Bilangan 22

22
Bileam enggan mengutuk Israel
1Kemudian berangkatlah orang Israel, lalu berkhemah di dataran Moab, di seberang Sungai Yordan dekat Yerikho.
2Balak anak Zipor melihat segala sesuatu yang dilakukan orang Israel terhadap bani Amori. 3Bani Moab menjadi sangat takut akan orang Israel kerana jumlah mereka sangat ramai. Hati mereka kecut menghadapi orang Israel. 4Lalu kata mereka kepada tua-tua Midian, “Sekarang pasukan besar itu akan melahap segala sesuatu di sekeliling kita seperti lembu melahap tumbuhan hijau di padang.” Maka Balak anak Zipor, raja Moab pada waktu itu, 5#Bil 31:8; 2Ptr 2:15,16; Yud 1:11.mengirimkan beberapa utusan kepada Bileam anak Beor di Petor. Petor terletak di tepi Sungai Efrat, di bumi asal bangsanya. Dipesannya kepada Bileam, “Ketahuilah, ada suatu bangsa yang keluar dari Mesir dan sesungguhnya mereka menutupi muka bumi, dan sekarang mereka sedang tinggal berseberangan denganku. 6Oleh sebab itu datanglah ke mari sekarang dan kutuklah bangsa itu bagiku, kerana mereka lebih kuat daripada aku. Siapa tahu aku dapat mengalahkan mereka dan mengusir mereka dari negeri ini. Kerana aku tahu jika kamu memohonkan berkat bagi seseorang, dia memperoleh berkat, dan jika kamu mengutuk seseorang, dia menerima bahana kutukan.”
7Kemudian, dengan membawa upah bagi penelahan mereka, berangkatlah tua-tua Moab dan Midian, lalu sampainya mereka di tempat Bileam maka mereka pun menyampaikan pesan Balak kepadanya. 8Kata Bileam kepada mereka, “Bermalamlah di sini, aku akan memberi kamu jawapan sebagaimana yang difirmankan TUHAN kepadaku.” Maka tinggallah orang besar Moab itu di tempat Bileam.
9Kemudian Allah mendatangi Bileam dan berfirman, “Siapakah orang yang ada bersama-samamu itu?”
10Jawab Bileam kepada Allah, “Balak anak Zipor, raja Moab, mengutus mereka kepadaku dengan pesan, 11‘Ketahuilah, ada suatu bangsa yang keluar dari Mesir, dan mereka menutupi muka bumi. Sekarang datanglah ke mari dan kutuklah mereka bagiku. Siapa tahu aku dapat memerangi mereka dan mengusir mereka.’ ”
12Firman Allah kepada Bileam, “Jangan pergi bersama-sama mereka dan jangan kutuk bangsa itu, kerana mereka bangsa yang diberkati.”
13Bangunlah Bileam pada pagi hari lalu katanya kepada orang besar Balak, “Pulanglah ke negerimu kerana TUHAN tidak mengizinkan aku pergi berserta kamu.” 14Maka orang besar Moab itu segera pulang kepada Balak dan berkata, “Bileam tidak mahu datang bersama-sama kami.”
15Sekali lagi Balak mengutus beberapa orang besar yang lebih ramai dan lebih mulia daripada yang terdahulu. 16Sesampainya mereka di tempat Bileam, berkatalah mereka kepadanya, “Beginilah titah Balak anak Zipor, ‘Jangan biarkan sesuatu menghalang kamu untuk datang kepadaku, 17kerana aku akan memberi hormat kepada kamu setinggi-tingginya. Apa pun yang kamu minta kepadaku akan aku lakukan. Oleh sebab itu datanglah ke mari dan kutuklah bangsa itu bagiku.’ ”
18Jawab Bileam kepada para pegawai Balak, “Sekalipun Balak memberikan kepadaku perak dan emas yang memenuhi sebuah istana pun aku tidak dapat melanggar firman TUHAN, Allahku, baik itu perkara besar mahupun kecil. 19Sekarang, tinggallah bersama-samaku di sini, aku akan mendapat tahu apa lagi yang akan difirmankan TUHAN kepadaku.”
20Lalu Allah mendatangi Bileam pada malam hari dan berfirman kepadanya, “Jika orang itu memang datang untuk memanggil kamu, pergilah segera bersama-sama mereka, tetapi kamu hanya akan melakukan apa yang Kufirmankan kepadamu sahaja.”
Keldai Bileam dan malaikat Allah
