MARKUS 14:66-72
MARKUS 14:66-72 Alkitab Berita Baik (BM)
Petrus masih di halaman apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang. Apabila dia nampak Petrus berdiang, dia mengamati Petrus dan berkata, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Nasaret itu.” Tetapi Petrus menafikannya. Dia berkata, “Aku tidak tahu dan tidak faham akan apa yang kamu katakan.” Lalu dia pergi ke pintu masuk halaman itu. Pada ketika itu, ayam berkokok. Hamba perempuan tadi nampak Petrus di situ. Dia berkata pula kepada semua orang di situ, “Orang ini seorang daripada mereka!” Tetapi Petrus menafikannya lagi. Tidak lama kemudian, semua orang di situ menuduh Petrus lagi, “Kamu tidak dapat menafikannya bahawa kamu salah seorang daripada mereka, kerana kamu pun dari Galilea!” Petrus bersumpah, “Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak mengenal orang yang kamu sebutkan itu!” Ketika itu juga ayam berkokok untuk kali kedua. Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam berkokok dua kali, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.” Lalu dia menangis tersedu-sedu.
MARKUS 14:66-72 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Adapun tŭtkala Petros itu adalah dibawah dalam mahaligie itu, maka datanglah sa’orang hamba pŭrampuan imam bŭsar itu: Maka apabila dilihat ulih hamba pŭrampuan itu Petros bŭrganggang tubohnya, maka dipandangnya akan dia, lalu katanya, Angkau pun bŭrsama samakah dŭngan Isa orang Nazareth itu? Tŭtapi bŭrsangkallah iya katanya, Aku tiada tahu atau mŭngarti apa kamu kata. Lalu kluarlah iya kabalirong, maka ayam pun bŭrkokoklah. Maka dilihatlah ulih sa’orang hamba pŭrampuan pula akan dia, katanya kapada orang orang yang bŭrdiri dŭkat itu, Ini sa’orang deripada marika itu. Maka bŭrsangkallah iya pula; sŭbŭntar lagi orang orang yang bŭrdiri dŭkat itu bŭrkata pula kapada Petros, Sungguh sungguh angkau sa’orang deri pada marika itu, kŭrna angkau sa’orang Galilia, tutormu pun bŭgitu juga. Tŭtapi iya mŭmulai mŭngutok dirinya, dan bŭrsumpah, katanya, Aku tiada mŭngŭnal akan orang yang kamu kata itu. Maka ayam pun bŭrkokoklah kadua kali, maka Petros pun tŭringatlah dalam hatinya akan pŭrkataan yang dikatakan Isa kapadanya, dahulu deripada ayam bŭrkokok dua kali, angkau kŭlak mŭnyagkali aku tiga kali. Maka apabila iya tŭrkŭnanglah itu, mŭnangislah iya.
MARKUS 14:66-72 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Petrus ada di bawah, di laman dalam. Seorang hamba perempuan imam besar datang ke situ. Apabila dia melihat Petrus sedang berdiang memanaskan tubuhnya, dia memandang Petrus dan berkata, “Kamu juga bersama Yesus orang Nazaret.” Petrus menyangkal, katanya, “Aku tidak tahu dan tidak faham apa yang kaukatakan.” Dia keluar ke serambi depan, lalu ayam berkokok. Hamba perempuan itu melihatnya lagi, lalu mula berkata kepada orang yang berdiri di situ, “Ini seorang daripada mereka.” Petrus menyangkalnya lagi. Sejurus kemudian, mereka yang berdiri di situ berkata pula kepada Petrus, “Sudah tentu kamu seorang daripada mereka, kerana kamu orang Galilea.” Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, “Aku tidak kenal orang yang kaukatakan itu!” Ayam pun berkokok bagi kali kedua. Lalu Petrus teringat kata-kata Yesus kepadanya: “Sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.” Memikirkan perkara itu, Petrus menangis dengan kesalnya.