NEHEMIA 4:15-23

NEHEMIA 4:15-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Musuh kami mendengar bahawa muslihat mereka sudah kami ketahui. Oleh itu mereka sedar bahawa Allah sudah menggagalkan rancangan mereka. Kemudian kami semua kembali bekerja memperbaiki tembok itu. Sejak itu setengah daripada anak buahku bekerja, dan setengah lagi berkawal dengan berpakaian baju perang, lengkap dengan tombak, perisai, dan panah. Para pemimpin kami memberikan sokongan penuh kepada mereka yang memperbaiki tembok itu. Bahkan mereka yang mengangkat bahan binaan pun bekerja dengan satu tangan, dan membawa senjata dengan tangan sebelah. Tiap-tiap orang yang bekerja dalam pembinaan membawa sebilah pedang yang terikat pada pinggangnya. Orang yang bertugas meniup trompet sebagai tanda bahaya sentiasa di sampingku. Aku berkata kepada rakyat, para pegawai, dan pemimpin mereka, “Pekerjaan ini meliputi jarak yang luas, sehingga kita terpencar-pencar di sepanjang tembok ini, seorang jauh daripada yang lain. Oleh itu, jika kamu mendengar bunyi trompet, segeralah berkumpul di sekelilingku. Allah kita akan berperang untuk kita.” Demikianlah kami bekerja tiap-tiap hari, mulai dari subuh sehingga bintang-bintang kelihatan di langit. Setengah daripada rakyat bekerja memperbaiki tembok, dan setengah lagi berkawal dengan membawa tombak. Selama masa itu aku menyuruh semua pengawas dan semua pembantu mereka bermalam di Yerusalem, supaya kami dapat mengawal kota pada malam hari dan bekerja pada siang hari. Aku tidak menanggalkan pakaianku walaupun pada waktu malam, dan demikian juga teman-temanku, anak buahku, dan para pengawal peribadiku. Kami semua sentiasa dalam keadaan siap sedia, dengan memegang senjata kami.

NEHEMIA 4:15-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika musuh kami mendengar bahawa kami sudah mengetahui hal itu dan bahawa Allah telah menggagalkan rancangan mereka, maka kami semua dapat kembali ke tembok dan ke bahagian pekerjaan kami masing-masing. Sejak hari itu sebahagian daripada anak buahku bekerja dan sebahagian yang lain memegang tombak, perisai, busur panah, serta berbaju zirah, sedangkan para pemimpin menempatkan diri di belakang seluruh keturunan kaum Yehuda yang membina semula tembok. Orang yang memikul serta mengangkut beban melakukan pekerjaannya dengan sebelah tangan sementara sebelah tangan yang lain memegang senjata. Dan setiap pembina yang melaksanakan pembinaan semula menyandang pedang di pinggang masing-masing sambil bekerja, sementara orang yang meniup nafiri ada di sisiku. Kataku kepada para bangsawan, para pemimpin, dan umat yang selebihnya, “Pekerjaan ini besar dan luas, dan kita terpencar di atas tembok, berjauhan antara satu sama lain. Kalau kamu mendengar bunyi nafiri di suatu tempat, berkumpullah di sana mendapatkan kami. Allah kita akan berperang bagi kita.” Demikianlah kami melaksanakan pekerjaan itu dengan sebahagian daripada orang memegang tombak, dari waktu fajar menyingsing sampai waktu bintang-bintang muncul. Juga pada waktu itu aku berkata kepada rakyat, “Setiap orang dengan anak buahnya harus bermalam di Yerusalem, supaya mereka dapat menjadi penjaga kami pada malam hari dan bekerja pada siang hari.” Tidak ada daripada kami, baik aku, para saudaraku, anak buahku, mahupun para pengawalku yang sempat menanggalkan pakaian. Setiap orang membawa senjatanya sekalipun sewaktu mengambil air minuman.