MARKUS 5:35-43
MARKUS 5:35-43 Alkitab Berita Baik (BM)
Semasa Yesus berkata demikian, beberapa orang pesuruh datang dari rumah Yairus dan memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Tak usah tuan susahkan guru lagi.” Yesus tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mereka, tetapi Dia berkata kepada Yairus, “Jangan takut, percayalah kepada-Ku!” Setelah itu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut Dia kecuali Petrus, Yakobus, dan Yohanes, saudara Yakobus. Apabila mereka tiba di rumah Yairus, Yesus melihat keadaan yang kecoh serta mendengar tangisan dan ratapan yang kuat. Lalu Yesus masuk dan berkata kepada mereka, “Mengapa sangat kecoh dan mengapa menangis? Anak itu tidak mati; dia hanya tidur!” Mereka mula mentertawakan Yesus. Oleh itu Yesus menyuruh mereka semua keluar. Dia mengajak ibu bapa anak itu serta ketiga-tiga orang pengikut-Nya masuk ke dalam bilik tempat anak itu berbaring. Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, “Talitha kum,” yang bererti, “Anak perempuan, Aku berkata kepadamu: Bangun!” Anak perempuan itu segera bangun lalu berjalan. (Umurnya dua belas tahun.) Ketika peristiwa itu berlaku, mereka semua sangat kagum. Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahukan hal itu kepada sesiapa pun. Lalu Dia berkata, “Berilah anak ini makanan.”
MARKUS 5:35-43 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun sŭmŭntara iya lagi tŭngah bŭrkata kata, maka datanglah sa’orang kapada pŭnghulu kŭnisa itu, katanya, Bahwa anakmu pŭrampuan itu sudah mati, mŭngapakah angkau mŭmbuat susah kapada Guru? Maka sŭrta didŭngar ulih Isa akan pŭrkataan yang dikatakannya itu, maka katanya kapada pŭnghulu kŭnisa itu, Janganlah angkau takot, mŭlainkan pŭrchayalah. Maka tiadalah dibri ulih Isa sa’orang pun mŭngikot dia, mŭlainkan Petros, dan Yakob, dan Yahya saudara Yakob itu. Maka datanglah iya karumah pŭnghulu kŭnisa itu, dilihatnya gadoh; maka adalah marika itu mŭnangis dan mŭratap yang amat sangat. Maka apabila masoklah iya kadalam, lalu katanya kapada marika itu, Mŭngapakah kamu mŭmbuat pŭrgadohan ini, dan mŭnangis? si‐Dayang ini bukannya mati, mŭlainkan tidor. Maka ditŭrtawakanlah ulih marika itu akan dia, sŭrta diolok olokkan. Akan tŭtapi apa bila disurohnya kluar skalian marika itu, maka dibawanya ibu bapa si‐Dayang itu, sŭrta dŭngan orang yang bŭrsama sama dŭngan dia itu, lalu masok kadalam tŭmpat si‐Dayang itu bŭrbaring. Maka dipŭgangnya akan tangan si‐Dayang itu, sambil bŭrkata kapadanya, Talitha kumi; yang tŭrsalin artinya, Dayang, aku bŭrkata kapadamu, bangunlah. Maka dŭngan skutika itu juga si‐Dayang itu pun bangunlah lalu bŭrjalan, kŭrna adalah umornya tŭlah dua blas tahun; maka skalian marika itu pun hieranlah dŭngan ajaib yang bŭsar. Maka dipintalah ulih Isa dŭngan skutika itu, janganlah sa’orang pun patut tahu, sŭrta dipŭsannya, brilah makan kapada si‐Dayang itu.
MARKUS 5:35-43 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sedang Yesus berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Guru lagi.” Yesus tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada ketua saumaah, “Jangan takut, percaya sahaja.” Lalu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yohanes, saudara Yakobus. Apabila tiba di rumah ketua saumaah, Yesus melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat. Yesus masuk lalu berkata kepada mereka, “Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur.” Tetapi mereka mentertawakan Yesus. Setelah menyuruh mereka semua keluar, Yesus mengajak ibu bapa anak itu dan murid-murid-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring. Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, “Talitha kum!” (maksudnya, “Anak perempuan, Aku berkata kepadamu, bangunlah!”). Anak perempuan yang berusia dua belas tahun itu segera bangkit lalu berjalan. Mereka semua sungguh kagum. Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa tentang perkara itu, lalu menyuruh mereka memberi anak itu makan.