MARKUS 14:43-52
MARKUS 14:43-52 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia dengan kawalan yang ketat!” Sebaik sahaja Yudas tiba, dia menghampiri Yesus lalu berkata, “Guru!” seraya mencium Dia. Lalu mereka menangkap Yesus dan memegang Dia dengan kuat. Tetapi salah seorang di situ menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinganya. Yesus berkata kepada mereka, “Mestikah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Berhari-hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Memang apa yang tertulis di dalam Alkitab mesti berlaku.” Ketika itu semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. Seorang lelaki muda yang memakai sehelai kain linen untuk menutupi badan, mengikuti Yesus. Apabila orang cuba menangkap lelaki itu, dia melepaskan kainnya lalu lari bertelanjang.
MARKUS 14:43-52 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka dŭngan sŭrta mŭrta sŭlagi iya bŭrchakap, maka datanglah Yudas yang didalam dua blas murid itu, maka adalah bŭsŭrta dŭngan dia bŭlatŭntara tŭrlalu banyak dŭngan pŭdang, dan tombak, iya itu deripada kŭpala kŭpala imam, dan khatib khatib, dan orang tua tua. Maka orang yang mŭnyŭrahkan dŭngan tipu itu tŭlah mŭmbri suatu tandah kapada marika itu, katanya, Kapada barang siapa aku akan mŭnchium, iya itulah dia; tangkaplah, bawalah akan dia baik baik. Maka sŭrta iya tŭlah datang, lalu ditujunya akan Isa, sŭrta katanya, Guru Guru; lalu dichiumnya akan dia. Maka marika itu skalian pun mŭmbubohlah tangan akan dia, lalu ditangkapnya. Maka adalah sa’orang yang bŭrdiri dŭkat itu, mŭnghunaslah pŭdangnya, lalu diparangkannya kapada sa’orang hamba imam yang bŭsar, lalu putuslah tŭlinganya. Maka kata Isa kapadanya, Kŭdatangan kamu ini kluar spŭrti mŭlawan sa’orang pŭnchurikah, dŭngan pŭdang pŭdang, dan tombak tombak, handak mŭnangkap aku? Maka adalah pada tiap tiap hari aku ada bŭsŭrta dŭngan kamu dalam ka’abah mŭngajar, tiada kamu mŭnangkap aku, tŭtapi dapat tiada kitab itu tŭlah gŭnaplah. Maka skalian marika itu pun mŭninggalkanlah akan dia, lalu lari. Maka adalah sa’orang orang muda yang mŭngikot akan Isa, mŭnyangkotkan sa’lie kain khasa ditubohnya yang bŭrtlanjang itu, maka ditangkaplah ulih orang orang muda itu akan dia. Maka ditanggalkannyalah akan kain puteh, lalu larilah iya dŭngan bŭrtlanjang.
MARKUS 14:43-52 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesaat kemudian, ketika Dia masih berkata-kata, seorang daripada murid-Nya yang dua belas itu, iaitu Yudas datang dengan orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan tua-tua. Pengkhianat Yesus telah menetapkan satu isyarat dengan mereka: “Yang kucium nanti, itulah Dia. Tangkap Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.” Sebaik-baik Yudas tiba, dia pergi kepada Yesus sambil berkata, “Rabbi!” lalu mencium-Nya. Mereka pun menangkap Yesus dan membawa-Nya pergi. Seorang daripada yang berdiri di situ menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya. Yesus berkata kepada mereka, “Patutkah kamu datang bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Setiap hari Aku dalam kalanganmu, mengajar di Bait Suci, dan kamu tidak menangkap-Ku. Tetapi yang tersurat dalam Kitab Suci mestilah terlaksana.” Setelah itu, semua murid Yesus meninggalkan-Nya dan masing-masing melarikan diri. Seorang pemuda mengikut-Nya, dengan hanya sehelai kain linen membalut tubuhnya. Pemuda-pemuda lain menangkapnya, lalu dia melucutkan kain linen itu dan melarikan diri daripada mereka dalam keadaan telanjang.