MATIUS 27:1-14

MATIUS 27:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada pagi-pagi sekali, semua ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi membuat keputusan untuk membunuh Yesus. Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus, gabenor kerajaan Roma. Apabila Yudas, pengkhianat itu tahu bahawa Yesus telah dijatuhi hukuman mati, dia menyesal. Lalu dia mengembalikan tiga puluh keping wang perak itu kepada para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. Dia berkata, “Aku sudah berdosa kerana mengkhianati orang yang tidak bersalah sehingga dihukum mati!” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak peduli! Itu urusanmu!” Yudas melempar wang itu ke dalam Rumah Tuhan lalu meninggalkan mereka. Kemudian dia pergi menggantung diri. Para ketua imam memungut wang itu dan berkata, “Wang ini upah seorang pembunuh. Menurut Taurat kita, wang ini tidak boleh dimasukkan ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan.” Setelah bersetuju, mereka menggunakan wang itu untuk membeli tanah yang disebut Tanah Tukang Periuk. Tanah itu digunakan sebagai perkuburan orang bukan Yahudi. Itulah sebabnya sehingga hari ini tanah itu dinamakan “Tanah Darah”. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Mereka mengambil tiga puluh keping wang perak, jumlah yang disetujui oleh orang Israel sebagai bayaran bagi Dia. Wang itu digunakan untuk membeli tanah tukang periuk, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepadaku.” Yesus berdiri di hadapan Gabenor Pilatus, dan Pilatus bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” “Begitulah yang tuan katakan,” jawab Yesus. Tetapi apabila para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, Dia diam sahaja. Oleh itu Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mendengar segala tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?” Tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun, sehingga gabenor itu sangat hairan.

MATIUS 27:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA apabila datanglah pagi hari, lalu bŭrbicharalah imam bŭsar, dan orang orang tua tua deripada kaum itu deri hal Isa, supaya dibunohnya akan dia. Maka sŭtlah sudah diikatnya, maka dibawanyalah sŭrta disŭrahkannya dia kapada Raja Pontius Pilatus. ¶ Apabila dilihat ulih Yudas yang mŭnyŭrahkan dia, bahwa sudah tŭntu hukum Isa itu, maka mŭnyŭsallah iya akan dirinya, lalu dikŭmbalikannyalah tiga puloh kŭping perak itu kapada imam imam yang bŭsar, dan orang tua tua itu. Katanya, Aku sudah bŭrdosa, sŭbab tŭlah mŭnyŭrahkan darah orang yang suchi deripada salah itu. Maka dijawab ulih marika itu, Apa kami pŭduli, itu pulanglah kapadamu. Sŭtlah sudah dichampakkan ulih Yudas kŭping perak itu dalam ka’abah, maka kluarlah iya pŭrgi mŭnggantong dirinya. Maka diambillah ulih imam imam bŭsar kŭping kŭping perak itu, sŭrta bŭrkata, Tiadalah patut dimasokkan wang ini kadalam pŭrbandaharan, kŭrna iya ini harga darah adanya. Maka sŭtlah sudah marika itu mufakat, maka diblikannyalah dŭngan wang itu suatu tanah tukang priok blanga, iya itu dijadikannya tŭmpat pŭkuboran sagala orang orang dagang. Maka sŭbab itulah dinamai orang akan tanah itu, tanah darah sampie hari ini. Maka tŭtkala itu tŭlah gŭnaplah barang yang dikatakan ulih nabi Jeremia, katanya, Marika itu tŭlah mŭngambil tiga puloh kŭping perak itu, iya itu harga orang yang tŭlah diniliekan ulih bŭni Israil. Maka wang itu dibuatnya pŭmbayar harga tanah tukang priok blanga itu, spŭrti yang disurohkan Tuhan padaku. ¶ Maka Isa pun bŭrdirilah mŭngadap Raja; bŭrtanyalah Raja itu padanya, Angkaukah Raja orang Yahudi? Maka jawab Isa, Spŭrti angkau kata. Maka apabila iya sudah ditudoh ulih imam imam yang bŭsar, dan orang tua tua itu, maka suatu pun tiada disahutnya. Tŭtkala itu bŭrkatalah Pilatus padanya, Tiadakah angkau mŭnŭngar bŭbrapa pŭrkara marika itu bŭrsaksi mŭlawan dikau? Tŭtapi sa’patah pun tiada disahutnya akan dia, sampie hieranlah Raja itu sangat.

MATIUS 27:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah siang, semua ketua imam dan tua-tua berpakat untuk membunuh Yesus. Mereka menyuruh orang mengikat-Nya. Kemudian mereka membawa-Nya lalu menyerahkan-Nya kepada gabenor, Pontius Pilatus. Apabila Yudas yang mengkhianati-Nya melihat bahawa Yesus telah dijatuhi hukum mati, dia menyesali perbuatannya lalu mengembalikan tiga puluh keping wang perak ke hadapan ketua-ketua imam dan tua-tua. Yudas berkata, “Aku berdosa menyebabkan tumpahnya darah orang yang tidak bersalah.” Kata mereka, “Apa kami peduli? Tanganilah sendiri!” Yudas pun mencampakkan keping-keping wang perak itu ke dalam Bait Suci lalu pergi menggantung dirinya. Ketua-ketua imam memungut wang perak itu lalu berkata, “Menurut hukum, kita tidak boleh memasukkan wang ini ke dalam perbendaharaan rumah ibadat, kerana wang ini harga darah.” Mereka bermesyuarat lalu menggunakan wang itu untuk membeli ladang tukang tembikar bagi dijadikan tempat perkuburan orang asing. Oleh itu, padang tersebut dipanggil Padang Darah hingga hari ini. Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia: “Maka mereka pun mengambil tiga puluh keping perak itu, harga Dia yang telah dinilai oleh anak-anak Israel, lalu membeli tanah tukang tembikar seperti yang diperintahkan Tuhan kepadaku.” Gabenor itu bertanya kepada Yesus yang berdiri di hadapannya, “Adakah Engkau Raja orang Yahudi?” Yesus berkata, “Begitulah seperti katamu.” Ketika Dia dituduh oleh ketua-ketua imam dan tua-tua, Dia tidak berkata suatu apa. Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah Kamu dengar betapa banyaknya tuduhan terhadap-Mu dalam kesaksian mereka?” Tetapi Yesus tidak berkata sepatah pun, sehingga amat hairan gabenor melihat-Nya.