Ketika itu seorang yang dirasuk roh jahat berada di saumaah. Dia berseru: “Apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Yesus orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah!” Yesus membentak roh itu, “Diam! Keluar daripada dia!” Roh jahat itu menggoncang-goncang tubuh orang yang dirasuknya lalu keluar sambil menjerit. Hal ini menyebabkan semua orang tercengang lalu berbisik sesama sendiri, “Adakah ini suatu ajaran baru? Dia memerintah roh-roh jahat dengan penuh kuasa dan mereka menurut kata-Nya.” Dengan demikian, khabar tentang Yesus segera tersebar ke seluruh Galilea. Yesus dan murid-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, keluar dari saumaah itu lalu ke rumah Simon dan Andreas. Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Yesus di situ, Dia diberitahu tentang hal itu. Yesus menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayan mereka. Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. Semua penduduk kota berhimpun di hadapan pintu itu. Yesus menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia. Keesokannya, pada waktu subuh, Yesus bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Yesus. Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: “Semua orang sedang mencari-Mu!” Yesus berkata, “Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Sebab untuk itulah, maka Aku datang.” Lalu Yesus menjelajah ke serata Galilea dan berkhutbah di saumaah dan menghalau roh-roh iblis. Seorang yang menghidap penyakit kusta datang kepada Yesus lalu berlutut meminta pertolongan-Nya. Katanya, “Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku.” Yesus berbelas kasihan lalu menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga orang itu ditahirkan daripada penyakit kusta. Yesus segera menyuruhnya pergi dengan memberikan suatu peringatan keras: “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan.” Tetapi orang itu menyebarkan hal itu merata-rata dan terus-menerus, sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar terang-terangan. Yesus tinggal di luar kota di tempat-tempat yang lengang, namun orang dari pelbagai kawasan datang kepada-Nya.
Baca Markus 1
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Markus 1:23-45
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video