hati. Hal itu akan membuktikan bahawa mereka akan kalah dan kamu akan menang, kerana Allah sendiri yang memberikan kemenangan itu kepada kamu. Semua itu berlaku kerana kamu sudah diberikan oleh Allah anugerah untuk mengabdikan diri kepada Kristus, bukan sahaja dengan percaya kepada-Nya, tetapi juga dengan menderita bagi-Nya. Sekarang kamu boleh menyertai aku dalam perjuanganku, perjuangan yang pernah kamu lihat aku lakukan dahulu. Sekarang kamu juga mendengar bahawa aku masih tetap berjuang.

FILIPI 1:21-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun hidopku ini kŭrna Almasih adanya, dan mati itulah kauntonganku. Tŭtapi jikalau hidop juga tubohku, maka inilah buah buahan kalŭlahanku: akan tŭtapi manakah yang handak kupileh itu tiadalah kukŭtahui. Kŭrna tŭrgŭpitlah aku diantara kadua itu, sŭbab handak pulang, supaya bŭrsama sama dŭngan Almasih; kŭrna itulah tŭrlebih baik. Tŭtapi jikalau hidop tubohku ini itupun tŭrlebih bŭrguna juga pada kamu. Maka adapun sŭbab harap yang dŭmkian itulah aku tahu, bahwa nanti aku tinggal kŭlak bŭsŭrta dŭngan kamu skalian kŭrna tambahan, dan kŭgŭmaran kamu dalam iman. Supaya tŭrmasamu itu kŭlak mŭlempahlah dalam Isa Almasih kŭrna aku, ulih sŭbab kadatanganku pada kamu lagi. Mŭlainkan biarlah klakuanmu itu ada bŭrpatutan dŭngan Injil Almasih: baik aku datang bŭrjumpa kamu, baik tiada, bulihlah aku mŭnŭngar akan sagala hal ahwal kamu, yang kamu ada bŭrdiri tŭtap dŭngan suatu Roh, dŭngan suatu ingatan, bŭrusaha usahakan bŭrsama sama kŭrna iman Injil. Maka dalam suatu juapun janganlah kamu ditakoti ulih musoh musohmu: yang ada pada marika itu suatu tandah kabinasaan bagienya, tŭtapi pada kamu suatu tandah slamat, maka iya itu deripada Allah adanya. Kŭrna pada kamu tŭlah dikurniakan deri kŭrna Almasih, bukannya akan bŭrimankan dia sahja, mŭlainkan akan mŭrasai sŭngsara pun ulih sŭbabnya. Sŭbab ada pada kamu sama gondah hati yang dahulu kamu tŭlah mŭlihat ada padaku, maka skarang pun kamu mŭnŭngar itu adalah padaku.