MARKUS 1:23-45

MARKUS 1:23-45 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada waktu itu seorang yang dirasuk roh jahat masuk ke dalam rumah ibadat dan berseru, “Engkau mahu buat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan yang suci daripada Allah!” Yesus menengking roh itu, “Diam! Keluarlah daripada orang ini!” Roh jahat itu menggoncangkan badan orang itu kuat-kuat, lalu keluar dari orang itu sambil berteriak. Semua orang sangat hairan sehingga mereka bercakap sesama sendiri, “Apakah ini suatu ajaran baru? Orang ini berkuasa memerintah roh jahat dan roh jahat taat kepada-Nya!” Demikianlah berita tentang Yesus tersebar dengan cepat ke seluruh negeri Galilea. Yesus dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, meninggalkan rumah ibadat itu lalu terus pergi ke rumah Simon dan Andreas. Ibu mentua Simon sedang terbaring di tempat tidur kerana demam. Apabila Yesus tiba di situ, Dia diberitahukan hal itu. Yesus menghampiri ibu mentua Simon, memegang tangannya lalu menolong dia bangun. Demamnya hilang dan dia pun mula melayani mereka. Pada petang hari, setelah matahari terbenam, orang membawa semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat kepada Yesus. Semua penduduk kota itu berkumpul di hadapan rumah itu. Yesus menyembuhkan banyak orang yang menderita berbagai-bagai penyakit, dan Dia juga mengusir roh-roh jahat. Yesus tidak membenarkan roh-roh jahat berkata apa-apa, kerana roh-roh jahat tahu siapa Dia. Esok paginya, ketika masih subuh, Yesus bangun lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke luar kota, ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. Simon dan sahabat-sahabatnya pergi mencari Yesus. Apabila mereka menemui Yesus, mereka berkata, “Semua orang sedang mencari Guru.” Tetapi Yesus menjawab, “Kita mesti meneruskan perjalanan ke pekan-pekan lain di sekitar kawasan ini. Aku mesti menyampaikan perkhabaran itu di sana juga, kerana untuk tujuan itulah Aku datang.” Demikianlah Yesus menjelajah seluruh Galilea dan berkhutbah di rumah ibadat serta mengusir roh-roh jahat. Seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang kepada Yesus. Orang itu berlutut dan memohon pertolongan-Nya. “Tuan, jika tuan sudi,” katanya, “tuan dapat menyembuhkan saya.” Yesus mengasihaninya. Dia pun menghulurkan tangan-Nya, lalu menjamah orang itu sambil berkata, “Aku mahu, sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi dan orang itu sembuh. Lalu Yesus menyuruh dia pergi sambil memperingatkan dia, “Dengarlah baik-baik, jangan beritahu sesiapa pun perkara ini. Tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh.” Tetapi orang itu pergi dan mula menyebarkan berita itu di mana-mana. Dia terus-menerus menceritakan hal itu sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar secara terang-terangan. Yesus tinggal di luar bandar di tempat-tempat yang sunyi, tetapi orang dari berbagai-bagai tempat datang kepada-Nya.

MARKUS 1:23-45 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka adalah dalam kŭnisa marika itu sa’orang yang tŭrkŭna jin yang nŭjis, maka bŭrtriaklah iya, Katanya, Biarkanlah kami, apakah bichara kami ini kapadamu? Hie Isa orang Nazareth; datangmu ini handak mŭmbinasakan kamikah? Aku tahu angkau ini siapa, sa’orang suchi deripada Allah Maka ditŭngking ulih Isa akan dia, katanya, Diamlah angkau; kluarlah angkau deri orang itu. Maka sŭtlah jin yang nŭjis itu sudah mŭngachau orang itu, mŭnjŭretlah iya dŭngan nyaring suaranya, lalu kluarlah iya deripada orang itu. Maka skalian marika itu pun tŭrchŭnganglah, sambil dia orang bŭrsual jawab sama sŭndirinya katanya, Apakah ini? Pŭngajaran bahru apakah ini? Kŭrna dŭngan kuat kwasa iya disurohkannya, sampiekan jin yang nŭjis itu skalian pun mŭnurot akan dia. Maka dŭngan sŭbŭntar itu juga tŭrmashorlah warta Isa itu dalam sagala tŭmpat dijajahan kliling Galilia. ¶ Maka sŭtlah sudah skalian marika itu kluar deri dalam kŭnisa itu, maka masoklah iya kadalam rumah Simon dan Andri, sŭrta dŭngan Yakob dan Yahya. Akan tŭtapi mŭntua pŭrampuan Simon itu ada tŭrbaring dŭngan sakit dŭmam, maka dŭngan sŭgranya marika itu pŭrgilah mŭmbri tahu kapada Isa akan hal pŭrampuan itu. Maka datanglah iya, lalu mŭmŭgang pŭrampuan itu dŭngan tangannya, lalu dibangunkannya, skutika itu juga dŭmam itu pun hilanglah, lalu pŭrampuan itu bŭrkhodmat padanya. Maka pada pŭtang hari, tŭlah matahari masok, dibawakanlah marika itu kapadanya orang orang yang saket, dan orang orang yang tŭrkŭna jin. Maka sagala orang isi nŭgri itu pun bŭrkamponglah dimuka pintu; Lalu disŭmbohkannyalah bŭbrapa banyak orang yang ada bŭrjŭnis jŭnis pŭnyakit, sŭrta dibuangkannya bŭbrapa jin, dan tiadalah dibrinya jin itu bŭrchakap lagi, kŭrna tŭlah dikŭtahui ulih jin itu akan dia. ¶ Hata bangunlah Isa pada pagi pagi hari sŭbŭlom siang, lalu kluarlah iya, sambil bŭrjalanlah iya pŭrgi kapada suatu tŭmpat yang sunyi, maka disanalah iya minta doa. Maka Simon sŭrta sagala marika itu yang ada bŭrsama sama dŭngan dia itu pun mŭngikotlah deri blakangnya. Maka apabila marika itu bŭrtŭmulah dŭngan dia, lalu katanya padanya, Sŭmua orang mŭnchari Tuan. Lalu katanya pada marika itu, Marilah kita pŭrgi kanŭgri nŭgri dŭkat dŭkat ini, supaya disana pun bulih juga aku mŭngajar, ulih sŭbab itulah aku ini datang. Maka iya mŭngajarlah dalam kŭnisa kŭnisa marika itu pada sŭgŭnap tanah Galilia, sŭrta mŭmbuangkan jin jin. ¶ Shahadan datanglah kapadanya sa’orang kusta mŭminta kapadanya, sambil bŭrtŭlot, katanya, Jikalau kiranya angkau kahandaki, bulihlah angkau mŭnyuchikan aku. Maka Isa pun bŭrbangkitlah kasih hatinya, dihulorkannya tangannya, lalu dijamahnya akan dia, katanya, Baiklah, jadjlah angkau suchi. Maka sŭtlah sudah iya bŭrkata kata itu, sŭbŭntar itu juga orang kusta itu pun undorlah deripadanya dŭngan sudah disuchikan. Maka sŭtlah sudah dipŭsaninya akan dia baik baik, lalu disuroh pŭrgi. Katanya kapadanya, Ingat angkau, janganlah angkau katakan kapada sa’orang jua pun, mŭlainkan angkau pŭrgilah unjokkanlah dirimu kapada imam, sŭrta buatlah korban kŭrna kŭsuchianmu itu, iya itu tŭlah dipŭsan ulih Musa akan mŭnjadi suatu saksi pada marika itu. Maka kluarlah iya mŭmulai mŭmashorkan khabar itu, sŭrta dipŭchahkannya bŭrkliling, sampielah Isa itu tiada bulih masok dŭngan sŭnangnya dalam nŭgri itu; akan tŭtapi adalah diluar ditŭmpat tŭmpat sunyi, maka datanglah juga marika itu mŭndapatkan dia deripada sagala fiak fiak.

MARKUS 1:23-45 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika itu seorang yang dirasuk roh jahat berada di saumaah. Dia berseru: “Apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Yesus orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah!” Yesus membentak roh itu, “Diam! Keluar daripada dia!” Roh jahat itu menggoncang-goncang tubuh orang yang dirasuknya lalu keluar sambil menjerit. Hal ini menyebabkan semua orang tercengang lalu berbisik sesama sendiri, “Adakah ini suatu ajaran baru? Dia memerintah roh-roh jahat dengan penuh kuasa dan mereka menurut kata-Nya.” Dengan demikian, khabar tentang Yesus segera tersebar ke seluruh Galilea. Yesus dan murid-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, keluar dari saumaah itu lalu ke rumah Simon dan Andreas. Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Yesus di situ, Dia diberitahu tentang hal itu. Yesus menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayan mereka. Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. Semua penduduk kota berhimpun di hadapan pintu itu. Yesus menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia. Keesokannya, pada waktu subuh, Yesus bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Yesus. Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: “Semua orang sedang mencari-Mu!” Yesus berkata, “Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Sebab untuk itulah, maka Aku datang.” Lalu Yesus menjelajah ke serata Galilea dan berkhutbah di saumaah dan menghalau roh-roh iblis. Seorang yang menghidap penyakit kusta datang kepada Yesus lalu berlutut meminta pertolongan-Nya. Katanya, “Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku.” Yesus berbelas kasihan lalu menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga orang itu ditahirkan daripada penyakit kusta. Yesus segera menyuruhnya pergi dengan memberikan suatu peringatan keras: “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan.” Tetapi orang itu menyebarkan hal itu merata-rata dan terus-menerus, sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar terang-terangan. Yesus tinggal di luar kota di tempat-tempat yang lengang, namun orang dari pelbagai kawasan datang kepada-Nya.