Matius 27:15-31

Matius 27:15-31 AVB

Pada waktu perayaan, lazimnya gabenor membebaskan dari penjara seorang yang dikehendaki oleh orang ramai. Pada masa itu ada seorang banduan yang terkenal jahatnya, bernama Barabas. Setelah mereka berhimpun, Pilatus bertanya, “Yang mana kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu, Barabas atau Yesus yang dipanggil Kristus?” Gabenor itu tahu bahawa mereka telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Ketika Pilatus sedang duduk di atas kerusi penghakiman, isterinya berkirim pesan kepadanya, “Jangan apa-apakan orang yang tidak bersalah; hari ini aku banyak menanggung azab dalam mimpi kerana-Nya.” Tetapi ketua-ketua imam dan tua-tua dapat meyakinkan orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan dan Yesus dibunuh. Gabenor itu berkata kepada mereka, “Yang mana antara dua orang ini kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu?” Mereka menjawab, “Barabas!” Pilatus bertanya kepada mereka, “Jadi, apa yang harus kubuat dengan Yesus yang dipanggil Kristus?” Kesemua mereka berkata kepadanya, “Salibkan Dia!” Gabenor berkata, “Mengapa, apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?” Tetapi mereka berseru semakin kuat, “Salibkan Dia!” Apabila Pilatus melihat bahawa dia tidak dapat mempengaruhi mereka malah mereka mula hendak merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai itu sambil berkata, “Aku bebas daripada kesalahan menumpahkan darah orang yang baik ini. Kamu tanganilah sendiri.” Kesemua mereka menjawab, “Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.” Pilatus pun membebaskan Barabas kepada mereka; dan setelah menyebat Yesus, dia menyerahkan-Nya untuk disalib. Kemudian askar-askar gabenor membawa Yesus ke istana gabenor dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ. Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya. Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Yesus dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, “Hai Raja orang Yahudi!” Selepas itu, mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu. Setelah selesai mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib.