NEHEMIA 2:1-10

NEHEMIA 2:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari, empat bulan kemudian, iaitu pada bulan Nisan, ketika Raja Artahsasta sedang makan, aku menghidangkan wain kepadanya. Sebelum itu, raja belum pernah nampak aku bersedih. Oleh itu raja bertanya, “Mengapa engkau kelihatan sangat sedih? Engkau tidak sakit; tentu ada perkara yang menyusahkan hatimu.” Aku terperanjat, lalu menjawab, “Daulat tuanku! Mana mungkin hamba tidak bersedih, apabila kota tempat nenek moyang hamba dikuburkan sedang dalam keadaan reruntuhan, dan pintu-pintu gerbangnya musnah dimakan api?” Raja bertanya, “Kalau begitu, apakah keinginanmu?” Aku berdoa dalam hati kepada Allah penguasa di syurga, lalu aku berkata kepada raja, “Jika tuanku berkenan, dan tuanku sudi mengabulkan permohonan hamba, benarkanlah hamba pergi ke negeri Yehuda, kota tempat nenek moyang hamba dikuburkan, supaya hamba dapat membina semula kota itu.” Raja, yang duduk bersama dengan permaisuri di sisinya, mengabulkan permohonanku. Raja bertanya berapa lama aku akan tinggal di sana, dan bila aku akan kembali. Aku pun memberitahu raja masanya aku akan kembali. Selepas itu aku memohon supaya raja memberi aku beberapa pucuk surat bagi gabenor-gabenor di Wilayah Efrat Barat, supaya mereka membenarkan aku pergi ke Yehuda. Selain itu, aku juga meminta surat bagi Asaf, pengawas hutan diraja, supaya dia memberi aku kayu balak bagi pintu gerbang kubu yang menjadi pertahanan Rumah TUHAN, dan bagi tembok kota, serta rumah yang akan kudiami. Raja mengabulkan semua permohonanku itu kerana Allah menyertai aku. Raja mengutus beberapa orang pegawai tentera dan sepasukan askar berkuda untuk mengiringi aku dalam perjalananku ke Efrat Barat. Apabila aku tiba di sana, aku menyerahkan surat-surat raja itu kepada para gabenor. Tetapi Sanbalat, orang dari kota Bet-Horon, dan Tobia, pegawai dari wilayah Amon, mendengar bahawa ada orang yang datang untuk menolong umat Israel. Oleh itu mereka sangat marah.

NEHEMIA 2:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka pada bulan Nisan dalam tahun kedua puluh pemerintahan Raja Artahsasta, aku mengangkat air anggur yang tersaji di hadapan baginda dan menyampaikannya kepada raja. Belum pernah aku kelihatan murung di hadapan baginda, sehingga raja berkata kepadaku, “Mengapakah murung mukamu, padahal engkau tidak sakit? Tentulah engkau sedang bersusah hati!” Aku pun menjadi sangat takut. Kataku kepada raja, “Hidup raja selama-lamanya! Bagaimanakah muka hamba tidak murung sedangkan kota tempat pemakaman nenek moyang hamba telah rosak dan pintu-pintu gerbangnya hangus dijilat api?” Tanya raja kepadaku, “Apakah yang ingin kamu minta?” Aku berdoa kepada Allah semesta langit lalu berkata kepada raja, “Jika baik menurut raja dan jika tuanku berkenan kepada hambamu ini, utuslah hamba ke Tanah Yehuda, ke kota tempat pemakaman nenek moyang hamba, supaya hamba dapat membina semula kota itu.” Tanya raja kepadaku, sementara permaisuri duduk di samping baginda, “Berapa lamakah perjalananmu nanti, dan bilakah engkau kembali?” Raja berkenan mengutus aku, maka aku pun menyampaikan suatu tempoh tertentu kepadanya. Aku berkata kepada raja, “Jika baik menurut raja, berilah hamba surat pengantar bagi para pembesar di seberang Sungai Efrat, supaya mereka mengizinkan hamba melalui kawasan mereka sehingga hamba tiba di Tanah Yehuda; juga sepucuk surat untuk Asaf, pengawas hutan raja, supaya dia memberi hamba kayu untuk membuat segala galang bagi pintu-pintu gerbang puri Bait Suci, bagi tembok kota, dan bagi rumah yang akan hamba diami.” Raja mengabulkan permintaanku kerana tangan Allahku yang baik menaungi aku. Sesampainya aku di seberang Sungai Efrat, surat-surat pengantar daripada raja kuserahkan kepada para pembesar. Selain itu raja pun telah menyuruh para panglima tentera dan pasukan berkuda menyertai aku. Ketika hal itu didengar oleh Sanbalat, orang Horon, dan Tobia, seorang pegawai bangsa Amon, bahawa ada orang yang datang untuk mengusahakan agar orang Israel beroleh kesejahteraan, mereka sangat tidak suka.