MARKUS 10:26-45

MARKUS 10:26-45 Alkitab Berita Baik (BM)

Pengikut-pengikut Yesus hairan mendengar kata-kata itu, lalu mereka bertanya sesama sendiri, “Jika demikian, siapakah yang boleh diselamatkan?” Yesus memandang mereka lalu menjawab, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara.” Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru.” “Betul!” kata Yesus, “Percayalah kepada-Ku: Sesiapa yang meninggalkan rumah tangganya, atau saudara lelakinya atau saudara perempuannya, atau ibunya, atau bapanya, atau anak-anaknya, atau ladangnya kerana Aku dan kerana Berita Baik itu, akan menerima lebih banyak lagi pada zaman ini. Orang itu akan menerima seratus kali ganda rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak, ladang, dan juga penganiayaan. Pada zaman yang akan datang orang itu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.” Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang dalam perjalanan ke Yerusalem. Yesus berjalan di hadapan, sementara pengikut-pengikut-Nya mengikuti-Nya dengan cemas. Orang ramai yang mengikut mereka pun takut. Sekali lagi Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya ke tepi, lalu berkata kepada mereka tentang apa yang akan berlaku terhadap diri-Nya. “Dengarlah,” kata-Nya, “Kita sekarang sedang menuju ke Yerusalem. Di situ Anak Manusia akan diserahkan kepada para ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya, lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi. Mereka akan mengolok-olok Dia, meludahi Dia, menyesah Dia, dan membunuh Dia. Tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.” Lalu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus datang kepada Yesus. “Guru,” kata mereka, “ada satu perkara yang kami hendak Guru lakukan untuk kami.” “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untuk kamu?” tanya Yesus. Mereka menjawab, “Apabila Guru bertakhta dalam kemuliaan, benarkanlah kami duduk di sebelah kanan dan kiri Guru.” Yesus berkata kepada mereka, “Kamu tidak mengetahui apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum? Sanggupkah kamu mengalami baptisan penderitaan yang akan Aku alami?” “Sanggup,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum dan kamu akan mengalami baptisan penderitaan seperti yang akan Aku alami. Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Allah yang menentukan siapa orangnya yang akan duduk di tempat itu.” Ketika sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap Yakobus dan Yohanes. Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, “Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat. Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi besar, dia harus melayani orang lain. Jika seorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua. Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.”

MARKUS 10:26-45 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka tŭrlampaulah sangat marika itu ajaib, sambil bŭrkata sama sŭndirinya, Kalau dŭmkian, siapakah bulih slamat? Maka dilihat ulih Isa akan marika itu, sŭrta katanya, Kapada manusia iya itu mustahil adanya, tŭtapi bukannya kapada Allah, kŭrna kapada Allah itu sagala pŭrkara itu tiada mustahil. Maka kumdian Petros mulie bŭrkata kapada Isa, Sŭsungguhnya kami tŭlah mŭninggalkan skalian, dan tŭlah mŭngikot akan dikau. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata, Sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, sa’orang pun tiada yang mŭninggalkan rumah, atau saudara laki laki, atau saudara saudara pŭrampuan, atau ibu bapa, atau anak anak, atau istri, atau tanah tanah, ulih sŭbab aku, dan sŭbab Injil. Tŭtapi iya kŭlak akan mŭnŭrima sratus gandah pada masa skarang ini rumah rumah, dan saudara saudara laki laki, dan saudara saudara pŭrampuan, dan ibu ibu, dan kanak kanak, dan tanah tanah, dŭngan tŭrannyaya, maka dalam dunia yang akan datang iya mŭndapat hayat yang kŭkal. Tŭtapi banyak yang pŭrtama itu mŭnjadi kumdian, dan yang kumdian itu mŭnjadi yang pŭrtama. ¶ Maka adalah marika itu pada tŭngah jalan handak pŭrgi naik kaJerusalem, maka Isa pun bŭrjalan dahulu deripada marika itu; maka hieranlah marika itu; sambil mŭngikot, takotlah iya. Maka dipanggil ulih Isa pula dua blas murid muridnya, maka dimulainya mŭngatakan barang pŭrkara yang kŭlak akan bŭrlaku kapadanya. Katanya, Sŭsungguhnya kami naik kaJerusalem, maka Anak manusia akan disŭrahkan kapada kapala kapala imam, dan kapada khatib khatib, maka marika itu akan mŭnghukumkan dia mati, dan akan disŭrahkan dia kapada orang orang sŭsat. Maka marika itu akan mŭnistakan dia, dan akan disŭsahnya akan dia, dan akan diludahinya atasnya, dan akan dibunohnya dia; maka pada hari yang katiga iya akan bŭrbangkit pula. ¶ Maka Yakob, dan Yahya, anak anak Zabdi, datanglah kapadanya katanya, Guru, kami kahandaki angkau buatlah bagie kami barang apa pinta kami. Maka katanya kapada marika itu, Apakah yang kamu kahandaki aku patut pŭrbuatkan bagiemu? Maka kata marika itu kapadanya, Kurniakanlah kapada kami, supaya kami bulih dudok sa’orang disŭblah kananmu, dan sa’orang disŭblah kirimu dalam kamuliaanmu. Tŭtapi kata Isa kapadanya, Kamu tiada tahu apa yang kamu pinta; bulihkah kamu minom akan chawan minoman yang aku minom akan dia, dan akan dibaptisakan dŭngan baptisan yang aku dibaptisakan itu? Maka kata marika itu kapadanya, Kami bulih. Maka kata Isa kapadanya, Sŭsungguhnya bulihlah kŭlak kamu minom akan chawan yang aku minom itu, dan dŭngan baptisan yang aku dibaptisakan itu kamu kŭlak akan dibaptisakan: Akan tŭtapi derihal dudok disŭblah kananku, dan disŭblah kiriku itu bukannya dŭngan kwasaku mŭmbri, mŭlainkan iya itu akan dibrikan kapada barang siapa yang tŭlah disŭdiakan. Maka apabila orang yang spuloh itu mŭnŭngar itu, maka dimulailah ulih marika itu mŭnaroh hati sangat kapada Yakob dan Yahya. Tŭtapi dipanggillah ulih Isa akan marika itu kapadanya, sambil bŭrkata, Kamu tahu, adapun orang orang yang tŭrpileh akan mŭmrentahkan orang orang sŭsat, dipŭrtuan atas marika itu, maka orang orang bŭsarnya mŭmŭgang kwasa atas marika itu. Tŭtapi janganlah kiranya jadi dŭmkian diantaramu, mŭlainkan barang siapa yang handak mŭnjadi bŭsar diantaramu, iya itu akan mŭnjadi khadammu. Maka barang siapa diantaramu yang handak mŭnjadi pŭnghulu, iya itu akan mŭnjadi hamba bagie skalian. Kŭrna Anak manusia pun bukannya datang akan dilayani, mŭlainkan akan mŭlayani, dan akan mŭmbri jiwanya ganti tŭbus skalian orang.

