MARKUS 5:21-34

MARKUS 5:21-34 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus kembali ke seberang tasik. Di pantai tasik itu, banyak sekali orang datang berkumpul di sekeliling Yesus. Yairus, ketua rumah ibadat tempatan, datang juga dan ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan Yesus. Dia memohon dengan sungguh-sungguh, “Guru, anak perempuan saya sakit tenat. Tolonglah datang dan letakkanlah tangan guru padanya, supaya dia sembuh dan tidak mati!” Yesus pun pergi bersama-sama Yairus. Orang yang mengikut Yesus amat banyak sehingga Dia diasak dari semua sisi. Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun. Dia sudah menghabiskan segala hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi dia tidak sembuh, malahan semakin parah keadaannya. Wanita itu telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Oleh itu dia datang ke tengah-tengah orang ramai dan mendekati Yesus dari belakang. “Jika aku dapat menyentuh jubah-Nya,” kata wanita itu dalam hati, “tentu aku akan sembuh.” Dia menyentuh jubah Yesus dan seketika itu juga pendarahannya berhenti. Wanita itu berasa dirinya sudah sembuh. Pada saat itu juga Yesus menyedari ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya. Yesus berpaling kepada orang ramai dan bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?” Pengikut-pengikut-Nya berkata, “Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Guru. Mengapa Guru bertanya siapa yang menyentuh Guru?” Tetapi Yesus memandang di sekeliling-Nya untuk mencari orang yang telah menyentuh-Nya. Wanita itu tahu akan apa yang telah berlaku pada dirinya. Dia gementar kerana takut, lalu sujud di hadapan Yesus dan memberitahu Dia segala-galanya. Yesus berkata kepada wanita itu, “Hai anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera. Kamu sihat sekarang!”

MARKUS 5:21-34 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Shahadan sŭtlah Isa itu tŭlah kŭmbali pula dŭngan pŭrahu itu kasŭbrang, maka banyaklah orang datang bŭrkrumun kapadanya, tŭtkala iya dŭkat kapada tasik itu. Maka sasungguhnya adalah sa’orang pŭnghulu kŭnisa, namanya Jairus; maka apabila dilihatnya akan Isa, lalu jatohlah iya dikakinya. Maka dipintanyalah banyak banyak kapadanya, katanya Adalah anakku pŭrampuan kŭchil tŭrbaring hampirlah mati; maka kupintalah kapadamu, marilah buboh tanganmu kaatasnya, supaya iya sŭmbohlah, maka iya kŭlak akan hidop. Maka pŭrgilah Isa dŭngan dia, sŭrta banyaklah orang mŭngikot dia, dan mŭnyŭsakkan dia. Maka adalah sa’orang pŭrampuan yang tumpah tumpah darahnya, dua blas tahun lamanya. Maka iya tŭlah mŭrasai bŭbrapa pŭrkara deripada bŭbrapa tabib, dan iya tŭlah mŭmblanjakan sŭmua barang barang yang ada kapadanya, tiadalah juga baik, mŭlainkan makin lebih bŭrtambah tambah sakitnya. Maka apabila didŭngar ulih pŭrampuan itu derihal Isa, datanglah iya dalam diasak orang deri blakang, lalu dijamahnya bajunya: Kŭrna katanya, Jikalau bulih kujamah pakieannya sahja, nŭschaya aku akan sŭmboh. Maka tiba tiba jalan darahnya itu pun kringlah, sŭrta dirasai ulih pŭrampuan itu tŭlah sŭmbohlah pŭnyakitnya itu. Maka dŭngan skutika itu juga dikŭtanilah ulih Isa dalam dirinya, bahwa khasiat tŭlah kluarlah deripadanya, maka bŭrpalinglah iya kablakang dalam sŭsak itu, sambil bŭrkata, Siapakah jamah pakieanku? Maka kata murid muridnya kapadanya, Angkau lihatlah orang orang banyak ini mŭngasak akan dikau, maka angkau katakan, siapakah mŭnjamah aku? Maka mŭmandanglah Isa bŭrkliling, dilihatnya pŭrampuan itu yang tŭlah bŭrbuat pŭrkara ini. Tŭtapi pŭrampuan itu pun kŭtakotanlah dŭngan gŭmŭntar, ulih sŭbab mŭngŭtahui barang yang tŭlah jadi dalamnya itu, maka datanglah iya sujud dihadapan Isa, sambil dikatakannya skalian itu dŭngan sŭbŭnarnya. Maka kata Isa kapada pŭrampuan itu, Anak, bahwa imanmu itu mŭnjadikan angkau sŭmboh, pŭrgilah angkau dŭngan slamatnya, maka pŭnyakitmu itu pun akan sŭmboh.

MARKUS 5:21-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Yesus kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali. Datanglah seorang bernama Yairus, ketua saumaah di situ. Ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan-Nya dan merayu, “Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup.” Yesus pun pergi bersama Yairus. Begitu ramainya orang yang mengikut Yesus sehingga Dia diasak dari semua pihak. Di situ ada seorang wanita yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, malah semakin parah keadaannya. Wanita itu telah banyak mendengar tentang Yesus. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya. “Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,” kata wanita itu, “tentu aku akan sembuh.” Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan badannya sudah sembuh. Pada saat itu Yesus sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?” Para murid-Nya berkata, “Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?” Tetapi Yesus memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu. Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Yesus serta menceritakan segala-galanya. Yesus berkata kepadanya, “Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu.”