Matius 27:32-66

Matius 27:32-66 AVB

Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Yesus. Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak. Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum. Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Kemudian mereka duduk berjaga di situ. Di atas kayu salib Yesus mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: “Inilah Yesus Raja orang Yahudi.” Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Orang yang lalu di situ mengejek-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala mereka berkata, “Engkau mahu memusnahkan Bait Suci dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Anak Allah, turunlah dari salib itu.” Begitu jugalah ketua-ketua imam, ahli Taurat dan tua-tua, turut mengejek Yesus: “Dia telah menyelamatkan orang lain tetapi Dia tidak dapat menyelamatkan diri-Nya. Kalau benar Dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya. Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, ‘Aku Anak Allah.’ ” Perompak yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya dengan kata-kata demikian. Dari jam yang keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan. Kira-kira jam kesembilan, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” maksudnya “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?” Beberapa orang yang berdiri di situ mendengar seruan itu berkata, “Orang ini memanggil Elia.” Serta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Yesus sebagai minuman. Yang lain berkata, “Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Elia datang menyelamatkan-Nya.” Yesus berseru dengan kuat sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir. Sejurus itu tirai Bait Suci terbelah dua dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terpecah; kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang suci dibangkitkan semula; mereka keluar dari kubur dan selepas Yesus dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ. Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Yesus melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, “Benarlah Dia Anak Allah!” Ramai wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh. Antara mereka ialah Maria Magdalena dan Maria ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus. Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi murid Yesus. Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu dan mengafankannya dengan kain linen yang bersih. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ. Ketika itu Maria Magdalena ada di situ, begitu juga Maria yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu. Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus. Mereka berkata, “Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan bangkit.’ Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau murid-murid-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, ‘Dia telah bangkit daripada kematian.’ Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.” Pilatus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.” Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu dengan memateraikannya supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.