MARKUS 7:14-23
MARKUS 7:14-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Lalu sekali lagi Yesus memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, “Dengarlah supaya kamu mengerti! Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang, dapat menajiskan dia. Sebaliknya, apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia. [ Oleh itu, jika kamu bertelinga, dengarlah!]” Apabila Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang perumpamaan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu mengerti? Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang dapat menajiskan dia, kerana apa yang masuk itu tidak ke dalam hati, melainkan ke dalam perut, lalu keluar lagi.” Dengan kata-kata ini Yesus menyatakan bahawa semua makanan boleh dimakan. Yesus berkata lagi, “Apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia, kerana dari hatilah timbul fikiran jahat yang menyebabkan orang berbuat cabul, merompak, membunuh, berzina, tamak; melakukan segala perkara yang jahat, seperti menipu, berbuat yang tidak senonoh, cemburu, memfitnah, sombong, dan tidak berbudi pekerti. Semua perkara jahat ini timbul dari dalam dan hal itulah yang menajiskan orang.”
MARKUS 7:14-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Shahadan apabila dipanggil Isa akan sagala orang orang itu kapadanya, lalu katanya, Dŭngarlah ulih kamu akan daku masing masing, sŭrta mŭngarti. Suatu pun tiada yang deri luar itu kalau masok kŭdalamnya yang bulih mŭnŭjiskan dia, akan tŭtapinya pŭrkara yang kluar deripadanya, itulah dia yang mŭnŭjiskan manusia. Maka jikalau kiranya barang orang yang ada bŭrtŭlinga akan mŭnŭngar, handaklah iya mŭnŭngar. Maka apabila sudahlah Isa masok kŭdalam rumah deri pada orang orang itu, maka bŭrtanyalah murid muridnya kapadanya derihal pŭrumpamaan itu. Maka katanya kapada marika itu, Kamu pun dŭmkiankah dŭngan tiada fikiran? Tiadakah kamu mŭndapat kŭnyataannya barang suatu pŭrkara deri luar itu masok kŭdalam manusia itu, iya itu tiada bulih mŭnŭjiskan akan dia. Sŭbab iya itu tiada masok kŭdalam hati, mŭlainkan kŭdalam prot, iya itu kluar kŭdalam jamban mŭnyuchikan sagala makanannya. Maka katanya, Adapun yang kluar deripada manusia itulah akan mŭnŭjiskan manusia. Kŭrna deri dalam itu, iya itu yang kluar deri hati manusia, mŭmbawa fikiran yang jahat, pŭrsundalan, bŭrzinah, dan mŭmbunoh orang; Pŭnchuri, loba, kŭjahatan, pŭnipu, kainginan yang jahat, mata jahat, mŭnghujat, chongkak, dan kŭbodohan. Maka sagala pŭrkara jahat ini datang deri dalam, dan iya itu mŭnŭjiskan manusia.
MARKUS 7:14-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus memanggil orang ramai itu lagi lalu berkata kepada mereka, “Kamu semua, dengarlah kepada-Ku dan fahamlah. Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya. Jika kamu bertelinga, dengarlah!” Setelah Yesus meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya? Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula.” (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.) Kata-Nya lagi: “Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh, berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh. Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.”