Matius 26:17-46

Matius 26:17-46 AVB

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, murid-murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, “Di manakah Engkau mahu kami sediakan jamuan Paskah untuk-Mu?” Yesus berkata, “Pergilah ke kota kepada seorang tertentu dan katakanlah kepadanya, ‘Guru berkata, Masa-Ku sudah hampir; Aku akan menyambut Perayaan Paskah di rumahmu bersama para murid-Ku.’ ” Murid-murid Yesus menjalankan arahan-Nya lalu menyediakan jamuan Perayaan Paskah. Menjelang malam, Dia pun duduk bertelekan di meja bersama murid-Nya yang dua belas itu. Sambil makan itu Dia berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.” Mereka sungguh berdukacita, dan setiap orang daripada mereka berkata kepada-Nya, “Tuhan, tentunya aku bukan orang itu?” Yesus menjawab, “Orang yang mencecahkan tangannya bersama-Ku ke dalam bekas akan mengkhianati-Ku. Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang tersurat tentang-Nya, tetapi malanglah orang yang mengkhianati-Nya! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.” Ketika itu Yudas yang akan mengkhianati-Nya bertanya, “Rabbi, akukah orangnya?” Yesus berkata kepadanya, “Kamu telah mengatakannya.” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambil dan makanlah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan mengucap syukur lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Minumlah dari cawan ini, kamu semua. Inilah darah perjanjian yang ditumpahkan bagi ramai orang untuk pengampunan dosa. Tetapi, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru bersamamu dalam kerajaan Bapa-Ku.” Setelah menyanyikan sebuah lagu suci mereka pun beredar ke Bukit Zaitun. Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan goyah kerana-Ku malam ini, seperti yang telah tersurat: ‘Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.” Petrus menjawab, “Kalaupun semua yang lain goyah kerana-Mu, aku tidak akan goyah.” Yesus berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini juga, sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.” Petrus berkata kepada Yesus, “Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu!” Semua murid yang lain pun berkata demikian. Selepas itu, Yesus pergi bersama mereka ke sebuah tempat bernama Getsemani, lalu Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.” Yesus membawa bersama-Nya Petrus dan kedua-dua anak Zebedeus. Dia mula berasa dukacita dan resah. Dia berkata kepada mereka, “Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini berjaga bersama-Ku.” Yesus pergi jauh sedikit dari situ lalu sujud menyembamkan muka ke tanah dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, kalaulah dapat, edarkanlah cawan ini daripada-Ku; namun, bukanlah seperti yang Kukehendaki, melainkan seperti yang Kaukehendaki.” Kemudian Dia kembali kepada murid-murid-Nya dan mendapati mereka tertidur; lalu Dia berkata kepada Petrus, “Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga bersama-Ku? Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.” Bagi kali kedua, Dia pergi dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, jika cawan ini tidak mungkin beredar daripada-Ku melainkan Kuminum, terlaksanalah kehendak-Mu.” Selepas itu, Dia mendapati mereka tidur lagi, kerana mata mereka sungguh mengantuk. Dia pun meninggalkan mereka dan pergi berdoa lagi, bagi kali ketiga. Dia mengucapkan kata-kata yang sama. Setelah itu, Dia mendapatkan murid-murid-Nya lalu berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat? Lihatlah, masanya telah menjelang, dan Anak Manusia sedang dikhianati untuk diserahkan ke tangan orang berdosa. Bangunlah, mari kita pergi. Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Matius 26:17-46