MARKUS 9:12-24

MARKUS 9:12-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus menjawab, “Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. Tetapi, mengapa di dalam Alkitab tertulis bahawa Anak Manusia akan mengalami banyak penderitaan serta dihina orang? Aku berkata kepada kamu: Elia sudah datang dan orang memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Hal itu tepat seperti yang tertulis di dalam Alkitab tentang dirinya.” Apabila mereka kembali kepada pengikut-pengikut yang lain, mereka nampak orang ramai di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan pengikut-pengikut Yesus. Sebaik sahaja orang ramai melihat Yesus, mereka kehairanan, lalu berlari menyambut Dia. Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?” Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat. Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus berkata kepada mereka, “Hai kamu orang yang tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah harus Aku bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!” Mereka pun membawa dia kepada Yesus. Sebaik sahaja roh jahat itu melihat Yesus, roh jahat itu membuat anak itu kena sawan sehingga anak itu jatuh terguling-guling ke tanah. Mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sudah berapa lamakah dia begini?” Bapanya menjawab, “Sejak dia masih kanak-kanak lagi! Sering kali roh jahat itu cuba membunuhnya dengan membuang dia ke dalam api atau air. Kasihanilah kami dan tolonglah kami, sekiranya guru dapat menolong!” “Apa katamu? Jika guru dapat?” jawab Yesus. “Orang yang percaya kepada Allah dapat melakukan segala sesuatu!” Bapa itu segera berseru, “Saya percaya, tetapi iman saya kurang. Tolonglah saya supaya lebih percaya lagi!”

MARKUS 9:12-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka jawabnya sambil bŭrkata kapada marika itu, Adapun Ilias itu sasunggohnya datang mula mula, maka iya tŭlah mŭmbaikki sagala pŭrkara, maka bagimana tŭlah tŭrtulis derihal Anak manusia, maka dapat tiada iya kŭlak mŭnanggong banyak pŭrkara, maka iya kŭlak akan ditolakkan. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, bahwa Ilias itu sasunggohnya sudah datang, maka tŭlah dipŭrbuat ulih marika itu akan dia barang apa sukanya, spŭrti yang tŭrtulis deri halnya. ¶ Maka apabila datanglah Isa kapada murid muridnya, maka dilihatnya tŭrlalu banyak bŭlatantara bŭrklilingnya, dan khatib khatib itu pun bŭrbantah bantahlah kapadanya. Maka apabila dilihat ulih marika itu akan dia, dŭngan sŭgranya hieranlah marika itu, sŭrta bŭrlari larilah datang kapadanya mŭmbri sŭlam akan dia. Maka bŭrtanyalah Isa kapada khatib khatib itu, Apakah pŭrbantahan kamu dŭngan marika itu. Maka dijawablah ulih sa’orang deripada bŭlatantara itu, katanya, Tuhan, adalah sahya mŭmbawa kapadamu sa’orang anakku laki laki yang tŭrkŭna hantu bisu. Maka apabila barang kŭmana dibawanya akan dia, dipuntang pantingkannya akan dia, sŭrta bŭrbuehlah mulotnya, dan mŭngkŭrtak giginya, sŭrta mŭnjadilah iya makin susut; maka aku katakan kapada murid muridmu, supaya dibuangkannya akan dia, tŭtapi tiadalah bulih marika itu. Maka jawab Isa kapada murid muridnya, katanya, Hie bangsa yang korang iman, brapalah lamanya aku ini ada bŭrsama sama dŭngan angkau, dan brapa lamanya aku bulih mŭnahani akan dikau? Bawalah iya itu kapadaku. Maka dibawalah ulih marika itu akan dia, maka apa bila dilihatnya akan dia, maka dŭngan sŭgranya dipuntang pantingkannya akan budak itu, lalu jatohlah iya kabumi sŭrta mŭngglumang dŭngan bueh. Maka dipintalah ulih Isa kapada bapanya, Ada brapakah lamanya sudah budak ini jadi bŭgini? Maka jawabnya, Deri kŭchilnya. Maka kŭrap kali dijatohkannya kŭdalam api, dan kŭdalam ayer, handak dibinasakannya akan dia, tŭtapi jikalau kiranya bulih angkau mŭmbuat barang apa apa akan dia, kalau ada kasihan akan kami tulonglah akan kami. Maka kata Isa kapadanya, Jikalau kiranya bulih angkau pŭrchaya, sagala pŭrkara pun bulihlah jadi kapada orang yang pŭrchaya. Maka dŭngan sŭgranyalah bapa budak itu pun bŭrtriaklah, sambil bŭrkata dŭngan ayer matanya, Tuhan, aku pŭrchaya, tulonglah akan imanku yang lŭmah itu.

MARKUS 9:12-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus menjawab, “Benar, Elia akan datang dahulu dan memulihkan segala sesuatu. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Anak Manusia, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan? Aku berkata kepadamu, Elia sudah pun datang dan orang berbuat sesuka hati kepadanya, seperti yang tersurat tentang dirinya.” Apabila mereka pulang mendapatkan para murid yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang ahli Taurat sedang bersoal jawab dengan para murid Yesus. Sebaik-baik orang ramai itu melihat Yesus, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya. Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya, “Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?” Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, aku membawa anakku kepada murid-murid-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu. Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon murid-murid-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus berkata kepada mereka, “Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.” Mereka pun membawa anak itu kepada Yesus. Sebaik-baik roh itu melihat Yesus, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sejak bila dia begini?” Bapa anak itu menjawab, “Sejak dia kecil lagi. Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.” Yesus berkata kepadanya, “Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.” Bapa itu segera berseru, “Aku percaya; tolonglah aku yang kurang percaya ini!”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami