MARKUS 16:9-20

MARKUS 16:9-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah Yesus bangkit daripada kematian pada pagi-pagi hari Ahad, mula-mula Dia menampakkan diri kepada Maria Magdalena. (Tujuh roh jahat pernah diusir daripada diri Maria.) Maria Magdalena pergi menyampaikan khabar itu kepada sahabat-sahabat Yesus, yang sedang berkabung dan menangis. Tetapi apabila mereka mendengar Maria berkata bahawa Yesus hidup dan bahawa Maria sudah nampak Yesus, mereka tidak percaya. Sesudah itu Yesus menampakkan diri kepada dua orang pengikut-Nya dengan cara lain. Hal itu berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung. Kemudian pengikut-pengikut ini balik dan memberitahukan hal itu kepada pengikut yang lain, tetapi mereka tidak percaya. Akhirnya, Yesus menampakkan diri kepada sebelas orang pengikut-Nya ketika mereka sedang makan. Dia menegur mereka kerana mereka kurang beriman dan terlalu degil, sehingga tidak percaya kepada kesaksian orang yang sudah melihat sendiri bahawa Dia hidup. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik daripada Allah kepada seluruh umat manusia. Orang yang percaya dan dibaptis akan selamat, tetapi orang yang tidak percaya akan dihukum. Kepada mereka yang percaya akan diberikan tanda-tanda ini: Mereka akan mengusir roh jahat demi nama-Ku; mereka akan berkata-kata dalam bahasa yang tidak diketahui. Jika mereka memegang ular atau meminum racun, mereka tidak akan mendapat celaka. Jika mereka meletakkan tangan pada orang sakit, orang sakit akan sembuh.” Setelah Tuhan Yesus berkata-kata dengan mereka, Dia diangkat ke syurga lalu duduk di sebelah kanan Allah. Pengikut-pengikut Yesus pergi mengkhabarkan Berita daripada Allah di serata tempat. Tuhan bekerja bersama-sama mereka dan melalui tanda-tanda itu, Dia membuktikan bahawa perkhabaran mereka benar.]

MARKUS 16:9-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Shahadan apabila Isa sudah bŭrbangkit pagi pagi pada hari yang pŭrtama deripada jŭmaat itu, maka mula mula iya klihatan kapada Mŭriam Magdalani, yang tŭlah dibuangkan Isa tujoh orang hantu itu deripadanya. Maka pŭrampuan itu pun pŭrgilah mŭmbri tahu kapada marika itu yang tŭlah bŭrsama sama dŭngan Isa, tŭtkala marika itu bŭrduka chita dan mŭnangis. Maka apabila marika itu mŭnŭngar Isa tŭlah hidoplah, dan tŭlah dilihat ulih pŭrampuan itu, tiadalah marika itu pŭrchaya. Hata kumdian deripada itu iya klihatan dŭngan rupa yang lain kapada dua orang deripada marika itu, tŭtkala marika itu bŭrjalan sŭrta masok kŭdalam nŭgri. Maka marika itu pun pŭrgilah mŭmbri tahu itu kapada murid muridnya yang tinggal lagi, tiada juga marika itu pŭrchaya. Maka kumdian klihatanlah iya kapada sa’blas orang murid muridnya, tŭtkala marika itu dudok makan, maka ditŭngkingkanlah ulih Isa akan dia, sŭbab tiada marika itu pŭrchaya, dan kras hatinya, sŭbab tiada pŭrchaya akan marika itu yang tŭlah mŭlihat akan dia, kumdian deripada iya tŭlah bŭrbangkit. Maka kata Isa kapada marika itu, Pŭrgilah kamu kapada sagala dunia, dan ajarkanlah akan Injil kapada sagala manusia. Adapun orang yang pŭrchaya, dan yang dibaptisakan, iya itu kŭlak akan slamat, tŭtapi orang yang tiada pŭrchaya itu, iya itu kŭlak akan dibinasakan. Maka alamat alamat ini akan mŭngikot orang yang pŭrchaya, maka dŭngan namaku kŭlak marika itu akan mŭmbuangkan hantu hantu, marika itu kŭlak akan bŭrkata kata dŭngan bŭrjŭnis jŭnis bahsa. Marika itu kŭlak akan mŭmŭgang ular ular, dan jikalau marika itu tŭrminum barang yang mŭmbunoh, tiada akan mŭnyakiti kapada marika itu; marika itu akan mŭnarohkan tangan ka’atas orang yang sakit, maka orang itu pun kŭlak akan sŭmboh. ¶ Hata sŭtlah sudah Tuhan bŭrkata kata kapada marika itu, maka iya tŭlah disambut kŭlangit, sŭrta dudok dikanan Allah. Maka marika itu pun pŭrgilah, sŭrta mŭngajar kapada barang tŭmpat, maka Tuhan ada bŭkŭrja bŭrsama sama dŭngan marika itu, dan ditŭtapkannya akan pŭrkataan itu dŭngan alamat alamat bŭrsama sama: Amin.

MARKUS 16:9-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah Yesus bangkit semula pada awal pagi hari pertama minggu itu, pertama sekali Dia menampakkan diri-Nya kepada Maria Magdalena yang telah disembuhkan-Nya daripada dirasuk tujuh roh iblis dahulu. Maria pun pergi memberitahu murid-murid-Nya yang sedang berkabung dan menangis. Ketika mendengar bahawa Yesus hidup dan telah dilihat oleh Maria, mereka tidak percaya. Selepas itu, Dia menampakkan diri dengan cara lain kepada dua orang daripada mereka ketika mereka sedang berjalan ke desa. Kedua-dua orang murid Yesus itu segera pergi memberitahu yang lain, tetapi mereka juga tidak percaya. Kemudian Dia menampakkan diri kepada kesemua murid-Nya yang sebelas itu ketika mereka sedang makan. Dia menegur sikap mereka yang tidak percaya dan keras hati, kerana mereka tidak mempercayai orang yang telah melihat-Nya setelah Dia bangkit semula. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke serata dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan. Sesiapa yang percaya dan dibaptiskan akan diselamatkan, tetapi sesiapa yang tidak percaya akan dihukum. Tanda-tanda ini akan menyertai mereka yang percaya: Dengan nama-Ku mereka akan menghalau roh-roh iblis, dan mereka akan bertutur dalam bahasa-bahasa baru. Mereka akan memegang ular tanpa mudarat. Kiranya mereka terminum racun, mereka tetap selamat. Mereka akan meletakkan tangan pada orang sakit dan orang itu akan sembuh.” Setelah Tuhan Yesus berkata-kata dengan mereka, Dia disambut naik ke syurga lalu duduk di kanan Allah. Para murid-Nya pergi menyampaikan perkhabaran Injil di serata dunia. Tuhan bekerja bersama mereka, mengesahkan firman dengan iringan tanda-tanda ajaib.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami