MATIUS 26:17-46

MATIUS 26:17-46 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Yesus datang kepada-Nya dan bertanya, “Di manakah Guru ingin kami sediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menjawab, “Pergilah berjumpa dengan seorang di bandar. Katakan kepadanya, ‘Guru berkata, saat-Nya sudah hampir tiba; Dia hendak merayakan Paska di rumahmu bersama dengan pengikut-pengikut-Nya.’ ” Pengikut-pengikut-Nya melakukan suruhan Yesus dan menyiapkan jamuan Paska itu. Apabila malam tiba, Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya mula makan. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut-Nya sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan aku yang Tuhan maksudkan?” Yesus menjawab, “Orang yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku, dialah yang akan mengkhianati Aku. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi alangkah malangnya orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak pernah dilahirkan!” Lalu Yudas, pengkhianat itu berkata, “Tentu bukan saya yang guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu!” Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua. Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru bersama-sama kamu di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun. Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Pada malam ini juga kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu.” Petrus berkata kepada Yesus, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat demikian!” Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam jantan berkokok malam ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus menjawab, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!” Semua pengikut yang lain pun berkata demikian. Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke suatu tempat bernama Getsemani. Dia berkata kepada mereka, “Duduklah di sini sementara Aku pergi ke sana untuk berdoa.” Yesus mengajak Petrus dan kedua-dua orang anak Zebedeus pergi bersama dengan-Nya. Dia sangat sedih dan gelisah. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah dengan Aku.” Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh, jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.” Kemudian Yesus kembali kepada ketiga-tiga orang pengikut-Nya dan mendapati mereka sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Tidak dapatkah kamu bertiga berjaga dengan Aku selama satu jam? Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana tabiat manusia lemah.” Sekali lagi Yesus pergi dan berdoa, “Ya Bapa, jika cawan penderitaan ini tidak dapat dijauhkan daripada-Ku, tetapi harus Aku minum, biarlah kehendak Bapa berlaku.” Kemudian Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan Dia mendapati mereka masih tidur kerana mengantuk. Sekali lagi Yesus meninggalkan mereka, lalu pergi dan berdoa dengan kata-kata yang sama untuk kali ketiga. Lalu Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Lihatlah, saatnya sudah tiba bagi Anak Manusia diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!”

MATIUS 26:17-46 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Bŭrmula pada hari yang pŭrtama deripada hari raya roti yang tiada bŭragi, maka datanglah murid muridnya kapada Isa, sŭrta bŭrkata padanya, Dimanakah angkau kahandaki, supaya kami sŭdiakan makan pŭrjamuan hari raya langka? Maka bŭrkatalah iya, Pŭrgilah kamu masok kadalam nŭgri kapada sa’orang anu, katakanlah padanya, Guru bŭrkata, bahwa ajalku sudah dŭkat, maka dalam rumahmulah aku handak mŭndapati hari raya langka sŭrta dŭngan murid muridku. Maka dipŭrbuatlah ulih murid muridnya spŭrti yang disurohkan Isa itu padanya, sŭrta disŭdiakannya pŭrjamuan langka itu. Maka apabila sudah pŭtang hari, lalu dudoklah Isa makan sa’hidangan dŭngan kadua blas murid muridnya itu. Maka tŭtkala marika itu makan, lalu bŭrkatalah iya, Sasungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa sa’orang deri antaramu ini akan mŭnyŭrahkan aku kapada musohku. Maka duka chitalah sangat marika itu, lalu bŭrtanyalah masing masing kapadanya, Hambakah dia, ya Tuhan? Maka jawabnya, Adapun orang yang masok tangan sŭrtaku dalam pinggan ini, iyalah akan mŭnyŭrahkan aku. Bahwa Anak manusia itu akan mati spŭrti yang tŭlah tŭrsurat deri halnya, tŭtapi karamlah bagie orang yang mŭnyŭrahkan Anak manusia itu, lebih baiklah jikalau orang itu tiada dipranakkan. Maka sahut Yudas yang akan mŭnyŭrahkan Isa itu, katanya, Hambakah dia itu ya Guru? Maka jawabnya, Spŭrti katamu itu. ¶ Bŭrmula maka adalah marika itu pada tŭngah makan, maka diambil ulih Isa roti, sŭtlah sudah dibŭrkatinya akan dia, lalu dipŭchahkannyalah, sŭrta dibrikannya kapada murid muridnya, katanya, Ambillah, makan ulihmu, bahwa inilah tubohku. Dan lagi diambilnya pula sa’chawan minoman, maka sŭtlah iya mŭnguchap shukor, lalu dibrikannyalah pada marika itu, katanya, minomlah ulihmu sŭmua akan dia: Kŭrna inilah darahku, iya itu pŭrjanjian bahru yang tŭlah tumpah sŭbab orang banyak, supaya dosanya dihapuskan. Maka aku bŭrkata padamu, bahwa deripada kutika ini tiadalah lagi aku minom deri pada ayer anggor ini, hingga sampie pada hari apabila aku dŭngan kamu kŭlak minom dia itu dŭngan bahrunya, dalam krajaan Ayahku. Sŭtlah sudah marika itu mŭnyanyi suatu puji pujian, maka kluarlah marika itu kabukit Zieton. Tŭtkala itu, maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bahwa sŭmua kamu ini kŭlak akan mŭmungkirkan aku pada malam ini, kŭrna tŭlah tŭrsurat dŭmkian, Bahwa aku akan mŭnyinchang gombala itu, maka domba sa’kawan itu pun akan chŭrie brielah. Tŭtapi apabila aku kŭlak hidop pula, maka aku akan bŭrjalan dahulu dihadapanmu pŭrgi kanŭgri Galilia. Maka disahut ulih Petros akan dia, Jikalau kiranya sagala orang mungkirkan angkau skali pun, bahwa skali kali aku tiada mungkir. Maka bŭrkata Isa padanya, Sasungguhnya juga aku bŭrkata padamu, bahwa pada malam ini juga, sŭbŭlom ayam bŭrkokok, maka angkau akan mŭnyangkali aku tiga kali. Maka kata Petros padanya, Jikalau mati hamba skali pun, sŭrta juga dŭngan angkau, bahwa tiadalah aku kŭlak mŭnyagkali angkau; dŭmkian lagi pŭrkataan sagala murid muridnya yang lain pun. ¶ Tŭtkala itu datanglah Isa bŭrsama sama dŭngan marika itu masok kadalam suatu tŭmpat yang bŭrnama Gethsamani, maka bŭrkata Isa pada murid muridnya, Dudoklah kamu disini sŭmŭntara aku pŭrgi minta doa disitu. Maka dibawanyalah bŭrsama sama Petros, dan anak Zabdi kadua, maka bahrulah datang duka chitanya, sŭrta dŭngan sangat brat rasanya. Tŭtkala itu, maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Nyawaku tŭrsangatlah bŭrduka bagie akan mati, nantilah kamu disini sŭrta bŭrjaga dŭngan aku. Maka pŭrgilah iya jauh sŭdikit, maka sujudlah iya mŭniarap, sambil mŭminta doa, katanya, Ya Ayahku, jikalau bulih kiranya, biarlah chawan minoman itu dinyahkan deripada aku, tŭtapi dalam pada itu pun bukannya spŭrti kahandakku, mŭlainkan spŭrti kahandakmu. Maka kŭmbalilah iya pada murid muridnya, maka didapatinya marika itu tidor, lalu katanya kapada Petros, Bagimana, tiadakah bulih kamu bŭrjaga sŭrtaku sa’jam sahja? Bŭrjagalah dŭngan bŭrminta doa, supaya jangan kamu kŭna pŭrchobaan, maka sungguh pun Roh itu bŭrkahandak, tŭtapi hati itu lŭmahlah adanya. Maka pŭrgilah iya pula pada kadua kalinya mŭminta doa, katanya, Ya Ayahku, jikalau kiranya chawan minoman itu tiada bulih nyah deripadaku, mŭlainkan handak kuminom juga akan dia itu, kahandakmu jadilah. Maka iya pun kŭmbalilah, lalu didapatinya akan marika itu tidor pula, kŭrna tŭrlalu sangat brat matanya. Maka ditinggalkanyalah marika itu, lalu pŭrgilah iya mŭminta doa pada katiga kalinya, mŭngatakan pŭrkataan itu juga. Sŭtlah itu kŭmbalilah iya kapada murid muridnya, lalu bŭrkata padanya, Tidorlah juga skarang, sŭnangkanlah dirimu, sasungguhnya kutika tŭlah sampie, bahwa Anak manusia itu akan disŭrahkan kŭtangan orang bŭrdosa. Bangunlah kamu, mari kita pŭrgi; tengoklah, orang yang handak mŭnyŭrahkan aku itu ada datang.

MATIUS 26:17-46 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, murid-murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, “Di manakah Engkau mahu kami sediakan jamuan Paskah untuk-Mu?” Yesus berkata, “Pergilah ke kota kepada seorang tertentu dan katakanlah kepadanya, ‘Guru berkata, Masa-Ku sudah hampir; Aku akan menyambut Perayaan Paskah di rumahmu bersama para murid-Ku.’ ” Murid-murid Yesus menjalankan arahan-Nya lalu menyediakan jamuan Perayaan Paskah. Menjelang malam, Dia pun duduk bertelekan di meja bersama murid-Nya yang dua belas itu. Sambil makan itu Dia berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.” Mereka sungguh berdukacita, dan setiap orang daripada mereka berkata kepada-Nya, “Tuhan, tentunya aku bukan orang itu?” Yesus menjawab, “Orang yang mencecahkan tangannya bersama-Ku ke dalam bekas akan mengkhianati-Ku. Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang tersurat tentang-Nya, tetapi malanglah orang yang mengkhianati-Nya! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.” Ketika itu Yudas yang akan mengkhianati-Nya bertanya, “Rabbi, akukah orangnya?” Yesus berkata kepadanya, “Kamu telah mengatakannya.” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambil dan makanlah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan mengucap syukur lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Minumlah dari cawan ini, kamu semua. Inilah darah perjanjian yang ditumpahkan bagi ramai orang untuk pengampunan dosa. Tetapi, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru bersamamu dalam kerajaan Bapa-Ku.” Setelah menyanyikan sebuah lagu suci mereka pun beredar ke Bukit Zaitun. Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan goyah kerana-Ku malam ini, seperti yang telah tersurat: ‘Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.” Petrus menjawab, “Kalaupun semua yang lain goyah kerana-Mu, aku tidak akan goyah.” Yesus berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini juga, sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.” Petrus berkata kepada Yesus, “Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu!” Semua murid yang lain pun berkata demikian. Selepas itu, Yesus pergi bersama mereka ke sebuah tempat bernama Getsemani, lalu Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.” Yesus membawa bersama-Nya Petrus dan kedua-dua anak Zebedeus. Dia mula berasa dukacita dan resah. Dia berkata kepada mereka, “Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini berjaga bersama-Ku.” Yesus pergi jauh sedikit dari situ lalu sujud menyembamkan muka ke tanah dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, kalaulah dapat, edarkanlah cawan ini daripada-Ku; namun, bukanlah seperti yang Kukehendaki, melainkan seperti yang Kaukehendaki.” Kemudian Dia kembali kepada murid-murid-Nya dan mendapati mereka tertidur; lalu Dia berkata kepada Petrus, “Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga bersama-Ku? Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.” Bagi kali kedua, Dia pergi dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, jika cawan ini tidak mungkin beredar daripada-Ku melainkan Kuminum, terlaksanalah kehendak-Mu.” Selepas itu, Dia mendapati mereka tidur lagi, kerana mata mereka sungguh mengantuk. Dia pun meninggalkan mereka dan pergi berdoa lagi, bagi kali ketiga. Dia mengucapkan kata-kata yang sama. Setelah itu, Dia mendapatkan murid-murid-Nya lalu berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat? Lihatlah, masanya telah menjelang, dan Anak Manusia sedang dikhianati untuk diserahkan ke tangan orang berdosa. Bangunlah, mari kita pergi. Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami