MATIUS 4:1-11
MATIUS 4:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun supaya dicubai oleh Iblis. Setelah berpuasa selama empat puluh hari dan empat puluh malam, Yesus lapar. Lalu Iblis datang dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu-batu ini menjadi roti.” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Allah.’ ” Kemudian Iblis membawa Yesus ke Yerusalem, kota suci itu, lalu meletakkan Dia di puncak Rumah Tuhan. Iblis berkata kepada Yesus, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya menjaga Engkau; malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ ” Yesus menjawab, “Tetapi di dalam Alkitab tertulis juga, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ ” Kemudian Iblis membawa Yesus ke gunung yang sangat tinggi, dan menunjukkan semua kerajaan di dunia ini serta segala kekayaannya kepada-Nya. Lalu Iblis berkata kepada Yesus, “Semua ini akan aku berikan kepada-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.” Yesus menjawab, “Pergilah, hai Iblis! Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ ” Kemudian Iblis meninggalkan Yesus, dan malaikat-malaikat pun datang menolong Dia.
MATIUS 4:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
KUMDIAN deripada itu, maka Isa pun dibawalah ulih Roh pŭrgi kapada suatu padang bŭlantara, supaya dichobai ulih Iblis akan dia. Hata maka puasalah iya ampat puloh hari ampat puloh malam, kumdian deripada itu, bahrulah iya lapar. Maka Iblis itupun datanglah kapadanya sambil bŭrkata, Jikalau kiranya angkau anak Allah, maka surohkanlah batu batu ini mŭnjadi roti. Tŭtapi jawab Isa, katanya, Bahwa tŭlah tŭrsurat, bukannya manusia ini bulih hidop dŭngan makan roti sahja, mŭlainkan ulih tiap tiap pŭrkataan yang tŭrbit deripada mulot Allah. Sŭtlah itu lalu diambil Iblis akan Isa pula, dibawanya pŭrgi kaBethalmukadis, sŭrta didirikannya akan dia diatas bumbongan ka’abah; Maka katanya pula pada Isa, Jikalau kiranya angkau anak Allah, tŭrjunkanlah dirimu kabawah, kŭrna sudah tŭrsurat, Bahwa Allah akan bŭrfŭrman kapada sagala maliekatnya deri halmu, maka akan ditatangnya dikau diatas tangannya supaya jangan tŭrantak kakimu pada batu. Maka bŭrkata Isa padanya, Bahwa tŭlah tŭrsurat pula, maka janganlah angkau mŭnchobai Tuhan Allahmu itu. Maka dibawalah ulih Iblis pula akan dia ka’atas sa’buah bukit yang amat tinggi, lalu diunjokkannyalah padanya sagala krajaan dunia dan kamulianaya; Maka katanya pada Isa, Bahwa skalian ini akan kubrikan padamu, jikalau angkau mahu sujud mŭnyŭmbah aku. Maka tŭtkala itu bŭrkata Isa padanya, Nyahlah angkau hie Shietan, kŭrna sudah tŭrsurat, Bahwa handaklah angkau mŭnyŭmbah Tuhan Allahmu, sŭrta bŭribadat kapadanya sahja. Sŭtlah itu, maka undorlah Iblis deripadanya, hieran, maka datanglah bŭbrapa maliekat mŭlayani akan dia.
MATIUS 4:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah itu, Yesus dibawa oleh Roh ke gurun untuk digoda Iblis. Setelah Yesus berpuasa empat puluh hari empat puluh malam, Dia berasa kelaparan. Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Anak Allah, perintahkanlah batu-batu ini menjadi roti.” Yesus menjawab, “Telah tersurat: ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Allah.’ ” Selepas itu, Iblis membawa Yesus ke kota suci lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Suci dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah, kerana telah tersurat: ‘Tentang-Mu, Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.’ ” Yesus menjawab, “Tetapi telah tersurat: ‘Janganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu.’ ” Iblis membawa pula Yesus ke atas gunung yang amat tinggi lalu menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia serta kemuliaannya. Kata Iblis kepada Yesus, “Semua ini akan kuberikan kepada-Mu jika Engkau sujud menyembahku.” Jawab Yesus, “Nyah engkau, Iblis. Telah tersurat: ‘Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’ ” Iblis pun meninggalkan Yesus dan para malaikat datang melayani-Nya.