21Bileam bangun pada paginya dan mengenakan pelana pada keldainya lalu pergi bersama-sama orang besar Moab itu. 22Akan tetapi, ternyalalah murka Allah kerana dia pergi, maka malaikat TUHAN berdiri di jalan, mengadangnya sebagai lawan. Pada waktu itu Bileam menunggangi keldainya dan kedua-dua pelayannya menyertainya. 23Ketika keldai itu melihat malaikat TUHAN berdiri di jalan dengan pedang terhunus di tangannya, menyimpanglah keldai itu dari jalan lalu masuk ke ladang. Bileam memukul keldainya supaya kembali ke jalan. 24Kemudian malaikat TUHAN berdiri di tempat yang sempit di antara dua kebun anggur dengan tembok di sebelah-menyebelah. 25Apabila keldai itu melihat malaikat TUHAN, dia merapatkan tubuhnya pada tembok sehingga kaki Bileam terhimpit tembok. Lalu dia memukul keldainya lagi. 26Setelah itu, malaikat TUHAN berjalan terus dan berdiri di suatu tempat sempit tanpa ada jalan untuk menyimpang ke kanan atau ke kiri. 27Apabila keldai itu melihat malaikat TUHAN, direbahkannya badannya walhal Bileam masih berada di atasnya. Maka meluaplah amarah Bileam sehingga dipukulnya keldai itu dengan tongkatnya. 28Kemudian TUHAN membuat keldai itu dapat berkata-kata lantas berkatalah keldai itu kepada Bileam, “Apakah yang kulakukan terhadapmu sehingga kamu memukul aku tiga kali?”
29Jawab Bileam kepada keldai itu, “Kerana kamu membodohkan aku! Kalaulah ada pedang di tanganku tentulah kamu kubunuh sekarang.”
30Kata keldai itu kepada Bileam, “Bukankah aku ini keldaimu yang kamu tunggangi seumur hidupmu sampai hari ini? Adakah aku biasa berbuat demikian padamu?”
Jawabnya, “Tidak.”
31Kemudian TUHAN menyingkapkan mata Bileam sehingga dia melihat malaikat TUHAN berdiri di jalan dengan pedang terhunus di tangannya. Maka membongkoklah dia dan sujud memberi hormat. 32Sabda malaikat TUHAN kepadanya, “Mengapakah kamu memukul keldaimu sampai tiga kali? Ketahuilah, Aku keluar sebagai lawanmu, kerana ketelanjuran kelakuanmu di hadapan-Ku. 33Keldai ini melihat Aku dan sudah tiga kali menyimpang dari hadapan-Ku. Kalau keldai itu tidak menyimpang dari hadapan-Ku, tentulah kamu sudah Kubunuh, dan keldai itu Kubiarkan hidup.”
34Kata Bileam kepada malaikat TUHAN, “Hamba telah berdosa kerana hamba tidak tahu bahawa Engkau berdiri di jalan mengadang hamba. Sekarang, jika Engkau tidak berkenan akan hal ini, maka hamba hendak pulang.”
35Sabda malaikat TUHAN kepada Bileam, “Pergilah bersama dengan orang itu, tetapi hanya katakan apa yang Kusabdakan kepadamu sahaja.” Maka pergilah Bileam bersama-sama orang besar Balak.
Bertemulah Bileam dengan Balak
36Setelah Balak mendengar bahawa Bileam sudah tiba, keluarlah dia menyongsong Bileam ke kota Moab yang terletak di perbatasan Sungai Arnon, di hujung perbatasan daerahnya. 37Kemudian Balak berkata kepada Bileam, “Bukankah aku sudah mengutus orang untuk memanggil kamu? Mengapakah kamu tidak mahu datang kepadaku? Tidakkah aku mampu memberi hormat kepada kamu?”
38Jawab Bileam kepada Balak, “Nah, aku sudah datang kepadamu sekarang! Tetapi adakah mungkin aku dapat mengatakan sesuatu? Firman yang diberitahukan Allah kepadaku, itulah yang akan kukatakan.” 39Kemudian Bileam pergi bersama dengan Balak, dan sampailah mereka di Kiryat-Huzot. 40Balak mengorbankan beberapa ekor daripada kawanan lembu dan kawanan domba lalu mengirimkannya pula kepada Bileam serta orang besar yang menyertainya.
41Pagi harinya Balak memanggil Bileam dan membawanya ke Bamot-Baal. Dari sana dia melihat sebahagian daripada bangsa Israel.

Terpilih Sekarang Ini:

Bilangan 22: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk