MATIUS 27:32-66

MATIUS 27:32-66 Alkitab Berita Baik (BM)

Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. Mereka tiba di tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak”. Di situ mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian askar-askar menyalibkan Dia, dan membahagi-bahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. Setelah itu mereka duduk di sana dan mengawal Dia. Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.” Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata, “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!” Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya! Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?” Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu. Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, “Dia memanggil Elia!” Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus. Tetapi orang lain di situ berkata, “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia!” Kemudian Yesus berseru lagi dengan nyaring, lalu menghembuskan nafas yang terakhir. Kemudian tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah, kubur terbuka, dan banyak umat Allah yang sudah meninggal dihidupkan semula. Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka. Apabila ketua askar dan askar-askar yang sedang mengawal Yesus nampak gempa bumi dan segala perkara yang berlaku, mereka ketakutan. Mereka berkata, “Dia betul-betul Anak Allah!” Di situ ada juga banyak wanita yang memandang dari jauh. Mereka datang bersama-sama Yesus dari Galilea dan mereka menolong Dia. Antara mereka ialah Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Yusuf, serta ibu anak-anak Zebedeus. Pada waktu petang, seorang kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf datang. Dia juga pengikut Yesus. Dia pergi kepada Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Pilatus memberikan perintah supaya jenazah Yesus diserahkan kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu lalu membalutnya dengan kain linen baru. Dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur miliknya sendiri yang baru dipahat di bukit batu. Kemudian Yusuf menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu, lalu dia pergi. Maria Magdalena dan Maria yang lain duduk di situ menghadapi kubur itu. Keesokan harinya, pada hari Sabat, ketua-ketua imam dan orang Farisi pergi menghadap Pilatus. Mereka berkata, “Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia pernah berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan dibangkitkan.’ Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu baik-baik sehingga hari ketiga. Dengan demikian pengikut-pengikutnya tidak dapat mencuri jenazah Yesus, dan memberitahu orang bahawa dia telah dibangkitkan daripada kematian. Penipuan yang terakhir ini akan lebih buruk daripada yang pertama.” “Bawalah beberapa orang askar,” kata Pilatus kepada mereka, “pergilah dan kawallah kubur itu dengan rapi.” Lalu mereka pergi ke kubur itu, memeteraikan batu penutup kubur dan menyuruh beberapa orang askar mengawal kubur itu.

MATIUS 27:32-66 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka apabila marika itu kluar, lalu didapatinya sa’orang orang Siereni yang bŭrnama Simon, maka iya pun dipaksainya mŭmikol kayu saleb itu. Maka sŭtlah sampie marika itu kapada tŭmpat yang bŭrnama Golgotha, iya itu artinya tŭmpat tŭngkorak. Maka dibrinyalah akan Isa minom chuka bŭrchampor dŭngan hŭmpŭdu, maka apabila dichobainya, maka tiada iya mahu minom itu. Maka disalebkannya akan dia, lalu dibahgi ulih marika itu pakieannya dŭngan mŭmbuang undi, supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih Nabi, Bahwa marika itu tŭlah mŭmbahgi pakieanku diantara marika itu, maka diatas bajuku marika itu mŭmbuang undi. Maka dudoklah marika itu mŭnunggui akan dia disana. Lalu dibubohkannya pula ka’atas kapalanya surat tudohan dŭmkian bunyinya, IYA INILAH ISA RAJA ORANG YAHUDI. Maka ada pula bŭrsama sama dŭngan dia dua orang pŭnyamun disalebkan, sa’orang sŭblah kanannya, sa’orang sŭblah kirinya. Maka sagala orang yang lalu lalang pun mŭnchŭla akan dia sambil mŭngonchang kapala. Sŭrta bŭrkata, Hie angkau yang mŭmŭchahkan ka’abah, dan dapat mŭmbangunkan dia dalam tiga hari, lŭpaskanlah dirimu. Jikalau sungguh angkau anak Allah, turonlah deri atas saleb itu. Maka dŭmkian lagi imam imam yang bŭsar, dan khatib khatib, dan orang tua tua pun, dan orang Farisia mŭngolok olokkan dia, sŭrta bŭrkata, Iya tŭlah mŭlŭpaskan orang lain, tŭtapi dirinya tiada dapat dilŭpaskannya. Maka jikalau kiranya iya Raja orang Israil, biarlah iya turon deri atas saleb itu, bahrulah kita pŭrchaya akan dia. Iya tŭlah harap pada Allah, maka biarlah dilŭpaskan Allah akan dia skarang jikalau direlainya akan dia, kŭrna iya tŭlah bŭrkata, Bahwa akulah anak Allah. Maka pŭnyamun pŭnyamun yang disalebkan sŭrtanya itupun dŭmkian juga mŭnista akan dia. ¶ Maka adalah kira kira deripada pukol dua blas tŭngah hari, maka datanglah gŭlap ka’atas sagala bŭnua itu sampielah kira kira pukol tiga pŭtang. Maka adalah sŭkira kira jam pukol tiga, lalu bŭrsrulah Isa dŭngan suara yang nyaring, katanya, Elie, Elie, lama sabahthani, iya itu artinya, Allahku, Allahku, mŭngapa angkau tŭlah mŭninggalkan aku? Adapun sŭparoh orang yang ada disitu, apabila didŭngarnya itu, lalu bŭrkatalah iya, Bahwa iya ini mŭmanggil Ilias. Maka skutika itu juga larilah sa’orang deripada marika itu, sŭrta mŭngambil satu lumot karang yang diisinya dŭngan chuka, lalu dibubohnya ka’atas sa’batang buloh, maka dibrikannya minom akan dia. Maka bŭrkata orang lain, Nanti juga supaya kita lihat kalau kalau Ilias datang mŭlŭpaskan dia. Maka bŭrtriaklah pula Isa dŭngan suara yang nyaring, lalu putuslah nyawanya. Maka hieran, sŭtlah itu tirie ka’abah itu pun bŭlahlah dua deri atas sampie kŭbawah, maka bumi pun gŭmpalah, dan batu batu pun habislah bŭlah bŭlah. Dan kubor kubor pun tŭrbukalah, maka bŭbrapa mayat orang orang saleh yang tŭlah mati pun hidoplah. Maka kluarlah skalian marika itu deri dalam kubornya, iya itu kumdian deripada Isa hidop pula, lalu masoklah marika itu kadalam Bethalmukadis, iya itu klihatan kapada orang banyak. Maka apabila Pŭnghulu sratus orang, dan orang orang yang sŭrtanya mŭnunggu Isa pun mŭlihat gŭmpah bumi, dan sagala pŭrkara yang tŭlah jadi itu, maka kŭtakotanlah iya sangat, katanya, Bahwa sŭbŭnarnyalah iya ini Anak Allah. Maka adapun pŭrampuan banyak disana yang mŭlihat deri jauh, yang tŭlah mŭngikot Isa deri Galilia, bŭrkhodmat padanya. Maka diantara marika itu adalah Mŭriam Magdalini, dan Mŭriam ibu Yakob dan Yuses, dan bonda anak laki laki Zabdi. ¶ Bŭrmula sŭtlah pŭtang hari, maka datanglah sa’orang kaya deri nŭgri Aremathia, yang bŭrnama Yosof, adapun iya itu sa’orang murid Isa juga. Maka pŭrgilah iya kapada Pilatus mŭminta mayat Isa. Maka disuroh Pilatus brikan mayat itu padanya. Sŭtlah sudah diambil ulih Yosof akan mayat itu, maka dikafankannya dŭngan kain puteh halus yang pŭrsih. Maka ditanamkannya kadalam kubornya sŭndiri, iya itu yang bahru dipahatkannya dalam batu, maka digulingkannya pula sa’buah batu yang bŭsar kapintu kubor itu, lalu pulanglah iya. Maka adalah Mŭriam Magdalini, dan Mŭriam yang lain itu, dudok pada fiak hadapan kubor itu. ¶ Maka pada kaesokkan harinya turutan hari bŭrsŭdia akan hari bŭsar, maka imam imam yang bŭsar, dan orang Farisia pun bŭrkumpollah mŭngadap Pilatus. Katanya, Ya Tuan, bahwa kami skalian tŭringat, adapun orang pŭnipu itu tŭlah bŭrkata tŭtkala iya lagi hidop, Maka kumdian deripada tiga hari aku akan hidop pula. Sŭbab itu handaklah angkau surohkan mŭnjaga kubornya sampie hari yang katiga, kalau kalau murid muridnya datang mŭnchuri akan dia pada malam, lalu bŭrkata pada kaum itu, iya sudah hidop deripada matinya; maka salah yang tŭrkumdian itu tŭrlebih pula jahatnya deripada yang pŭrtama. Maka bŭrkatalah Pilatus pada marika itu, Orang yang bŭrkawal itu ada kapadamu juga, pŭrgilah kamu kawali dia dŭngan sŭbulih bulihnya. Hata maka marika itu pun pŭrgilah mŭnŭgohkan kubor itu, maka dimutriekan batu tutop kubor itu, sŭrta disurohkannya lashkar bŭrkawal.

MATIUS 27:32-66 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Yesus. Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak. Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum. Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Kemudian mereka duduk berjaga di situ. Di atas kayu salib Yesus mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: “Inilah Yesus Raja orang Yahudi.” Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Orang yang lalu di situ mengejek-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala mereka berkata, “Engkau mahu memusnahkan Bait Suci dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Anak Allah, turunlah dari salib itu.” Begitu jugalah ketua-ketua imam, ahli Taurat dan tua-tua, turut mengejek Yesus: “Dia telah menyelamatkan orang lain tetapi Dia tidak dapat menyelamatkan diri-Nya. Kalau benar Dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya. Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, ‘Aku Anak Allah.’ ” Perompak yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya dengan kata-kata demikian. Dari jam yang keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan. Kira-kira jam kesembilan, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” maksudnya “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?” Beberapa orang yang berdiri di situ mendengar seruan itu berkata, “Orang ini memanggil Elia.” Serta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Yesus sebagai minuman. Yang lain berkata, “Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Elia datang menyelamatkan-Nya.” Yesus berseru dengan kuat sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir. Sejurus itu tirai Bait Suci terbelah dua dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terpecah; kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang suci dibangkitkan semula; mereka keluar dari kubur dan selepas Yesus dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ. Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Yesus melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, “Benarlah Dia Anak Allah!” Ramai wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh. Antara mereka ialah Maria Magdalena dan Maria ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus. Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi murid Yesus. Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu dan mengafankannya dengan kain linen yang bersih. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ. Ketika itu Maria Magdalena ada di situ, begitu juga Maria yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu. Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus. Mereka berkata, “Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan bangkit.’ Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau murid-murid-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, ‘Dia telah bangkit daripada kematian.’ Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.” Pilatus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.” Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu dengan memateraikannya supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.