MARKUS 5:5-20

MARKUS 5:5-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Siang malam dia berkeliaran di kuburan dan di bukit, sambil berteriak-teriak dan melukai tubuhnya dengan batu. Dia masih jauh tatkala dia nampak Yesus. Segera dia lari mendekati Yesus lalu sujud di hadapan-Nya. Dengan suara keras dia berseru, “Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Demi Allah, aku memohon, janganlah seksa aku!” ( Dia berkata demikian kerana Yesus berkata kepadanya, “Roh jahat, keluarlah daripada orang ini!”) Lalu Yesus bertanya kepadanya, “Siapa namamu?” Orang itu menjawab, “ ‘Legiun’ - kerana kami ini banyak sekali.” Dia memohon dengan sangat supaya Yesus tidak menyuruh roh-roh jahat itu keluar dari kawasan itu. Dekat tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit. Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, “Suruhlah kami masuk ke dalam babi-babi itu.” Yesus bersetuju. Kemudian roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam babi-babi itu. Kesemua babi itu - lebih kurang dua ribu ekor - terjun dari pinggir jurang ke dalam tasik lalu tenggelam. Penjaga-penjaga kawanan babi itu lari dan menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung. Lalu penduduk keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. Mereka datang kepada Yesus dan nampak orang yang tadinya dirasuk roh jahat, duduk di situ. Dia sudah berpakaian dan fikirannya waras. Mereka semua ketakutan. Semua orang yang telah menyaksikan perkara itu memberitahu mereka apa yang sudah berlaku kepada orang itu dan kawanan babi itu. Oleh itu mereka meminta Yesus meninggalkan daerah itu. Ketika Yesus menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh jahat memohon kepada-Nya, “Guru, benarkanlah saya mengikut guru.” Tetapi Yesus tidak membenarkan dia ikut. Sebaliknya Yesus berkata kepadanya, “Pulanglah kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu!” Demikianlah orang itu pergi ke seluruh daerah Sepuluh Kota dan memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. Semua orang yang mendengarnya kehairanan.

MARKUS 5:5-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka slalulah pada siang dan malam iya digunong gunong, dan dikubor kubor, bŭrtriak sŭrta dipotongnya dirinya dŭngan batu batu. Akan tŭtapi apabila dilihatnya Isa deri jauh, maka bŭrlarilah iya datang mŭnyŭmbah akan dia. Sambil iya bŭrtriak dŭngan nyaring suara katanya, Apakah bichara aku ini kapadamu, Isa Anak Allah yang maha tinggi, aku sumpahi akan dikau, dŭmi Allah, bahwa janganlah angkau seksakan aku. Maka kata Isa kapadanya, Kluarlah deripada orang itu, angkau jin yang nŭjis. Maka ditanyanya akan dia Apakah namamu? Maka jawabnya, katanya, Adapun namaku itu Lejion, kŭrna adalah kami banyak. Maka dipintanyalah kapada Isa banyak banyak, supaya jangan dibuangkannya akan dia kluar nŭgri. Maka adalah dŭkat dŭngan gunong itu banyaklah babi bŭrkawan kawan makan. Maka sagala hantu itu mŭminta kapadanya, katanya, Surohkanlah akan kami pŭrgi kapada babi babi itu, supaya bulih kami masok kadalamnya. Arkian maka dibrilah ulih Isa izin akan dia, maka hantu yang nŭjis itu pun kluarlah, lalu masok kapada babi babi itu, maka sagala kawan babi babi itu pun larilah turon dŭngan dŭrasnya kapada tŭmpat churam itu masok kadalam tasik, ada sŭkira kira dua ribu, lalu tŭngglamlah dalam ayer. Maka orang orang yang mŭmliharakan babi itu pun bŭrlarilah pŭrgi mŭmbri tahu itu kadalam nŭgri, dan kadarat darat, maka marika itu skalian pun kluar datang mŭlihat apakah yang tŭlah jadi itu. Maka datanglah marika itu mŭndapatkan Isa, sŭrta mŭlihat akan orang yang dirasok hantu itu, dan Lejion itu adalah dudok mŭmakie kain, sŭrta bŭringatan bŭtol; maka takotlah marika itu. Shahadan adapun orang orang yang tŭlah mŭlihat akan pŭrkara itu pun mŭmbrilah tahu kapada marika itu derihal orang yang dirasok hantu itu, dan deri hal babi babi itu pun. Maka marika itu pun mŭminta kapada Isa, supaya iya undor deripada jajahannya itu. Maka sŭtlah baliklah Isa kaprahu, maka orang yang dirasok hantu itu pun mŭminta kapadanya, supaya iya pun bulih bŭrsama sama dŭngan dia. Maka dalam itu pun tiadalah diluluskan ulih Isa akan dia, tŭtapi katanya padanya, Pulanglah angkau karumahmu kapada sahabat sahabatmu, dan katakanlah padanya, bagimana bŭsar pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuat ulih Tuhan akan dikau, dan iya tŭlah mŭngasihani akan dikau. Maka pulanglah iya, lalu dimulainya mŭmashorkan dalam nŭgri Dikapulis, bagimana bŭsar pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuat ulih Isa akan dia; maka sagala orang pun hieranlah.

MARKUS 5:5-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Siang malam dia merayau di perkuburan dan di bukit, sambil menjerit-jerit dan mencederakan badannya dengan batu. Dari jauh dia melihat Yesus lalu lari mendekati-Nya dan sujud di hadapan-Nya. Orang itu berseru dengan suara keras, “Ya Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi, apa urusan-Mu dengan aku? Demi Allah, jangan seksa aku!” Kerana sebelumnya Yesus berkata kepadanya, “Roh jahat, keluarlah kamu daripada orang ini!” Kemudian Yesus bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?” Orang itu menjawab, “Legion, kerana kami ini ramai sekali.” Dia memohon sungguh-sungguh kepada Yesus supaya tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu. Berdekatan tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit. Roh-roh iblis itu memohon kepada Yesus, “Suruhlah kami pindah kepada babi itu, biarlah kami masuk ke dalam tubuh babi itu.” Yesus bersetuju, lalu roh-roh jahat itu keluar dan masuk ke dalam tubuh kawanan babi itu. Kesemua babi itu, kira-kira dua ribu ekor, terjun dari tepi cenuram ke dalam laut lalu mati lemas. Penjaga-penjaga babi itu lari lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di desa. Para penduduk pun keluar hendak melihat apa yang telah terjadi. Mereka menghampiri Yesus lalu melihat orang yang tadinya dirasuk legion daripada roh iblis itu, kini duduk diam, sudah berpakaian dan ternyata siuman. Mereka semua pun ketakutan. Semua yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan segala-galanya tentang orang yang kerasukan roh iblis dan kawanan babi itu. Oleh itu, mereka meminta Yesus meninggalkan daerah itu. Ketika Yesus menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh iblis itu memohon kepada-Nya, supaya dia dibenarkan menyertai-Nya. Tetapi Yesus tidak membenarkannya, sebaliknya berkata, “Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu. Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan kepada kamu.” Orang itu pun mula menjelajahi daerah sepuluh kota dan menceritakan segala yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. Mereka semua kehairanan.