Matius 7:15-29

Matius 7:15-29 AVB

“Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas. Kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri? Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik. Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar. Demikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka.” “Tidak semua orang yang memanggil-Ku, ‘Tuhan, Tuhan,’ akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, ‘Tuhan, Tuhan, bukankah kami telah bernubuat dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?’ Tetapi Aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenalmu. Nyahlah kamu dari sini, hai kamu yang mungkar.’ ” “Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu. Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu. Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir. Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!” Setelah selesai Yesus menyampaikan kata-kata itu, orang ramai itu kagum dengan ajaran-Nya kerana Dia mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli Taurat mereka.

Video untuk Matius 7:15-29

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Matius 7:15-29