Markus 16:9-20

Markus 16:9-20 AVB

Setelah Yesus bangkit semula pada awal pagi hari pertama minggu itu, pertama sekali Dia menampakkan diri-Nya kepada Maria Magdalena yang telah disembuhkan-Nya daripada dirasuk tujuh roh iblis dahulu. Maria pun pergi memberitahu murid-murid-Nya yang sedang berkabung dan menangis. Ketika mendengar bahawa Yesus hidup dan telah dilihat oleh Maria, mereka tidak percaya. Selepas itu, Dia menampakkan diri dengan cara lain kepada dua orang daripada mereka ketika mereka sedang berjalan ke desa. Kedua-dua orang murid Yesus itu segera pergi memberitahu yang lain, tetapi mereka juga tidak percaya. Kemudian Dia menampakkan diri kepada kesemua murid-Nya yang sebelas itu ketika mereka sedang makan. Dia menegur sikap mereka yang tidak percaya dan keras hati, kerana mereka tidak mempercayai orang yang telah melihat-Nya setelah Dia bangkit semula. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke serata dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan. Sesiapa yang percaya dan dibaptiskan akan diselamatkan, tetapi sesiapa yang tidak percaya akan dihukum. Tanda-tanda ini akan menyertai mereka yang percaya: Dengan nama-Ku mereka akan menghalau roh-roh iblis, dan mereka akan bertutur dalam bahasa-bahasa baru. Mereka akan memegang ular tanpa mudarat. Kiranya mereka terminum racun, mereka tetap selamat. Mereka akan meletakkan tangan pada orang sakit dan orang itu akan sembuh.” Setelah Tuhan Yesus berkata-kata dengan mereka, Dia disambut naik ke syurga lalu duduk di kanan Allah. Para murid-Nya pergi menyampaikan perkhabaran Injil di serata dunia. Tuhan bekerja bersama mereka, mengesahkan firman dengan iringan tanda-tanda ajaib.

Related Videos

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Markus 16:9-20