MARKUS 7:24-37
MARKUS 7:24-37 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat kota Tirus. Dia masuk ke dalam sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu bahawa Dia di situ, tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri. Seorang ibu, yang anak perempuannya dirasuk roh jahat mendengar perihal Yesus. Dia segera datang kepada-Nya lalu sujud di hadapan-Nya. Wanita itu bukan orang Yahudi dan dia dilahirkan di daerah Fenisia di Siria. Dia memohon supaya Yesus mengusir roh jahat yang merasuk anaknya. Tetapi Yesus menjawab, “Anak-anak harus diberikan makanan terlebih dahulu, kerana tidak patut kita mengambil makanan mereka lalu melemparkannya kepada anjing.” “Tuan,” jawab wanita itu, “anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak!” Yesus berkata kepadanya, “Kerana jawapanmu itu, pulanglah; roh jahat sudah keluar daripada anak perempuanmu!” Ketika ibu itu tiba di rumah, dia mendapati anaknya terbaring di katil, dan roh jahat benar-benar sudah keluar daripada anak itu. Kemudian Yesus meninggalkan daerah sekitar Tirus dan meneruskan perjalanan ke Tasik Galilea melalui Sidon. Dia melalui daerah Sepuluh Kota. Di situ beberapa orang membawa seorang tuli yang ada kecacatan pertuturan, kepada-Nya. Mereka memohon supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada orang itu. Yesus membawa dia ke tepi, jauh dari orang ramai, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Setelah itu Yesus meludah dan menjamah lidah orang itu. Kemudian Yesus menengadah ke langit dan menarik nafas panjang. Lalu Dia berkata kepada orang itu, “Effata,” yang bererti, “Terbukalah!” Seketika itu juga telinga orang itu terbuka, lidahnya pulih, lalu dia mula bercakap dengan mudah. Selepas itu Yesus melarang mereka menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Yesus melarang, semakin mereka menceritakannya. Semua orang yang mendengar hal itu sangat hairan. Mereka berkata, “Sungguh baik perbuatannya! Dia pun dapat membuat orang tuli mendengar dan orang bisu bercakap!”
MARKUS 7:24-37 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Hata maka bangunlah iya deri sana, lalu pŭrgi kŭtŭpi tanah Thor dan Sidon, masoklah iya dalam sa’buah rumah dŭngan kahandaknya jangan dikŭtahui ulih sa’orang jua pun, tŭtapi tiadalah bulih iya bŭrlindong. Kŭrna adalah sa’orang pŭrampuan punya anak pŭrampuan tŭrkŭna jin, yang tŭlah mŭnŭngar khabarnya, maka datanglah iya jatoh dikaki Isa. Adapun pŭrampuan itu sa’orang Grika, Serufinikan bangsanya, maka mŭmintalah iya kapada Isa supaya bulih dibuangkannya jin itu kluar deripada anaknya itu. Tŭtapi kata Isa kapadanya, Biarlah kanak kanak dibri makan dahulu, kŭrna tiada patut diambil roti kanak kanak itu dichampakkan dia kapada anjing. Maka jawabnya sŭrta bŭrkata kapada Isa, Ya Tuhan, bahwa anjing dibawah meja itu pun mŭmakan remah remah kanak kanak itu. Maka kata Isa kapada pŭrampuan itu, Ulih sŭbab pŭrkataan ini pulanglah angkau, bahwa Iblis itu tŭlah kluarlah deripada anakmu itu. Maka apabila pulanglah pŭrampuan itu karumahnya, maka didapatinya Iblis itu tŭlah kluarlah, maka adalah anak pŭrampuan itu bŭrbaring diatas tŭmpat tidor. ¶ Maka bŭrjalanlah pula lagi Isa deri jajahan Thor dan Sidon, maka datanglah iya kapada tasik Galilia mŭnŭrosi tŭngah tŭngah jajahan Dikapulis. Maka dibawalah ulih marika itu kapadanya sa’orang orang pŭkak yang telor pŭrkataannya, maka dipintalah ulih marika itu kapadanya, supaya dibubohnya tangan kaatasnya. Maka diambillah ulih Isa akan dia diasingkannya deripada bŭlatantara itu, maka dibubohkannya jarinya kadalam tŭlinganya sŭrta diludahkannya, maka dijamahnya lidahnya; Lalu tŭngadahlah iya kalangit, sŭrta bŭrkŭloh sambil katanya kapadanya, Ifphatha, yaani, tŭrbukalah. Maka tiba tiba tŭrbukalah tŭlinganya, dan urat lidahnya pun tŭrluchutlah, maka bŭrtutorlah iya dŭngan trang. Maka dipinta Isa kapada marika itu supaya jangan dibri tahu kapada sa’orang pun: tŭtapi makin dipintanya kapada marika itu, makinlah tŭrlebih pula dimashorkan ulih marika itu akan dia. Maka adalah tŭrlampau bŭsar ajaib, katanya, Iya tŭlah bŭrbuat sagala pŭkŭrjaan baik: orang yang pŭkak itu tŭlah mŭnŭngar, dan yang kŭlu itu bŭrkata kata.
MARKUS 7:24-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Yesus pergi dari situ ke kawasan berdekatan kota Tirus, lalu masuk ke sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu Dia ada di situ tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri. Ibu kepada seorang anak perempuan yang dirasuk roh jahat telah mendengar tentang Yesus lalu segera datang kepada-Nya dan sujud di hadapan-Nya. Wanita itu seorang Yunani, dia berasal dari daerah Fenisia di Siria. Dia memohon Yesus menghalau roh iblis yang merasuk anaknya. Yesus menjawab, “Anak-anak harus diberi makan dahulu. Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing.” “Benar, Tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak.” Maka Yesus berkata kepadanya, “Kerana jawapanmu itu, pulanglah. Roh iblis sudah keluar daripada tubuh anakmu.” Apabila ibu itu pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sedang berbaring di katil dan tidak lagi dirasuk roh iblis. Selepas itu Yesus meninggalkan daerah Tirus, meneruskan perjalanan ke Laut Galilea melalui Sidon, ke tengah-tengah daerah Sepuluh Kota. Di sana seorang bisu tuli dibawa kepada-Nya dengan permohonan agar Yesus meletakkan tangan padanya. Yesus membawanya ke samping, jauh daripada orang ramai itu, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Kemudian Dia meludah dan menyentuh lidah orang itu. Selepas itu, Dia menengadah ke langit lalu menarik nafas panjang dan berkata kepada orang itu, “Efata!” (ertinya “Terbukalah!”). Serta-merta telinga orang itu terbuka dan lidahnya pulih, lalu dia bertutur dengan baik. Yesus melarang semua yang hadir menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Yesus melarang, semakin mereka menceritakannya. Mereka sungguh hairan dan berkata, “Dia melakukan segala-galanya dengan baik sekali. Dia membolehkan orang tuli mendengar dan orang bisu berkata-kata.”