MARKUS 16:1-11

MARKUS 16:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah hari Sabat berlalu, Maria Magdalena, Salome, dan Maria ibu Yakobus pergi membeli ramuan untuk melumuri jenazah Yesus. Pada hari Ahad, pagi-pagi sekali, ketika matahari terbit, mereka pergi ke kubur. Di tengah jalan mereka bercakap sesama sendiri, “Siapakah yang boleh menolong kita menggulingkan batu penutup pintu kubur?” (Batu itu sangat besar.) Tetapi apabila mereka tiba di situ, mereka melihat bahawa batu itu sudah digulingkan. Mereka masuk ke dalam kubur itu dan di sebelah kanan mereka nampak seorang lelaki muda memakai jubah putih duduk di situ. Mereka terkejut. Lelaki muda itu berkata, “Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus orang Nasaret yang telah disalibkan. Dia tidak ada di sini. Dia sudah dibangkitkan! Lihatlah, inilah tempat mereka meletakkan Dia. Sekarang pergilah dan sampaikan khabar ini kepada pengikut-pengikut-Nya termasuk Petrus. Katakan, ‘Dia pergi terlebih dahulu daripada kamu ke Galilea. Di situ kamu akan melihat Dia, sebagaimana yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.’ ” Mereka keluar lalu lari dari kubur itu kerana terkejut dan takut. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa pun, kerana mereka takut. [ Setelah Yesus bangkit daripada kematian pada pagi-pagi hari Ahad, mula-mula Dia menampakkan diri kepada Maria Magdalena. (Tujuh roh jahat pernah diusir daripada diri Maria.) Maria Magdalena pergi menyampaikan khabar itu kepada sahabat-sahabat Yesus, yang sedang berkabung dan menangis. Tetapi apabila mereka mendengar Maria berkata bahawa Yesus hidup dan bahawa Maria sudah nampak Yesus, mereka tidak percaya.

MARKUS 16:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA apabila lalulah hari sabtu itu, Mŭriam Magdalani, dan Mŭriam ibu Yakob, dan Salomi, mŭmbawa rŭmpah rŭmpah yang harum, supaya marika itu bulih datang mŭmbuboh akan dia. Maka pada pagi pagi hari yang pŭrtama deripada jŭmaat itu, maka datanglah marika itu kapada kubor itu pada waktu tŭrbit matahari. Maka bŭrkatalah marika itu sama sŭndirinya, Siapakah kŭlak akan mŭnggulingkan kita batu deripada kubor itu. Maka apabila dilihat ulih marika itu, klihatanlah batu itu sudah tŭrguling, kŭrna iya itu tŭrlalu bŭsar adanya. Maka sŭrta masok marika itu kŭdalam kubor itu dilihatnya sa’orang orang muda ada dudok disŭblah kanan, pakieannya baju puteh panjang, maka kŭtakotanlah marika itu. Maka katanya kapada marika itu, Janganlah takot, kamu mŭnchari Isa orang Nazareth itu yang tŭlah disalibkan; iya tŭlah bŭrbangkit, tiadalah iya disini; tengoklah tŭmpat itu yang dilŭtakkan marika itu akan dia. Tŭtapi pŭrgilah kamu katakan kapada murid muridnya, dan Petros, iya tŭlah pŭrgi dahulu deripada angkau kŭdalam Galilia, maka disanalah kŭlak kamu mŭlihat akan dia spŭrti iya tŭlah bŭrkata kapadamu. Maka kluarlah marika itu dŭngan sŭgranya, sŭrta bŭrlari lari deri kubor itu, kŭrna marika itu gŭmŭntar sŭrta dŭngan ajaib; tiadalah marika itu mŭngatakan kapada sa’orang pun, sŭbab marika itu takot. ¶ Shahadan apabila Isa sudah bŭrbangkit pagi pagi pada hari yang pŭrtama deripada jŭmaat itu, maka mula mula iya klihatan kapada Mŭriam Magdalani, yang tŭlah dibuangkan Isa tujoh orang hantu itu deripadanya. Maka pŭrampuan itu pun pŭrgilah mŭmbri tahu kapada marika itu yang tŭlah bŭrsama sama dŭngan Isa, tŭtkala marika itu bŭrduka chita dan mŭnangis. Maka apabila marika itu mŭnŭngar Isa tŭlah hidoplah, dan tŭlah dilihat ulih pŭrampuan itu, tiadalah marika itu pŭrchaya.

MARKUS 16:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah tamat hari Sabat, Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus, dan Salome membeli ramuan rempah untuk melumuri jenazah Yesus. Pada awal pagi hari pertama minggu itu, mereka sampai di makam itu ketika matahari terbit. Mereka berkata-kata sesama sendiri, “Siapa yang akan menggulingkan batu daripada pintu makam untuk kita?” Apabila mereka memandang makam itu, mereka mendapati batu yang sangat besar itu telah pun digulingkan. Mereka masuk ke dalam makam itu dan melihat seorang pemuda berjubah putih sedang duduk di sebelah kanan; mereka sungguh terkejut dan ketakutan. Tetapi dia berkata kepada mereka, “Jangan takut. Kamu mencari Yesus orang Nazaret, yang telah disalib. Dia telah bangkit semula! Dia tidak ada di sini. Lihatlah tempat mereka baringkan jenazah-Nya. Tetapi, pergilah, beritahu murid-murid-Nya, termasuk Petrus, bahawa Dia mendahuluimu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya, seperti yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.” Mereka pun segera keluar dan berlari meninggalkan makam itu, kerana mereka gementar dan kehairanan. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa, kerana mereka takut. Setelah Yesus bangkit semula pada awal pagi hari pertama minggu itu, pertama sekali Dia menampakkan diri-Nya kepada Maria Magdalena yang telah disembuhkan-Nya daripada dirasuk tujuh roh iblis dahulu. Maria pun pergi memberitahu murid-murid-Nya yang sedang berkabung dan menangis. Ketika mendengar bahawa Yesus hidup dan telah dilihat oleh Maria, mereka tidak percaya.