MATIUS 7:15-29
MATIUS 7:15-29 Alkitab Berita Baik (BM)
“Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas. Kamu akan mengenal mereka melalui hasil perbuatan mereka. Belukar berduri tidak menghasilkan buah anggur, dan semak berduri tidak menghasilkan buah ara. Tetapi pokok yang subur menghasilkan buah yang baik, dan pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang buruk. Pokok yang subur tidak dapat menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang tidak subur tidak dapat menghasilkan buah yang baik. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik, ditebang lalu dibakar. Demikianlah kamu akan mengenal nabi palsu melalui perbuatan mereka.” “Tidak semua orang yang memanggil Aku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan,’ akan menikmati Pemerintahan Allah, tetapi hanya orang yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. Pada Hari Kiamat banyak orang akan berkata kepada-Ku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan, bukankah dengan nama Tuhan kami memberitakan perkhabaran Allah? Bukankah dengan nama Tuhan kami mengusir roh jahat, serta melakukan banyak mukjizat?’ Tetapi Aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai kamu yang tidak mentaati Allah!’ ” “Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini dan menurutnya, dia seperti seorang bijak yang membina rumah di atas batu. Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, tetapi rumah itu tidak roboh kerana berasaskan batu. Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini tetapi tidak menurutnya, dia seperti seorang bodoh yang membina rumah di atas pasir. Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, lalu rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan rumah itu!” Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara tersebut, orang ramai sangat hairan dengan cara Dia mengajar. Dia mengajar dengan wibawa, bukan seperti guru Taurat mereka.
MATIUS 7:15-29 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Ingatlah kamu deripada nabi nabi yang dusta, yang datang kapadamu dŭngan mŭmbuat buat dirinya spŭrti domba, tŭtapi dalam batin marika itu spŭrti sŭrigala yang mŭnŭrkam. Maka deripada pri buah buah kalakuannya kamu akan mŭngtahui dia; adakah pŭrnah orang mŭmŭtek buah anggor deripada pokok duri, atau buah ara deripada pokok onak? Maka dŭmkianlah barang suatu pohon kayu yang baik iya itu bŭrbuah yang baik, tŭtapi barang suatu pohon kayu yang jahat iya itu bŭrbuah yang busuk. Maka tiada bulih pohon kayu yang baik itu bŭrbuah yang busuk, dan tiada bulih pohon kayu yang jahat itu bŭrbuah yang baik. Adapun barang sa’suatu pohon kayu yang tiada bŭrbuah yang baik, iya itu ditŭbang dibuangkan kadalam api. Sŭbab itu deripada pri buah buahannya kamu akan mŭngtahui dia. ¶ Maka bukannya sagala orang yang bŭrkata padaku, Ya Mulana, ya Mulana, iya itu bulih masok kadalam krajaan shorga, mŭlainkan orang yang bŭrbuat kahandak ayahku yang ada dishorga. Maka adalah pada hari itu kŭlak banyak orang akan bŭrkata padaku, Mulana, Mulana, bukankah dŭngan kwasa namamu kami tŭlah mŭngajar, dan dŭngan kwasa namamu juga kami tŭlah mŭmbuangkan bŭbrapa jin, dan dŭngan kwasa namamu juga kami tŭlah mŭngadakan bŭbrapa pŭrbuatan yang ajaib? Maka tŭtkala itu kŭlak aku akan bŭrkata pada marika itu, bahwa skali kali tiada kukŭnal kamu, lalulah deri hadapanku hie orang yang bŭrbuat jahat. Maka sŭbab itu barang siapa yang sudah mŭnŭngar pŭrkataanku ini sŭrta dipŭrbuatnya akan dia, maka adalah iya itu kuumpamakan dŭngan sa’orang bijaksana yang tŭlah mŭmbangunkan rumahnya diatas sa’buah batu: Maka turonlah hujan lŭbat dan ayer pun bahlah, maka bŭrtiuplah angin lalu mŭnŭmpoh rumah itu, tiada juga iya ruboh, kŭrna iya itu tŭralas diatas batu adanya. Dan lagi barang siapa yang mŭnŭngar pŭrkataanku ini, maka tiada dipŭrbuatnya akan dia, maka iya itu diumpamakan dŭngan sa’orang bodoh yang tŭlah mŭmbangunkan rumahnya diatas pasir: Maka turonlah hujan lŭbat dan ayer pun bahlah, maka bŭrtiuplah angin lalu mŭnŭmpoh rumah itu, maka rubohlah iya, bŭsarlah kŭrubohannya itu! Adapun apabila habislah pŭrkataan Isa ini, maka tŭrchŭngang chŭnganglah marika itu ulih sŭbab pŭngajarannya itu. Kŭrna iya mŭngajar marika itu spŭrti orang yang mŭmpunyai kwasa adanya, maka bukannya spŭrti khatib khatib.
MATIUS 7:15-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas. Kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri? Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik. Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar. Demikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka.” “Tidak semua orang yang memanggil-Ku, ‘Tuhan, Tuhan,’ akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, ‘Tuhan, Tuhan, bukankah kami telah bernubuat dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?’ Tetapi Aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenalmu. Nyahlah kamu dari sini, hai kamu yang mungkar.’ ” “Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu. Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu. Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir. Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!” Setelah selesai Yesus menyampaikan kata-kata itu, orang ramai itu kagum dengan ajaran-Nya kerana Dia mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli Taurat mereka.