Markus 9:12-24

Markus 9:12-24 AVB

Yesus menjawab, “Benar, Elia akan datang dahulu dan memulihkan segala sesuatu. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Anak Manusia, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan? Aku berkata kepadamu, Elia sudah pun datang dan orang berbuat sesuka hati kepadanya, seperti yang tersurat tentang dirinya.” Apabila mereka pulang mendapatkan para murid yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang ahli Taurat sedang bersoal jawab dengan para murid Yesus. Sebaik-baik orang ramai itu melihat Yesus, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya. Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya, “Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?” Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, aku membawa anakku kepada murid-murid-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu. Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon murid-murid-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus berkata kepada mereka, “Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.” Mereka pun membawa anak itu kepada Yesus. Sebaik-baik roh itu melihat Yesus, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sejak bila dia begini?” Bapa anak itu menjawab, “Sejak dia kecil lagi. Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.” Yesus berkata kepadanya, “Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.” Bapa itu segera berseru, “Aku percaya; tolonglah aku yang kurang percaya ini!”