MARKUS 13:1-13
MARKUS 13:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, seorang daripada para pengikut-Nya berkata, “Guru, lihatlah! Betapa indahnya batu-batu dan bangunan-bangunan ini!” Yesus menjawab, “Kamu melihat bangunan-bangunan yang indah ini, bukan? Satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya. Semuanya akan dirobohkan.” Kemudian Yesus pergi ke Bukit Zaitun lalu duduk di tempat yang berhadapan dengan Rumah Tuhan. Petrus, Yakobus, Yohanes, dan Andreas datang kepada-Nya. Mereka berkata kepada Yesus, “Guru, beritahulah kami; bilakah semua perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?” Yesus berkata kepada mereka, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia!’ Mereka akan menipu banyak orang. Janganlah risau apabila kamu mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba. Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Sebuah kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana sahaja akan berlaku gempa bumi dan kebuluran. Semua ini hanya permulaan, sama seperti sakit yang dialami wanita yang akan bersalin. Kamu sendiri mesti berhati-hati. Kamu akan ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Kamu akan dipukul di rumah ibadat. Kamu akan dihadapkan kepada penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, lalu kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka. Berita Baik itu mesti dikhabarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa. Apabila kamu ditangkap dan dibawa ke mahkamah, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan. Apabila tiba masanya, katakanlah apa yang diberitahu kepada kamu pada waktu itu. Kata-kata yang kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi datang daripada Roh Allah. Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh. Bapa juga akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa dan menyerahkan mereka supaya dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.”
MARKUS 13:1-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SHAHADAN maka tŭngah Isa kluar deri ka’abah itu, bŭrkatalah sa’orang deripada murid muridnya kapadanya, Guru, tengoklah apa macham batu batu, dan apa macham rumah ini? Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapadanya, Lihatlah kamu rumah yang bŭsar ini, maka iya itu kŭlak tiada akan tŭrtinggal sa’buah batu pun diatas yang lain, yang tiada akan diruntohkan. Maka tŭngah dudok Isa digunong Zieton, diatas bŭrtŭntangan dŭngan ka’abah, maka Petros, dan Yakob, dan Yahya, dan Andria bŭrtanyalah kapadanya pŭrlahan lahan: Katakanlah kapada kami, bilakah pŭrkara pŭrkara ini kŭlak akan jadi, apakah tandahnya tŭtkala sagala pŭrkara ini kŭlak akan gŭnap? Maka dijawab Isa akan marika itu, dimulainya bŭrkata, Ingatlah baik baik, asal jangan barang orang mŭnipu akan dikau. Kŭrna banyaklah kŭlak yang datang dŭngan namaku, katanya, Akulah Almasih; maka iya akan mŭnipu banyak orang. Maka apabila angkau kŭlak mŭnŭngar pŭrang pŭrang, dan pŭrgadohan pŭrang pŭrang, maka janganlah kiranya angkau bŭrsusah, kŭrna pŭrkara yang dŭmkian itu dapat tiada kŭlak akan jadi, akan tŭtapi kasudahannya bŭlom lagi sampie. Kŭrna bangsa akan bŭrbangkit mŭlawan bangsa, dan krajaan pun mŭlawan krajaan; maka adalah kŭlak akan jadi gŭmpa bumi dalam bŭrbagie bagie tŭmpat, dan lagi kŭlaparan pun dan kasusahan akan jadi; maka itulah pŭrmulaan susah. Tŭtapi ingatlah baik baik akan dirimu sŭndiri, kŭrna marika itu akan mŭnyŭrahkan kamu kapada mŭjŭlis bichara, dan kŭdalam kŭnisa kŭnisa akan disŭsahnya kamu, maka kamu akan dibawanya kahadapan pŭnghulu pŭnghulu, dan raja raja ulih sŭbab aku akan mŭnjadi saksi mŭlawan marikaitu. Adapun Injil itu dapat tiada pŭrtama tama dimashorkan diantara sagala bangsa. Tŭtapi apabila dibawa marika itu akan dikau dan disŭrahkannya kamu, maka janganlah kamu bŭrfikir dahulu, apakah yang kamu handak bŭrkata atau bŭringat ingat, mŭlainkan barang yang akan dikurniakan padamu waktu itu, itulah kamu katakan, kŭrna bukannya kamu yang bŭrkata kata itu mŭlainkan Roh Alkudus. Maka saudara itu akan mŭnyŭrahkan saudaranya akan dibunoh, bapa itu kapada anak, maka kanak kanak itu kŭlak akan bŭrbangkit mŭlawan ibu bapanya dan iya kŭlak akan mŭnyŭrahkan dia supaya dibunoh. Maka kamu kŭlak akan dibŭnchikan ulih orang skalian ulih sŭbab namaku, tŭtapi barang siapa yang bulih mŭnahan sampie kasudahan iya itulah kŭlak akan dipliharakan.
MARKUS 13:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Yesus sedang melangkah keluar dari Bait Suci, seorang murid-Nya berkata, “Guru, lihatlah batu dan bangunan yang luar biasa di sini!” Yesus menjawab, “Adakah kamu melihat bangunan yang hebat-hebat ini? Tiada seketul pun batunya akan tinggal tersusun; semuanya akan dirobohkan.” Ketika Dia duduk di atas Bukit Zaitun setentang dengan Bait Suci, murid-Nya Petrus, Yakobus, Yohanes dan Andreas bertanya kepada-Nya secara peribadi, “Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan terjadi? Apakah tanda-tandanya semua ini akan terjadi seperti yang telah dikatakan?” Yesus mula berkata kepada mereka, “Awas, jangan terperdaya oleh sesiapa pun! Ramai akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah Dia.’ Mereka akan membuat ramai orang terperdaya. Apabila kamu mendengar peperangan dan desas-desus peperangan, jangan gentar; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya akhir zaman. Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Gempa bumi akan berlaku di merata-rata, dan juga kebuluran. Segala ini cuma permulaan kesakitan sebelum bersalin. Berhati-hatilah tentang dirimu, kerana mereka akan mengheretmu ke hadapan majlis dan memukulmu di dalam saumaah. Kamu akan dibawa kepada pemerintah dan raja kerana-Ku, untuk memberikan kesaksian kepada mereka. Injil mesti disebarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa. Apabila mereka menangkapmu dan menyerahkanmu kepada pihak berkuasa, janganlah khuatir apa yang akan kamu katakan. Tetapi apa yang diberitahu kepadamu pada waktu itu, tuturkanlah, kerana yang bertutur itu Roh Kudus, bukanlah kamu. Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap ibu bapa, lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh. Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan.”