MARKUS 12:28-34
MARKUS 12:28-34 Alkitab Berita Baik (BM)
Di situ ada seorang guru Taurat yang mendengar perbincangan mereka. Dia melihat bahawa Yesus telah menjawab soalan orang Saduki dengan baik. Oleh itu dia bertanya kepada Yesus, “Perintah manakah yang paling utama di antara semua perintah?” Yesus menjawab, “Inilah perintah yang paling utama, ‘Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa. Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu.’ Perintah yang kedua ialah, ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada lagi perintah lain yang lebih utama daripada kedua-dua perintah ini.” Guru Taurat itu berkata kepada Yesus, “Bagus, guru! Memang benar apa yang guru katakan: Tuhanlah Allah Yang Esa dan tidak ada yang lain. Manusia harus mengasihi Allah dengan sepenuh hati, dengan seluruh akal, dan dengan segala kekuatannya. Dia juga harus mengasihi sesama manusia seperti dia mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua perintah ini lebih mustahak daripada mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan dan korban-korban lain.” Yesus melihat bahawa guru Taurat itu menjawab dengan bijak. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Kamu tidak jauh daripada Pemerintahan Allah.” Selepas itu tidak seorang pun berani mengajukan pertanyaan kepada Yesus.
MARKUS 12:28-34 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka datanglah sa’orang khatib, sŭtlah didŭngarnya marika itu bŭrbantah bantah bŭrsama sama, dan didapatinya Isa tŭlah mŭmbri jawab bŭtol kapada marika itu, ditanyanya kapadanya, Yang manakah kŭpala skali hukum Allah itu? Maka dijawab Isa akan dia, Adapun yang kŭpala skali hukum Allah itu inilah, dŭngarlah hie Israil; adapun Tuhan Allah kami itu Tuhan yang asa. Maka handaklah kamu mŭngasihi akan Tuhan Allah kamu itu dŭngan sŭgŭnap hatimu, dan dŭngan sŭgŭnap jiwa kamu, dan dŭngan sŭgŭnap ingatanmu, dan dŭngan sŭgŭnap kwasamu: inilah hukum yang pŭrtama itu. Adapun yang kadua itu spŭrti itu juga, iya itu handaklah angkau mŭngasihi akan samamu manusia spŭrti dirimu; maka tiadalah suatu pun hukum yang lain tŭrbŭsar deripada ini. Maka kata khatib itu kapadanya, Baiklah Guru, angkau tŭlah bŭrkata yang bŭnar, kŭrna adalah Allah itu asa adanya, maka tiadalah suatu jua pun yang lain mŭlainkan iya. Maka mŭngasihi akan dia dŭngan sŭgŭnap hati, dan dŭngan sŭgŭnap pŭngtahuan, dan dŭngan sŭgŭnap jiwa, dan dŭngan sŭgŭnap kwasa, dan mŭngasihi akan sama manusia spŭrti dirinya sŭndiri, iya itu tŭrlebih deripada skalian mŭmbakar pŭrsŭmbahan dan korban. Maka apabila dilihat ulih Isa dijawabnya dŭngan bijaksana, maka katanya kapadanya, Bahwa angkau ini tiadalah jauh deripada krajaan Allah. Kumdian deripada itu sa’orang pun tiadalah brani bŭrtanya kapadanya apa apa lagi.
MARKUS 12:28-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Seorang ahli Taurat datang mendengar mereka bersoal jawab. Dia menyedari bahawa Yesus telah menjawab dengan baik. Dia pun bertanya kepada-Nya, “Perintah manakah yang terutama?” Yesus menjawab, “Yang terutama antara semua perintah ialah: ‘Dengarlah, wahai umat Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa. Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh fikiranmu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.’ Inilah perintah yang terutama. Perintah yang kedua ialah: ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada perintah lain yang lebih utama daripada dua perintah ini.” Ahli Taurat itu berkata kepada Yesus, “Sungguh baik jawapan Guru. Kata-kata Engkau itu benar, kerana Allah itu esa, tiada yang lain daripada-Nya. Mengasihi-Nya dengan sepenuh hati, dengan sepenuh fikiran, dengan sepenuh jiwa, dan dengan sepenuh kekuatan, serta mengasihi sesama manusia seperti diri sendiri, adalah lebih utama daripada segala korban persembahan dan korban bakaran.” Yesus menyedari bahawa jawapan itu bijaksana, lalu berkata kepadanya, “Kamu tidak jauh daripada kerajaan Allah.” Selepas itu, tiada siapa yang berani menyoal-Nya apa-apa lagi.