BILANGAN 32:16-24

BILANGAN 32:16-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Suku Ruben dan suku Gad menghadap Musa dan berkata, “Mula-mula benarkanlah kami membina kandang bertembok batu untuk domba kami dan kota bertembok untuk anak isteri kami. Setelah itu kami bersedia mengikut sesama bangsa kami maju berperang. Kami akan memimpin serangan itu sehingga kami membantu mereka menetap di tanah yang menjadi milik mereka. Sementara itu anak isteri kami dapat tinggal di sini, di dalam kota-kota yang bertembok dan selamat daripada serangan penduduk negeri ini. Kami tidak akan kembali ke rumah sebelum semua orang Israel mempunyai tanah sebagai milik pusaka. Kami tidak akan mengambil sedikit pun daripada tanah di seberang Sungai Yordan, kerana kami sudah menerima bahagian kami di sebelah timur Sungai Yordan.” Musa menjawab, “Jika kamu sungguh-sungguh menepati janji kamu, bersedialah untuk berperang bagi TUHAN. Semua orang kamu yang dapat berperang harus menyeberang Sungai Yordan; demi perintah TUHAN, mereka harus menyerang musuh kita sehingga TUHAN mengalahkan musuh, lalu merebut tanah itu. Selepas itu kamu boleh pulang, kerana kamu sudah menunaikan kewajipan kamu terhadap TUHAN dan sesama bangsa kamu orang Israel. Oleh itu TUHAN akan mengakui bahawa tanah di sebelah timur Sungai Yordan ini milik kamu. Tetapi jika kamu tidak menepati janji, ingatlah bahawa kamu berdosa terhadap TUHAN. Sesungguhnya, kamu akan dihukum kerana dosa kamu itu. Pergilah bina kota kamu dan kandang untuk domba kamu, tetapi tepatilah janji kamu itu!”

BILANGAN 32:16-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Mereka pun tampil mendekati Musa dan berkata, “Kami akan membina kandang-kandang bagi ternakan kami dan kota-kota bagi anak-anak kami di sini. Namun demikian, kami sendiri akan segera mempersenjatai diri untuk maju di depan orang Israel sehingga kami membawa mereka ke tempat mereka. Sementara itu, anak-anak kami akan tinggal di kota-kota berkubu, terlindung daripada penduduk negeri ini. Kami tidak akan kembali ke rumah kami sampai setiap orang daripada orang Israel mendapat bahagian harta pusaka masing-masing. Kami pun tidak ingin memperoleh harta pusaka bersama-sama mereka di seberang Sungai Yordan sana dan sekitarnya, kerana kami telah memperoleh harta pusaka di sini, di seberang Sungai Yordan sebelah timur.” Kata Musa kepada mereka, “Jika itu yang hendak kamu lakukan, iaitu bahawa kamu akan mempersenjatai diri untuk berperang di hadapan TUHAN, dan bahawa semua orang kamu yang bersenjata mahu menyeberangi Sungai Yordan di hadapan TUHAN sampai Dia mengusir musuh-Nya dari hadapan-Nya dan negeri itu tertakluk di hadapan TUHAN, maka sesudah itu kamu akan kembali dan bebas daripada kewajipanmu terhadap TUHAN dan terhadap orang Israel. Tanah ini pun akan menjadi milikmu di hadapan TUHAN. Akan tetapi, jika kamu tidak berbuat demikian, sesungguhnya kamu berdosa terhadap TUHAN dan ketahuilah, dosamu itu akan menimpa kamu. Bangunkanlah kota-kota untuk anak-anakmu dan kandang-kandang untuk kawanan dombamu, lalu lakukanlah apa yang telah kamu ucapkan.”