Nehemia 2:1-10

Nehemia 2:1-10 AVB

Maka pada bulan Nisan dalam tahun kedua puluh pemerintahan Raja Artahsasta, aku mengangkat air anggur yang tersaji di hadapan baginda dan menyampaikannya kepada raja. Belum pernah aku kelihatan murung di hadapan baginda, sehingga raja berkata kepadaku, “Mengapakah murung mukamu, padahal engkau tidak sakit? Tentulah engkau sedang bersusah hati!” Aku pun menjadi sangat takut. Kataku kepada raja, “Hidup raja selama-lamanya! Bagaimanakah muka hamba tidak murung sedangkan kota tempat pemakaman nenek moyang hamba telah rosak dan pintu-pintu gerbangnya hangus dijilat api?” Tanya raja kepadaku, “Apakah yang ingin kamu minta?” Aku berdoa kepada Allah semesta langit lalu berkata kepada raja, “Jika baik menurut raja dan jika tuanku berkenan kepada hambamu ini, utuslah hamba ke Tanah Yehuda, ke kota tempat pemakaman nenek moyang hamba, supaya hamba dapat membina semula kota itu.” Tanya raja kepadaku, sementara permaisuri duduk di samping baginda, “Berapa lamakah perjalananmu nanti, dan bilakah engkau kembali?” Raja berkenan mengutus aku, maka aku pun menyampaikan suatu tempoh tertentu kepadanya. Aku berkata kepada raja, “Jika baik menurut raja, berilah hamba surat pengantar bagi para pembesar di seberang Sungai Efrat, supaya mereka mengizinkan hamba melalui kawasan mereka sehingga hamba tiba di Tanah Yehuda; juga sepucuk surat untuk Asaf, pengawas hutan raja, supaya dia memberi hamba kayu untuk membuat segala galang bagi pintu-pintu gerbang puri Bait Suci, bagi tembok kota, dan bagi rumah yang akan hamba diami.” Raja mengabulkan permintaanku kerana tangan Allahku yang baik menaungi aku. Sesampainya aku di seberang Sungai Efrat, surat-surat pengantar daripada raja kuserahkan kepada para pembesar. Selain itu raja pun telah menyuruh para panglima tentera dan pasukan berkuda menyertai aku. Ketika hal itu didengar oleh Sanbalat, orang Horon, dan Tobia, seorang pegawai bangsa Amon, bahawa ada orang yang datang untuk mengusahakan agar orang Israel beroleh kesejahteraan, mereka sangat tidak suka.