MARKUS 10:26-45 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Para murid-Nya berasa sungguh hairan, lalu berkata sama sendiri, “Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?” Sambil memandang mereka Yesus menjawab, “Bagi manusia hal itu mustahil, tetapi tidak bagi Allah; tidak ada satu pun yang mustahil bagi Allah.” Kemudian Petrus berkata kepada-Nya, “Kami telah meninggalkan segala-galanya untuk mengikut-Mu!” Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, setiap orang yang telah meninggalkan rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu bapa, anak-anak, atau ladang untuk-Ku dan untuk Injil pasti akan menerima seratus kali ganda dalam dunia ini (rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak dan ladang, serta penganiayaan) dan pada kemudian hari, hidup kekal. Tetapi ramai orang yang terdahulu akan menjadi terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang terdahulu.” Ketika mereka dalam perjalanan, menuju ke Yerusalem, dan Yesus mendahului mereka, maka mereka sungguh takjub. Sambil mengikut-Nya, mereka berasa takut. Kemudian Dia membawa murid-Nya yang dua belas itu ke samping lalu memberitahu mereka apa yang akan terjadi kepada-Nya. Kata-Nya, “Dengarlah, kita sekarang pergi ke Yerusalem. Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya dan menyerahkan-Nya ke tangan bangsa asing. Mereka akan mengejek-Nya, menyebat-Nya, meludahi-Nya, dan membunuh-Nya. Pada hari ketiga Dia akan bangkit semula.” Kemudian Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus, datang kepada-Nya lalu berkata, “Guru, kami mahu Engkau membuat apa-apa yang kami minta untuk diri kami.” Yesus bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu mahu Aku buat untukmu?” Mereka berkata kepada-Nya, “Kurniailah kami duduk di kiri dan kanan-Mu dalam kemuliaan-Mu.” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Kamu tidak tahu apa yang kamu minta itu. Sanggupkah kamu minum dari cawan yang Kuminum, dan dibaptiskan dengan baptisan yang Kuterima?” “Sanggup,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan yang Kuminum dan dibaptiskan dengan baptisan yang Kuterima. Tetapi untuk duduk di kiri dan kanan-Ku bukanlah Aku memberikannya, tetapi tempat itu milik mereka yang telah disediakan bagi mereka.” Apabila sepuluh murid Yesus yang lain mendengar perkara itu, mereka marah kepada Yakobus dan Yohanes. Tetapi Yesus memanggil mereka kepada-Nya lalu berkata, “Kamu tahu bahawa orang yang dianggap sebagai pemerintah bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan orang besar melaksanakan kekuasaan ke atas mereka. Ini tidak harus berlaku dalam kalanganmu. Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu. Sesiapa yang ingin menjadi orang yang pertama haruslah menjadi hamba kepada semua. Demikianlah Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayan tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.”