BILANGAN 22:21-35

BILANGAN 22:21-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Bileam bangun pada paginya dan mengenakan pelana pada keldainya lalu pergi bersama-sama orang besar Moab itu. Akan tetapi, ternyalalah murka Allah kerana dia pergi, maka malaikat TUHAN berdiri di jalan, mengadangnya sebagai lawan. Pada waktu itu Bileam menunggangi keldainya dan kedua-dua pelayannya menyertainya. Ketika keldai itu melihat malaikat TUHAN berdiri di jalan dengan pedang terhunus di tangannya, menyimpanglah keldai itu dari jalan lalu masuk ke ladang. Bileam memukul keldainya supaya kembali ke jalan. Kemudian malaikat TUHAN berdiri di tempat yang sempit di antara dua kebun anggur dengan tembok di sebelah-menyebelah. Apabila keldai itu melihat malaikat TUHAN, dia merapatkan tubuhnya pada tembok sehingga kaki Bileam terhimpit tembok. Lalu dia memukul keldainya lagi. Setelah itu, malaikat TUHAN berjalan terus dan berdiri di suatu tempat sempit tanpa ada jalan untuk menyimpang ke kanan atau ke kiri. Apabila keldai itu melihat malaikat TUHAN, direbahkannya badannya walhal Bileam masih berada di atasnya. Maka meluaplah amarah Bileam sehingga dipukulnya keldai itu dengan tongkatnya. Kemudian TUHAN membuat keldai itu dapat berkata-kata lantas berkatalah keldai itu kepada Bileam, “Apakah yang kulakukan terhadapmu sehingga kamu memukul aku tiga kali?” Jawab Bileam kepada keldai itu, “Kerana kamu membodohkan aku! Kalaulah ada pedang di tanganku tentulah kamu kubunuh sekarang.” Kata keldai itu kepada Bileam, “Bukankah aku ini keldaimu yang kamu tunggangi seumur hidupmu sampai hari ini? Adakah aku biasa berbuat demikian padamu?” Jawabnya, “Tidak.” Kemudian TUHAN menyingkapkan mata Bileam sehingga dia melihat malaikat TUHAN berdiri di jalan dengan pedang terhunus di tangannya. Maka membongkoklah dia dan sujud memberi hormat. Sabda malaikat TUHAN kepadanya, “Mengapakah kamu memukul keldaimu sampai tiga kali? Ketahuilah, Aku keluar sebagai lawanmu, kerana ketelanjuran kelakuanmu di hadapan-Ku. Keldai ini melihat Aku dan sudah tiga kali menyimpang dari hadapan-Ku. Kalau keldai itu tidak menyimpang dari hadapan-Ku, tentulah kamu sudah Kubunuh, dan keldai itu Kubiarkan hidup.” Kata Bileam kepada malaikat TUHAN, “Hamba telah berdosa kerana hamba tidak tahu bahawa Engkau berdiri di jalan mengadang hamba. Sekarang, jika Engkau tidak berkenan akan hal ini, maka hamba hendak pulang.” Sabda malaikat TUHAN kepada Bileam, “Pergilah bersama dengan orang itu, tetapi hanya katakan apa yang Kusabdakan kepadamu sahaja.” Maka pergilah Bileam bersama-sama orang besar Balak.

BILANGAN 22:21-35 Alkitab Berita Baik (BM)

Keesokan paginya Bileam memasang pelana pada keldainya, lalu pergi bersama-sama para pemimpin Moab itu. Allah murka kerana Bileam berangkat. Sementara Bileam menunggang keldainya, diiringi oleh dua orang hambanya, malaikat TUHAN berdiri di tengah jalan untuk menghalangi dia. Apabila keldai itu nampak malaikat TUHAN berdiri di situ sambil memegang sebilah pedang, keldai itu menyimpang ke ladang. Bileam memukul keldainya dan menuntunnya kembali ke jalan. Kemudian malaikat TUHAN berdiri di bahagian jalan yang sempit, di antara dua kebun anggur dengan tembok batu di sebelah-menyebelah. Apabila keldai itu nampak malaikat di situ, keldai itu minggir sehingga kaki Bileam terjepit ke tembok. Sekali lagi Bileam memukul keldainya. Malaikat TUHAN maju lagi dan berdiri di tempat yang lebih sempit, sehingga tidak ada jalan untuk menyimpang ke kanan atau ke kiri. Kali ini, ketika keldai itu nampak malaikat TUHAN, keldai itu merebahkan badan. Bileam naik marah lalu memukul keldai itu dengan tongkatnya. Kemudian TUHAN membolehkan keldai itu bercakap, lalu keldai itu berkata kepada Bileam, “Apakah kesalahan saya? Mengapakah tuan memukul saya sampai tiga kali?” Bileam menjawab, “Oleh sebab engkau mempermainkan aku! Jika aku mempunyai sebilah pedang, sudah pasti aku membunuh engkau.” Keldai itu menjawab, “Bukankah tuan menunggangi saya seumur hidup tuan? Pernahkah saya memperlakukan tuan begini?” “Tidak,” jawab Bileam. Kemudian TUHAN membolehkan Bileam melihat malaikat TUHAN yang berdiri di situ dengan pedang terhunus, lalu Bileam sujud menyembah. Malaikat itu berkata, “Mengapakah engkau memukul keldaimu sampai tiga kali? Akulah yang menghalangi perjalananmu, kerana engkau tidak seharusnya pergi. Tetapi keldaimu nampak aku dan keldai itu minggir tiga kali. Jika tidak, aku pasti membunuh engkau dan membiarkan keldaimu hidup.” Bileam menjawab, “Saya sudah berdosa. Saya tidak tahu bahawa tuan berdiri di hadapan untuk menghalangi saya. Jika pada pendapat tuan, saya tidak seharusnya pergi, baiklah saya pulang.” Tetapi malaikat TUHAN berkata, “Pergilah bersama-sama semua orang ini, tetapi hanya katakan apa yang aku suruh engkau katakan.” Oleh itu Bileam meneruskan perjalanannya bersama-sama semua orang itu.