MARKUS 4:1-20

MARKUS 4:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus mula mengajar lagi di tepi Tasik Galilea. Orang yang mengerumuni-Nya begitu banyak sehingga Dia terpaksa duduk di sebuah perahu di tasik itu. Orang ramai berdiri di tepi tasik. Yesus mengajar banyak perkara kepada mereka dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Lalu burung datang dan makan habis benih itu. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih ini segera tumbuh kerana kurang tanah, tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu, lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri ini tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut sehingga tidak berbuah. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur. Benih-benih itu bertunas, membesar, lalu berbuah. Ada yang tiga puluh kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.” Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!” Apabila Yesus sendirian, beberapa orang yang telah mendengar ajaran-Nya datang kepada-Nya bersama dengan dua belas orang pengikut-Nya. Mereka meminta Yesus menerangkan erti perumpamaan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi orang luar akan mendengar segalanya melalui perumpamaan supaya, ‘Mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham, kerana jika mereka memahaminya, mereka akan kembali kepada Allah dan Dia akan mengampuni mereka.’ ” Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami perumpamaan ini, bagaimanakah kamu dapat memahami perumpamaan yang lain? Peladang itu menabur perkhabaran Allah. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah. Tetapi sebaik sahaja mereka mendengarnya, Iblis datang lalu mengambil perkhabaran yang sudah ditabur di dalam hati mereka. Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu, dengan segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu. Tetapi kekhuatiran tentang hidup, keinginan untuk hidup mewah, dan pelbagai keinginan lain memenuhi hati mereka dan membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. Tetapi benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya, lalu berbuah; ada yang tiga puluh, ada yang enam puluh, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.”

MARKUS 4:1-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka dimulainyalah pula mŭngajar ditŭpi tasik, maka disanalah ada bŭrhimpun tŭrlalu banyak bŭlatŭntara, maka masoklah iya kadalam sa’buah prahu, lalu dudok dalam tasik, maka skalian bŭlatŭntara itu pun adalah ditŭpi tasik didarat. Lalu diajarnyalah akan marika itu bŭbrapa pŭrkara dŭngan pŭrumpamaan, maka katanya pada marika itu dalam plajarannya, Dŭngarlah, bahwa sasungguhnya kluarlah sa’orang pŭnabor handak mŭnabor; Maka sŭtlah tŭngah ditabornya, ada sŭparoh yang jatoh ditŭpi jalan, maka datanglah mŭrgastua yang diudara mŭmakankan sampie habis. Dan lagi sŭparoh pula jatoh ditŭmpat yang bŭrbatu, yang tiada banyak tanahnya, maka dŭngan sŭbŭntar itu juga bŭrtumbohlah iya, kŭrna tanahnya itu tiada dalam; Tŭtapi apabila tinggilah matahari, hanguslah iya, ulih sŭbab tiada iya bŭrakar, layulah iya. Dan sŭparohnya pula jatohlah diantara duri duri, maka duri duri itu pun bŭrtumbohlah, dilŭmaskannya akan dia, jadilah tiada iya bŭrbuah. Dan yang lain pula jatohlah ditanah yang baik, maka bŭrbuahlah iya makin bŭrtambah tambah buahnya, ada yang tiga puloh, ada yang anam puloh, ada yang sa’ratus. Maka kata Isa kapada marika itu, Barang siapa yang ada bŭrtlinga akan mŭnŭngar, handaklah iya mŭnŭngar. Maka tŭtkala Isa sa’orang orang, sagala marika itu yang ada bŭrkliling dia, sŭrta dŭngan dua blas murid muridnya itu pun bŭrtanyalah akan dia deri hal pŭrumpamaan itu. Maka katanya kapada marika itu, Adapun kapada kamu tŭlah dikurniakan yang bulih mŭngtahui akan rahsia krajaan Allah itu, tŭtapi kapada orang orang luar itu, sagala pŭrkara ini dijadikan pŭrumpamaan. Yang mŭlihat itu, biarlah dilihatnya, tŭtapi tiada kŭnyataannya; dan yang mŭnŭngar biarlah didŭngarnya, tapi tiada mŭngarti; asal jangan kŭlak barang bila pun baik marika itu jadi bŭrubah, maka dosa dosanya akan diampuni bagienya. Maka bŭrkatalah iya kapada marika itu, Tiadakah kamu mŭngtahui akan pŭrumpamaan ini, maka bagimanakah kŭlak kamu bulih mŭngtahui akan sagala pŭrumpamaan pŭrumpamaan itu? Adapun pŭnabor itulah yang mŭnaborkan pŭrkataan itu. Maka inilah marika itu yang ada ditŭpi jalan itu, ditŭmpat pŭrkataan itu ditaborkan; tŭtapi apabila didŭngar ulih marika itu, maka dŭngan skutika itu juga datanglah shietan itu mŭngambil akan pŭrkataan yang tŭlah tŭrtabor dalam hati marika itu. Dŭmkian lagi bŭnih yang tŭlah ditabori ditanah yang bŭrbatu itu, maka apabila sudah didŭngar ulih marika itu akan pŭrkataan itu, skutika itu juga ditrimanya akan dia dŭngan suka chitanya; Maka sŭbab tiada bŭrakar dalam dirinya sŭndiri, iya bŭrtahan sahja sŭdikit waktu, kumdian apabila kŭlak datanglah kŭsusahan, atau annyaya ulih sŭbab pŭrkataan itu, maka dŭngan sŭgranya kŭlak marika itu mungkir. Adapun inilah dia marika itu yang ditabori diantara duri duri itu, spŭrti orang yang mŭnŭngar akan pŭrkataan itu; Maka ingatannya akan dunia ini, dan kainginannya akan kŭkayaan, dan nafsunya kapada pŭrkara yang lain itu masok kadalam hatinya, maka iya itu mŭlŭmaskan pŭrkataan itu, maka jadilah iya tiada bŭrbuah. Adapun inilah dia marika itu yang ditabori pada tanah yang baik itu, apabila didŭngarnya akan pŭrkataan itu, sŭrta ditrimanya dia, maka bŭrbuahlah iya, ada yang tiga puloh kali gandah, ada yang anam puloh kali gandah, ada yang sa’ratus.

MARKUS 4:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus mula mengajar lagi di pinggir laut. Begitu ramainya orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya sehingga Dia terpaksa duduk di dalam sebuah perahu di laut itu manakala orang ramai berdiri di pantai. Yesus mengajar mereka banyak perkara melalui ibarat. Dalam ajaran-Nya itu, Dia berkata: “Dengarlah! Seorang penyemai pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu dimakan burung. Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam. Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar. Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.” Lalu kata-Nya, “Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!” Ketika Yesus bersendirian, dua belas murid-Nya dan beberapa orang yang ada bersama-Nya menanya Dia erti ibarat itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu telah diberi rahsia kerajaan Allah. Tetapi orang luar akan mendengar segala sesuatu melalui ibarat, supaya: ‘Mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak mengerti; kerana sekiranya mereka mengerti, mereka akan berpaling dan diampuni!’ ” Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain? Penyemai itu menabur firman. Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur. Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur dalam hati mereka. Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita, tetapi mereka tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik mereka menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, iman mereka pun segera luntur. Ada yang lain seperti benih yang ditabur di tengah semak berduri. Mereka mendengar firman itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia, tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah. Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur mendengar dan menerima firman itu lalu menghasilkan tiga puluh, enam puluh bahkan seratus kali ganda.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami