MARKUS 14:1-13,15-21

MARKUS 14:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Dua hari sebelum Perayaan Paska dan Perayaan Roti Tidak Beragi, ketua imam dan guru Taurat mencari jalan untuk menangkap Yesus dengan diam-diam. Mereka hendak membunuh dia. Tetapi mereka berkata, “Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana rakyat akan merusuh.” Yesus ada di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika Yesus sedang makan, seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar yang berisi minyak wangi mahal daripada akar wangi. Dia memecahkan botol itu lalu menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. Beberapa orang di situ marah dan bercakap sesama sendiri, “Apa gunanya minyak wangi itu dibazirkan? Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih daripada tiga ratus keping wang perak, dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Mereka mengecam wanita itu. Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah dia! Mengapa kamu menyusahkan dia? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. Orang miskin sentiasa ada antara kamu. Jika kamu hendak menolong mereka, bila-bila pun boleh. Tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya. Dia menuangi Aku dengan minyak wangi untuk menyediakan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku sebelum waktunya. Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.” Kemudian Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, pergi kepada para ketua imam dengan maksud untuk menyerahkan Yesus kepada mereka. Mereka suka sekali mendengar tawaran Yudas, lalu berjanji memberikan wang kepadanya. Yudas pun mula mencari peluang untuk mengkhianati Yesus. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu hari apabila orang menyembelih domba Paska, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah Guru ingin kami menyediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menyuruh dua orang daripada mereka, “Pergilah ke bandar, lalu kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia

MARKUS 14:1-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA tŭlah dua hari lalu hari raya langkah, dan roti yang tiada bŭragi, maka kŭpala imam imam, dan khatib khatib mŭnchari jalan bagimana bulih marika itu mŭnangkap akan Isa dŭngan tipu, handak dibunohnya. Tŭtapi kata marika itu, Janganlah pada hari raya, nanti kŭlak mŭnjadi gadoh kaum ini. ¶ Maka pada masa Isa dalam Bethani, dirumah Simon bŭrkusta, tŭtkala iya dudok makan, maka datanglah sa’orang pŭrampuan mŭmbawa suatu chŭmbol batu yang bŭrisi minyak bahu bahuan yang amat indah, maka dibukanya chambol itu, lalu dichurahkannya ka’atas kŭpala Isa. Maka adalah disana bŭbrapa orang yang mŭnaroh amarah, maka katanya, Mŭngapakah minyak bahu bahuan ini dibuangkan chuma chuma? Kŭrna iya ini dapat dijual tŭrlebih deripada tiga ratus dinar, iya itu bulih dibrikan kapada orang mŭskin. Maka disungotilah ulih marika itu. Maka bŭrkata Isa, Biarkanlah akan dia, mŭngapa kamu mŭmbuat susah akan dia? Iya itu tŭlah bŭrbuat suatu pŭkŭrjaan yang baik akan daku. Kŭrna ada pada kamu orang mŭskin itu slalu, barang bila pun kamu bulih bŭrbuat baik kapadanya, tŭtapi aku ini tiadalah kamu dapat slalu. Maka pŭrampuan itu tŭlah bŭrbuat sŭbrapa bulihnya, iya datang tŭrdahulu mŭmbuboh minyak bahu bahuan ditubohku akan mŭnanam mayatku. Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, barang dimana Injil ini akan dimashorkan bŭrkliling dunia ini, maka dŭmkianlah adanya apa yang dipŭrbuat pŭrampuan ini pun akan dikatakan kŭrna suatu pŭringatan akan dia. ¶ Maka adalah Yudas Iskariot itu sa’orang deripada dua blas murid itu, pŭrgilah iya kapada kŭpala kŭpala imam, handak disŭrahkan dŭngan tipu akan Isa kapada marika itu. Maka apabila didŭngar ulih marika itu akan dia, sukalah marika itu, maka bŭrjanji handak mŭmbri akan dia wang; maka dicharinyalah jalan yang sŭnang, bagimanakah handak disŭrahkannya akan dia dŭngan tipu. Maka pada hari yang pŭrtama deripada hari raya roti tiada bŭragi, tŭtkala dikorbankan pada hari raya langkah, kata murid muridnya kapada Isa, Dimanakah angkau kahandaki kami pŭrgi supaya kami sŭdiakan angkau makan pŭrjamuan hari raya langkah? Maka disurohkannya dua orang muridnya, sŭrta katanya kapadanya, Pŭrgilah angkau masok kŭdalam nŭgri, maka disana angkau akan bŭrtŭmu dŭngan sa’orang yang ada mŭngangkat sa’buah buyong ayer, ikotlah akan dia.

MARKUS 14:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dua hari lagi akan tibalah Perayaan Paskah dan Jamuan Roti Tidak Beragi, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat mencari jalan untuk memerangkap Yesus secara tipu daya dan membunuh-Nya. Tetapi mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.” Ketika itu Yesus berada di Betania di rumah Simon yang menghidap penyakit kusta. Sedang Yesus duduk bertelekan di meja, seorang wanita datang membawa kendi pualam berisi minyak narwastu murni yang amat mahal. Dia memecahkan bejana itu lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala Yesus. Beberapa orang berkata-kata sesama sendiri dengan marah, “Mengapa dibazirkan minyak wangi ini? Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih tiga ratus keping wang dinar dan wangnya disedekahkan kepada orang miskin.” Mereka memarahi wanita itu. Tetapi Yesus berkata, “Biarkan dia begitu. Mengapakah kamu menyusahkannya? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku. Orang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, dan bila-bila sahaja kamu mahu, kamu dapat berbuat kebajikan kepada mereka. Tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu. Dia telah melakukan apa yang terdaya olehnya. Dia menuangkan minyak wangi ke atas tubuh-Ku sebagai persiapan bagi pengebumian-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.” Selepas itu Yudas Iskariot, seorang daripada murid Yesus yang dua belas itu, pergi kepada ketua-ketua imam untuk mengkhianati-Nya dan menyerahkan-Nya kepada mereka. Ketika mendengar kata-katanya mereka pun sukacita dan berjanji akan memberinya wang. Sejak itu Yudas mencari peluang untuk mengkhianati Yesus. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paskah, para murid Yesus berkata kepada-Nya, “Di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paskah untuk-Mu?” Dia menghantar dua orang murid-Nya dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami