Setelah siang, semua ketua imam dan tua-tua berpakat untuk membunuh Yesus. Mereka menyuruh orang mengikat-Nya. Kemudian mereka membawa-Nya lalu menyerahkan-Nya kepada gabenor, Pontius Pilatus. Apabila Yudas yang mengkhianati-Nya melihat bahawa Yesus telah dijatuhi hukum mati, dia menyesali perbuatannya lalu mengembalikan tiga puluh keping wang perak ke hadapan ketua-ketua imam dan tua-tua. Yudas berkata, “Aku berdosa menyebabkan tumpahnya darah orang yang tidak bersalah.” Kata mereka, “Apa kami peduli? Tanganilah sendiri!” Yudas pun mencampakkan keping-keping wang perak itu ke dalam Bait Suci lalu pergi menggantung dirinya. Ketua-ketua imam memungut wang perak itu lalu berkata, “Menurut hukum, kita tidak boleh memasukkan wang ini ke dalam perbendaharaan rumah ibadat, kerana wang ini harga darah.” Mereka bermesyuarat lalu menggunakan wang itu untuk membeli ladang tukang tembikar bagi dijadikan tempat perkuburan orang asing. Oleh itu, padang tersebut dipanggil Padang Darah hingga hari ini. Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia: “Maka mereka pun mengambil tiga puluh keping perak itu, harga Dia yang telah dinilai oleh anak-anak Israel, lalu membeli tanah tukang tembikar seperti yang diperintahkan Tuhan kepadaku.” Gabenor itu bertanya kepada Yesus yang berdiri di hadapannya, “Adakah Engkau Raja orang Yahudi?” Yesus berkata, “Begitulah seperti katamu.” Ketika Dia dituduh oleh ketua-ketua imam dan tua-tua, Dia tidak berkata suatu apa. Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah Kamu dengar betapa banyaknya tuduhan terhadap-Mu dalam kesaksian mereka?” Tetapi Yesus tidak berkata sepatah pun, sehingga amat hairan gabenor melihat-Nya.
Baca Matius 27
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Matius 27:1-14
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video