MATIUS 27:15-31

MATIUS 27:15-31 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada tiap-tiap Perayaan Paska, gabenor Roma biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. Pada masa itu ada seorang tahanan yang terkenal, yang bernama Yesus Barabas. Apabila orang ramai berkumpul, Pilatus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan? Yesus Barabas atau Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus tahu betul bahawa pemimpin orang Yahudi menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Sementara Pilatus duduk di balai pengadilan, isterinya mengirim berita kepadanya, “Janganlah turut campur perkara orang yang tidak bersalah itu, kerana saya mendapat mimpi buruk tentang dia.” Para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas dan menghukum mati Yesus. Tetapi Pilatus bertanya kepada orang ramai, “Yang mana satu antara kedua-dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?” “Barabas!” jawab mereka. “Lalu apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus bertanya kepada mereka. “Salibkan dia!” jawab mereka semua. Tetapi Pilatus berkata, “Kejahatan apa yang telah dilakukannya?” Kemudian mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!” Apabila Pilatus sedar bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan bahawa orang ramai mungkin merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangan di hadapan orang ramai. Dia berkata, “Aku tidak bertanggungjawab terhadap kematian orang ini! Kamulah yang bertanggungjawab!” Seluruh orang ramai itu menjawab, “Kami dan keturunan kami bertanggungjawab terhadap kematiannya!” Kemudian Pilatus membebaskan Barabas bagi mereka, dan menyuruh orang menyesah Yesus serta menyerahkan Dia kepada askar untuk disalib. Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya. Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia. Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, “Daulat Raja Orang Yahudi!” Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib.

MATIUS 27:15-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Adapun pada hari raya itu Raja handak mŭlŭpaskan sa’orang rayat yang tŭrbŭlunggu bagie kaum itu, yang mana dikahandaki ulih marika itu. Maka tŭtkala itu adalah sa’orang tŭrbŭlunggu yang tŭrmashor jahatnya, namanya Bŭraba. Shahadan sŭtlah bŭrhimpunlah marika itu skalian, maka bŭrkatalah Pilatus pada marika itu, Siapakah yang kamu kahandaki kulŭpaskan, Bŭrabakah, atau Isa yang tŭrsŭbut Almasihkah? Kŭrna Raja tŭlah mŭngtahui, bahwa marika itu mŭnyŭrahkan Isa itu dŭngan dŭngkinya. ¶ Tŭtkala Raja dudok diatas tŭmpat bicharanya itu, maka disuroh ulih istrinya akan orang datang kapadanya, mŭngatakan, Janganlah angkau buat barang sasuatu akan orang yang bŭnar itu, kŭrna pada hari ini aku tŭlah bŭrmimpi dŭngan mŭrasai bŭbrapa susah deri sŭbabnya. Adapun imam imam yang bŭsar itu, sŭrta orang tua tua pun mŭmbujok akan sagala kaum, supaya iya skalian minta lŭpaskan Bŭraba, dan biarlah Isa dibinasakan. Maka kata Raja kapada marika itu, Dalam antara kadua orang ini, siapakah yang kamu kahandaki aku lŭpaskan? Maka bŭrkatalah marika itu, Bŭraba. Kata Pilatus pada marika itu, Kalau dŭmkian, apakah kŭlak kupŭrbuat akan Isa yang tŭrsŭbut Almasih itu? Maka bŭrkatalah skalian marika itu, Biarlah iya disalebkan. Maka jawab Raja, Apakah salah yang dipŭrbuatnya? Maka makinlah bŭrtriak marika itu, katanya, Biarlah iya disalebkan. Maka apabila dilihat ulih Pilatus, bahwa tiadalah bŭrguna lagi pŭrkataannya, mŭlainkan makinlah lebih jadi gŭmpar, maka diambilnyalah ayer, lalu dibasohnya kadua bŭlah tangannya dihadapan kaum itu, katanya, Aku tŭlah suchilah deri pada dosa mŭnumpahkan darah orang yang bŭnar ini, tanggonglah ulihmu. Maka mŭnyahutlah skalian orang itu, sŭrta bŭrkata, Biarlah darahnya itu tŭrtanggong ka’atas kami, dan atas anak anak chuchu kami. Maka tŭtkala itu dilŭpaskannya Bŭraba, tŭtapi Isa dipalunya dŭngan jari ampi, sŭrta disŭrahkannya supaya disalebkan. Tŭtkala itu maka diambillah ulih sagala lashkar Raja akan Isa, maka dibawanyalah bŭrsama sama kabalierong, maka bŭrkamponglah sagala pasukan lashkar itu kapadanya. Lalu ditanggalkannya pakieannya, maka dipakiekannya suatu baju yang ungu warnanya. Maka dianyamkannya pula suatu mahakota deripada duri, dipakiekannya ka’atas kapalanya, sŭrta dibrinya sa’batang buloh katangan kanannya, maka bŭrtŭlotlah marika itu dihadapannya, diolok olokkannya akan dia, katanya, Slamatlah hie Raja orang Yahudi. Maka diludahinya akan dia, sŭrta diambilnya tongkat itu dipukolkannya kakŭpalanya. Maka apabila sudahlah marika itu mŭngolok olokkan dia, maka ditanggalkannya baju itu, lalu dipakiekannya pakieannya sŭndiri, sambil dibawanyalah kluar handak disalebkannya akan dia.

MATIUS 27:15-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada waktu perayaan, lazimnya gabenor membebaskan dari penjara seorang yang dikehendaki oleh orang ramai. Pada masa itu ada seorang banduan yang terkenal jahatnya, bernama Barabas. Setelah mereka berhimpun, Pilatus bertanya, “Yang mana kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu, Barabas atau Yesus yang dipanggil Kristus?” Gabenor itu tahu bahawa mereka telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Ketika Pilatus sedang duduk di atas kerusi penghakiman, isterinya berkirim pesan kepadanya, “Jangan apa-apakan orang yang tidak bersalah; hari ini aku banyak menanggung azab dalam mimpi kerana-Nya.” Tetapi ketua-ketua imam dan tua-tua dapat meyakinkan orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan dan Yesus dibunuh. Gabenor itu berkata kepada mereka, “Yang mana antara dua orang ini kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu?” Mereka menjawab, “Barabas!” Pilatus bertanya kepada mereka, “Jadi, apa yang harus kubuat dengan Yesus yang dipanggil Kristus?” Kesemua mereka berkata kepadanya, “Salibkan Dia!” Gabenor berkata, “Mengapa, apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?” Tetapi mereka berseru semakin kuat, “Salibkan Dia!” Apabila Pilatus melihat bahawa dia tidak dapat mempengaruhi mereka malah mereka mula hendak merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai itu sambil berkata, “Aku bebas daripada kesalahan menumpahkan darah orang yang baik ini. Kamu tanganilah sendiri.” Kesemua mereka menjawab, “Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.” Pilatus pun membebaskan Barabas kepada mereka; dan setelah menyebat Yesus, dia menyerahkan-Nya untuk disalib. Kemudian askar-askar gabenor membawa Yesus ke istana gabenor dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ. Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya. Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Yesus dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, “Hai Raja orang Yahudi!” Selepas itu, mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu. Setelah selesai mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib.