Markus 4:1-20

Markus 4:1-20 AVB

Yesus mula mengajar lagi di pinggir laut. Begitu ramainya orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya sehingga Dia terpaksa duduk di dalam sebuah perahu di laut itu manakala orang ramai berdiri di pantai. Yesus mengajar mereka banyak perkara melalui ibarat. Dalam ajaran-Nya itu, Dia berkata: “Dengarlah! Seorang penyemai pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu dimakan burung. Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam. Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar. Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.” Lalu kata-Nya, “Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!” Ketika Yesus bersendirian, dua belas murid-Nya dan beberapa orang yang ada bersama-Nya menanya Dia erti ibarat itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu telah diberi rahsia kerajaan Allah. Tetapi orang luar akan mendengar segala sesuatu melalui ibarat, supaya: ‘Mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak mengerti; kerana sekiranya mereka mengerti, mereka akan berpaling dan diampuni!’ ” Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain? Penyemai itu menabur firman. Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur. Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur dalam hati mereka. Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita, tetapi mereka tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik mereka menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, iman mereka pun segera luntur. Ada yang lain seperti benih yang ditabur di tengah semak berduri. Mereka mendengar firman itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia, tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah. Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur mendengar dan menerima firman itu lalu menghasilkan tiga puluh, enam puluh bahkan seratus kali ganda.”