FILIPI 1:21-30

FILIPI 1:21-30 BM

Bagiku, hidup itu mengabdi kepada Kristus, dan kematian lebih berfaedah. Tetapi jika dengan hidup di dunia ini, aku dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna, aku tidak pasti yang mana akan aku pilih. Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik. Tetapi bagi kepentingan kamu, lebih mustahak aku hidup. Aku yakin akan hal itu. Oleh itu aku tahu bahawa aku akan terus hidup untuk menolong kamu, supaya iman kamu semakin teguh dan kamu semakin bersukacita dalam kepercayaan kepada Kristus. Dengan demikian apabila aku bersama-sama kamu lagi, kamu akan mempunyai lebih banyak alasan untuk berbangga dengan aku, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus. Oleh itu penting bagi kamu untuk hidup sesuai dengan apa yang dituntut oleh Berita Baik tentang Kristus. Dengan demikian sama ada aku dapat berjumpa dengan kamu atau tidak, aku akan mendapat berita bahawa kamu berdiri teguh dan berjuang dengan satu tujuan dan satu keinginan, untuk iman yang berdasarkan Berita Baik itu. Janganlah takut akan orang yang menganiaya kamu; tabahkanlah hati. Hal itu akan membuktikan bahawa mereka akan kalah dan kamu akan menang, kerana Allah sendiri yang memberikan kemenangan itu kepada kamu. Semua itu berlaku kerana kamu sudah diberikan oleh Allah anugerah untuk mengabdikan diri kepada Kristus, bukan sahaja dengan percaya kepada-Nya, tetapi juga dengan menderita bagi-Nya. Sekarang kamu boleh menyertai aku dalam perjuanganku, perjuangan yang pernah kamu lihat aku lakukan dahulu. Sekarang kamu juga mendengar bahawa aku masih tetap berjuang.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan FILIPI 1:21-30