Markus 16:1-11

Markus 16:1-11 AVB

Setelah tamat hari Sabat, Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus, dan Salome membeli ramuan rempah untuk melumuri jenazah Yesus. Pada awal pagi hari pertama minggu itu, mereka sampai di makam itu ketika matahari terbit. Mereka berkata-kata sesama sendiri, “Siapa yang akan menggulingkan batu daripada pintu makam untuk kita?” Apabila mereka memandang makam itu, mereka mendapati batu yang sangat besar itu telah pun digulingkan. Mereka masuk ke dalam makam itu dan melihat seorang pemuda berjubah putih sedang duduk di sebelah kanan; mereka sungguh terkejut dan ketakutan. Tetapi dia berkata kepada mereka, “Jangan takut. Kamu mencari Yesus orang Nazaret, yang telah disalib. Dia telah bangkit semula! Dia tidak ada di sini. Lihatlah tempat mereka baringkan jenazah-Nya. Tetapi, pergilah, beritahu murid-murid-Nya, termasuk Petrus, bahawa Dia mendahuluimu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya, seperti yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.” Mereka pun segera keluar dan berlari meninggalkan makam itu, kerana mereka gementar dan kehairanan. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa, kerana mereka takut. Setelah Yesus bangkit semula pada awal pagi hari pertama minggu itu, pertama sekali Dia menampakkan diri-Nya kepada Maria Magdalena yang telah disembuhkan-Nya daripada dirasuk tujuh roh iblis dahulu. Maria pun pergi memberitahu murid-murid-Nya yang sedang berkabung dan menangis. Ketika mendengar bahawa Yesus hidup dan telah dilihat oleh Maria, mereka tidak percaya.

Related Videos

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Markus 16:1-11