Bilangan 32:16-24

Bilangan 32:16-24 AVB

Mereka pun tampil mendekati Musa dan berkata, “Kami akan membina kandang-kandang bagi ternakan kami dan kota-kota bagi anak-anak kami di sini. Namun demikian, kami sendiri akan segera mempersenjatai diri untuk maju di depan orang Israel sehingga kami membawa mereka ke tempat mereka. Sementara itu, anak-anak kami akan tinggal di kota-kota berkubu, terlindung daripada penduduk negeri ini. Kami tidak akan kembali ke rumah kami sampai setiap orang daripada orang Israel mendapat bahagian harta pusaka masing-masing. Kami pun tidak ingin memperoleh harta pusaka bersama-sama mereka di seberang Sungai Yordan sana dan sekitarnya, kerana kami telah memperoleh harta pusaka di sini, di seberang Sungai Yordan sebelah timur.” Kata Musa kepada mereka, “Jika itu yang hendak kamu lakukan, iaitu bahawa kamu akan mempersenjatai diri untuk berperang di hadapan TUHAN, dan bahawa semua orang kamu yang bersenjata mahu menyeberangi Sungai Yordan di hadapan TUHAN sampai Dia mengusir musuh-Nya dari hadapan-Nya dan negeri itu tertakluk di hadapan TUHAN, maka sesudah itu kamu akan kembali dan bebas daripada kewajipanmu terhadap TUHAN dan terhadap orang Israel. Tanah ini pun akan menjadi milikmu di hadapan TUHAN. Akan tetapi, jika kamu tidak berbuat demikian, sesungguhnya kamu berdosa terhadap TUHAN dan ketahuilah, dosamu itu akan menimpa kamu. Bangunkanlah kota-kota untuk anak-anakmu dan kandang-kandang untuk kawanan dombamu, lalu lakukanlah apa yang telah kamu ucapkan.”