Markus 10:26-45

Markus 10:26-45 AVB

Para murid-Nya berasa sungguh hairan, lalu berkata sama sendiri, “Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?” Sambil memandang mereka Yesus menjawab, “Bagi manusia hal itu mustahil, tetapi tidak bagi Allah; tidak ada satu pun yang mustahil bagi Allah.” Kemudian Petrus berkata kepada-Nya, “Kami telah meninggalkan segala-galanya untuk mengikut-Mu!” Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, setiap orang yang telah meninggalkan rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu bapa, anak-anak, atau ladang untuk-Ku dan untuk Injil pasti akan menerima seratus kali ganda dalam dunia ini (rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak dan ladang, serta penganiayaan) dan pada kemudian hari, hidup kekal. Tetapi ramai orang yang terdahulu akan menjadi terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang terdahulu.” Ketika mereka dalam perjalanan, menuju ke Yerusalem, dan Yesus mendahului mereka, maka mereka sungguh takjub. Sambil mengikut-Nya, mereka berasa takut. Kemudian Dia membawa murid-Nya yang dua belas itu ke samping lalu memberitahu mereka apa yang akan terjadi kepada-Nya. Kata-Nya, “Dengarlah, kita sekarang pergi ke Yerusalem. Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya dan menyerahkan-Nya ke tangan bangsa asing. Mereka akan mengejek-Nya, menyebat-Nya, meludahi-Nya, dan membunuh-Nya. Pada hari ketiga Dia akan bangkit semula.” Kemudian Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus, datang kepada-Nya lalu berkata, “Guru, kami mahu Engkau membuat apa-apa yang kami minta untuk diri kami.” Yesus bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu mahu Aku buat untukmu?” Mereka berkata kepada-Nya, “Kurniailah kami duduk di kiri dan kanan-Mu dalam kemuliaan-Mu.” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Kamu tidak tahu apa yang kamu minta itu. Sanggupkah kamu minum dari cawan yang Kuminum, dan dibaptiskan dengan baptisan yang Kuterima?” “Sanggup,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan yang Kuminum dan dibaptiskan dengan baptisan yang Kuterima. Tetapi untuk duduk di kiri dan kanan-Ku bukanlah Aku memberikannya, tetapi tempat itu milik mereka yang telah disediakan bagi mereka.” Apabila sepuluh murid Yesus yang lain mendengar perkara itu, mereka marah kepada Yakobus dan Yohanes. Tetapi Yesus memanggil mereka kepada-Nya lalu berkata, “Kamu tahu bahawa orang yang dianggap sebagai pemerintah bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan orang besar melaksanakan kekuasaan ke atas mereka. Ini tidak harus berlaku dalam kalanganmu. Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu. Sesiapa yang ingin menjadi orang yang pertama haruslah menjadi hamba kepada semua. Demikianlah Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayan tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Markus 10:26-45