MARKUS 13:28-37
MARKUS 13:28-37 Alkitab Berita Baik (BM)
“Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. Demikian juga apabila kamu melihat perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan akan bermula dengan segera. Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.” “Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu. Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya. Keadaannya seperti seorang yang meninggalkan rumahnya lalu pergi ke tempat yang jauh. Dia menyuruh hamba-hambanya menjaga rumah, setelah dia memberikan tugas kepada mereka. Kepada penjaga pintu, dia berpesan supaya berjaga baik-baik. Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya tuan rumah itu balik; mungkin pada petang hari, tengah malam, subuh, atau pada waktu matahari terbit. Jika dia datang dengan tiba-tiba, janganlah kamu didapati tidur. Apa yang Aku katakan kepada kamu, Aku katakan juga kepada semua orang: Berjaga-jagalah!”
MARKUS 13:28-37 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka skarang pun bŭlajarlah suatu pŭrumpamaan deripada puhon ara ini: maka apabila charangnya ada lagi lŭmbut dan bŭrtumboh daun, bahwa kamu kŭtahui musim panas pun hampirlah. Sparti yang dŭmkianlah kamu akan mŭlihat pŭrkara pŭrkara ini kŭlak lalu, kŭtahuilah itu iya tŭlah dŭkat, sŭsungguhnya adalah dimuka pintu. Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, Adapun kŭturunan ini tiada akan lalu sampie sagala pŭrkara ini kŭlak jadi. Bahwa langit dan bumi ini kŭlak akan putus, tŭtapi pŭrkataanku ini tiada akan putus adanya. ¶ Tŭtapi adapun masa itu dan jam itu sa’orang manusia pun tiada tau, mŭskipun maliekat maliekat yang dilangit, atau Anak, mŭlainkan Ayah itu. Handaklah angkau ingat baik baik, bŭrjaga sŭrta mŭminta doa, kŭrna kamu tiada mŭngtahui bilakah waktu itu: Kŭrna Anak manusia itu iya itu sparti sa’orang manusia tŭlah bŭrjalan kapada pŭrjalanan yang jauh, yang tŭlah mŭninggalkan rumahnya, dan tŭlah mŭmbri kwasa kapada hamba hambanya, dan kapada sagala orang dalam pŭkŭrjaannya, dan disuroh pŭnunggu pintu bŭrjaga. Maka sŭbab itu bŭrjagalah kamu, kŭrna kamu tiada mŭngtahui bilakah datangnya tuany ang ampunya rumah, pada pŭtangkah atau tŭngah malamkah, atau pada waktu ayam bŭrkokok, atau pada pagi harikah? Maka sŭkunyung kunyung datanglah iya, barang kali didapatinya kamu tidor. Maka apa yang aku kata kapadamu itu, aku bŭrkata kapada sagala orang, Jagalah.
MARKUS 13:28-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekarang, kajilah ibarat daripada pokok ara: Apabila dahan-dahannya sudah melembut dan mula bertunas, kamu tahu musim panas hampir tiba. Begitulah juga kamu. Apabila kamu melihat perkara-perkara ini, ketahuilah kamu bahawa waktunya hampir tiba, sudah di ambang pintu! Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan zaman ini tidak akan luput sebelum segalanya ini terjadi. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.” “Tetapi tentang hari atau waktunya tiada siapa yang tahu baik para malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu. Berhati-hatilah! Berjaga dan berdoa! Kerana kamu tidak tahu bila saatnya. Umpama seorang yang berpergian: Dia meninggalkan rumahnya dan memberikan kekuasaan kepada hamba-hambanya, setiap orang dengan tugasnya serta memerintahkan penjaga pintu supaya berjaga-jaga. Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu bila tuan rumah akan pulang — pada waktu petang, atau tengah malam, ketika ayam berkokok, atau pada waktu pagi — takut kalau-kalau dia datang tiba-tiba dan mendapatimu sedang tidur. Apa yang Kukatakan kepadamu, Kukatakan kepada semua: ‘Berjagalah!’ ”